|
Judul: Kasut Biru Rubina Penulis: Sufian Abas Penerbit: Sang Freud Press Genre: Alternative Tahap pembacaan : 18 tahun ke atas.
Saya memang suka baca novel-novel cinta. Sejak saya mengenal huruf. Namun, dalam lambakan novel-novel cinta yang saya baca, saya juga suka membaca karya-karya yang lain daripada yang lain. Saya mahu menjadi pembaca versatil yang membaca semua karya tanpa perasaan prejudis. Ia adalah satu amalan yang perlu digilap hari demi hari kerana bukan senang untuk mencerna karya yang bukan santapan minda seharian. Saya terjumpa karya Sufian Abas ini lewat tahun lepas. Membaca karya alternatif stail Sufian Abas sebenarnya memerlukan pembaca memiliki minda yang terbuka.
Kasut Biru Rubina adalah koleksi cerita-cerita pendek garapan Sufian yang meneropong ke dalam kehidupan urban. Gaya penulisan dan cerita yang terpapar adalah esentrik, menjangkaui ruang kehidupan normal tetapi, ia adalah satu pembuka tirai kepada alam kreatif yang luar dari aliran perdana. Dari cerita Telefon, Sufian Abas berbicara tentang Malam Ini Malaikat Tidur, Grotesk, Wanita Paling Cantik Di Dunia Di Koc-3 Elarti ke Kelana Jaya hingga ke Kasut Biru Rubina.
Saya paparkan novel alternatif ini dalam ruangan saya kerana saya rasakan gaya penulisan Sufian Abas yang memiliki ciri-ciri tarikan tersendiri. Bagi, yang berani membaca karya-karya luar biasa, karya Kasut Biru Rubina ini akan membawa anda meneroka alam yang lagi satu.
"Buat pertama kali dalam hidupnya, Husen Jatuh Cinta. Cinta dengan huruf besar C. Cinta yang didendang dalam lagu. Cinta yang dilafaz dalam puisi. Cinta yang ditulis dalam buku."
"Ya, aku dan Melissa saling mencintai. hidupku yang dahulunya kosong, muram dan gersang seperti adam yang mabuk di syurga, diangkat sejurus melihat Melissa berdiri di hadapan aku, seperti satu garis cahaya yang menyinari segalanya."
Dari Meja Carriekirana : Kemilau Dunia Penulisan
Lima tahun berlalu. Itulah umur Novelcintamelayu. Melalui blog ulasan ini, banyak pengalaman berharga yang saya timba. Ada yang menarik manis seperti madu, ada juga yang pahit seperti Panadol. Saya harap saya dapat menyampaikan mesej di sini, berkongsi dengan pembaca yang masih sudi membaca tulisan saya di sini. Pada dasarnya, kelahiran blog ini adalah untuk mencari ruang bagi saya menjadi penulis. Biar pun sekadar penulis blog. Pun begitu, pengulasan novel-novel yang saya baca membawa saya melangkah lebih jauh dalam dunia penulisan: berkenalan dengan penulis-penulis yang karya-karya mereka amat saya kenali.
Dalam dunia penulisan kreatif, tidak ada salah atau betul. Saya rasa kebanyakan penulis-penulis masih lagi tercari-cari identiti mereka dalam memantapkan lagi karya mereka. Dan, seseorang penulis tidak dapat lari daripada memiliki jiwa yang sensitif. Itu lumrah orang kreatif. Tetapi, berjuang untuk sebuah penulisan dalam lambakan novel-novel di pasaran adalah sama dengan berjuang dalam bidang yang lain. Penulis harus ada jiwa yang kental dan telinga kuali yang tebal, menahan setiap lontaran komen yang diajukan oleh peminat/pembaca karya mereka. Jiwa yang lemah akan lemas dihanyut terus ke lautan lepas. Tenggelam. Jiwa penulis yang gigih dan tidak mengenal erti kalah akan membuka pintu-pintu peluang keemasan.
Penulis-penulis yang lama berkecimpung dalam dunia penulisan yang masih kekal bertahan adalah mereka yang berjiwa kental dan tidak henti-henti menulis mengikut acuan mereka meski dilanda sepak terajang kata-kata tajam menghiris daripada persekitaran mereka. Lalu, mereka ini menjadi kebal dan terus menulis, mencari ruang untuk nama mereka bertapak. Dan, mereka mempunyai golongan pembaca yang masih setia. Inilah yang saya perhatikan di Pesta Buku. Ramlee Awang Murshid yang dihentam kerana penulisannya tetap mennghasilkan karya dan mempunyai kelab peminatnya; Norhayati Berahim yang sudah melalui penat jerih dalam bidang penulisan masih lagi menulis secara aktif dan membuka boothnya sendiri untuk peminat-peminatnya yang datang dari pelbagai lapisan; mungkin ada juga penulis-penulis lain yang masih lagi gigih berkarya walaupun dihenyak atau dilontar dengan pelbagai label.
Penulisan sebenarnya adalah satu bidang profesional yang dianaktirikan kerana kerajaan sendiri tidak memberi dana untuk mengembangkan industri penulisan, perbukuan dan penerbitan. Tetapi, masih ramai lagi yang berminat untuk menyumbang idea kreatif bagi menyemarakkan dunia penulisan di negara ini.
Wallahualam.
P.S. When you lose your cool, you die slowly.So, keep your emotion tank intact and brace the brewing storm.You will be just fine.
|