|
Judul: Ada Rindu Di Wajahmu...
Ada Rindu Di Wajahmu membawa pembaca menerokai alam mistik. Tidak ramai penulis yang menulis tentang elemen mistik kecuali Norhayati Berahim yang kini lebih menjurus kepada kisah-kisah kehidupan yang lebih realistik. Kisah yang dilatari oleh elemen mistik ini harus ditangani dengan lebih berhati-hati supaya mesej yang ingin disampaikan kepada pembaca dapat diterima melalui jalan yang tidak menyalahi ajaran agama. Tidak dapat dinafikan, pada zaman moden ini, masyarakat Melayu masih lagi mengamalkan amalan mistik. Ini jelas didedahkan oleh Syamimi melalui watak utamanya, Wardah. Wardah, gadis dari Kampung Gunung Tinggi yang digilai pemuda-pemuda kampung tetapi diganggu makhluk halus akibat dendam kesumat kerana keengganan ibunya untuk menerima calon suami yang dirasakan tidak sesuai dengan Wardah. Wardah dijadikan korban perasaan dendam terhadap ibunya yang mementingkan harta dan darjat. Wardah hilang semangat sejak kematian suaminya Farid dalam tragedi malang yang mencalarkan maruah dia sekeluarga. Lalu, keluarganya disisihkan dari masyarakat Kampung Gunung Tinggi. Biar putih mata..biar putih tulang. Membaca Ada Rindu Di Wajahmu menyingkap realiti kehidupan masa kini terutama sekali dalam masyarakat Melayu. Selagi ada sekelumit iri hati, dendam ...selagi ada kerlingan mata yang tidak ikhlas memerhatikan orang yang lebih menyerlah daripadanya...selagi ada manusia-manusia toksik yang tidak dapat menerima qada dan qadar kehidupannya yang diuji Allah..... selagi cinta yang ditolak tidak dapat diterima dengan fikiran terbuka, selagi ada pengamal perubatan tradisional yang meminta pengeras, jarum atau tikar sembahyang untuk berubat yang tidak diketahui sama ada mengikut cara Islam atau sebaliknya... hanya untuk mencari makan daripada kalangan manusia yang penuh dengan dendam dan tertipu dengan bisikan syaitan hingga hujung nyawa..dan hingga hujung usia dunia ini...selagi itulah manusia-manusia yang tidak berdosa dijadikan sasaran fitnah dan sihir. Dan, selagi itu, kisah demi kisah penganiayaan akan terus berlaku di kalangan masyarakat kita. Kehidupan manusia tidak pernah ada jalan yang lurus. Lalu, dalam watak Wardah, dia diuji berkali-kali apabila dia hampir menemui kebahagiaan. Mesej yang cuba disampaikan oleh Syamimi amatlah mendalam. Kita tidak boleh menolak adanya makhluk yang hidup di alam ghaib yang diarah mengganggu hidup Bani Adam hingga ke hari kiamat lantas kita harus percaya - berlindung di bawah arash Allah akan menyelamatkan kita dari tersasar dari landasan sebenar. Wallahualam Rating:***1/2 ( Tidak rugi menjadikan novel ini sebagai koleksi peribadi) |