Entry: Cebisan Kenangan Pesta Buku 2008 Tuesday, April 15, 2008



Pada tahun ini, Carrie  pergi ke Pesta Buku setiap hari. Misi Carrie kali ini ialah untuk melihat kecenderungan pengunjung-pengunjung yang datang ke Pesta Buku. Sayangnya, Carrie tidak ada kamera untuk merakam detik-detik manis bertemu penulis-penulis di satu tempat yang sama.

Andrea Hirata

Andrea Hirata adalah satu fenomena baru di Indonesia dengan terbitnya Laskar Pelangi, Sang Pemimpi dan Edensor. Khabarnya, naskhah Laskar Pelangi sahaja sudah terjual 500,000 unit di Jakarta. Laskar Pelangi adalah sebuah tetralogi - novel keempat Andrea akan menemui peminat-peminatnya lewat bulan Mei ini - Maryamah Karpov.

Untuk memeriahkan lagi Pesta Buku Antarabangsa KL tahun ini, PTS membawa Andrea Hirata ke Kuala Lumpur (PTS memegang lesen terjemahan karya Laskar Pelangi di Malaysia). Jadual beliau agak padat dengan penampilan di radio dan TV sebelum muncul dalam diskusi buku Laskar Pelangi pada petang Sabtu lepas.

Apabila bersemuka dengan Andrea Hirata dan mendengar dia berbicara tentang karyanya, Carrie akhirnya tahu mengapa dia terkenal.

Dia memiliki ciri-ciri seorang penglipur lara. Carrie rasa pada zaman ini, jarang-jarang kita mendengar sesi penglipur lara - di mana seorang pencerita akan menceritakan sebuah kisah, lengkap dengan nada dan intonasi suara, pause, dan daya penarik yang akan mengikat pendengar-pendengarnya untuk terus mendengar ceritanya...kisah hatinya, perasaannya dan jiwanya terhadap karya yang diceritakannya itu. Semuanya dalam bentuk "live, unplugged version" hingga memukau sang pendengar. Itulah Andrea Hirata.

Gaya Andrea Hirata bercerita, tentang kisah kehidupannya sebagai seorang anak Melayu Belitong begitu menyentuh hati. Pastinya, jika Carrie dapat menghabiskan tetraloginya, tentu Carrie dapat lebih menjiwai kisah hidupnya.

Satu lagi ciri ialah kejujurannya, ikhlas terpancar dari matanya. Carrie rasa Andrea seorang yang pemalu tetapi oleh kerana populariti Laskar Pelangi yang meledak di Indonesia dan menyebabkan dia harus muncul di khalayak ramai sebanyak 168 kali (termasuk diskusi buku PTS - pertama di Malaysia), sifat malunya tidak begitu ketara.

Apa yang Carrie dapat simpulkan dari sessi ini, kejayaan novel Laskar Pelangi ini sebetulnya tidak pernah terduga oleh Andrea. Barangkali ketika dia menulis novel berkenaan, niatnya jujur - untuk mempersembahkan sebuah memoir buat pengorbanan gurunya Ibu Muslimah dalam mendidik sekumpulan Laskar Pelangi. Lalu, kejujuran itu terserlah dalam novel itu ketika ia diterbitkan dan perasaan, hati dan jiwanya bersatu dalam sebuah karya yang begitu menyentuh pembacanya.

Wallahualam.

Penulis dan Keyakinan Diri

Keyakinan diri (self-confidence) adalah aset penting untuk mengorak langkah lebih jauh dalam apa jua bidang termasuk penulisan.

"Saya rasa saya tidak pandai menulis....."

"Saya rasa saya tidak ada bakat...."

"Saya rasa saudari lebih hebat.."

"Saya rasa cerita saya tidak bagus.."

"Saya rasa takut dengan pengharapan tinggi daripada peminat..."

"Saya tidak yakin cerita ini akan jadi sehebat yang lain..."

"Saya rasa kecewa kerana......"

"Saya takut dengan komen-komen pembaca...."

Ini adalah ayat-ayat yang selalu saya dengar dari kalangan penulis tetapi ketahuilah bahawa ayat-ayat ini sebenarnya adalah ayat pembunuh semangat. 

Kepada penulis dan bakal-bakal penulis, jangan sesekali letakkan diri anda begitu kerdil di atas muka bumi ini. Yakin dengan bakat yang ada. Kejayaan sesebuah karya hingga angka jualannya melonjak naik bukan ukuran kejayaan kariernya. Itu adalah rezekinya yang ditentukan oleh Allah atas sebab kegigihannya, ketekunannya dan pengorbanannya. Yakin bahawa setiap apa yang kita lakukan ada rezeki masing-masing yang ditentukan oleh Allah. Cuma, mungkin adakala cepat dan adakalanya lambat.  

Jika kita asyik memandang kepada orang lain yang mencipta kejayaan demi kejayaan dan ada sekelumit rasa kecewa dalam hati kita kerana kita masih tidak mengecapi apa yang kita mahukan, kita tidak seharusnya patah semangat. Jadikan yang berjaya sebagai idola dan persiapkan diri kita dengan apa yang kita rasa kurang dalam diri kita sendiri.

Kita berhak menentukan apa yang kita hendak untuk hidup kita - sebagai seorang insan jua seorang penulis. Apakah matlamat kita sebagai seorang penulis? Apakah perjuangan kita?

Penulisan adalah kerjaya yang mulia dari zaman Tuhan mengajarkan manusia menggunakan pena. Penulisan adalah jambatan ilmu - lalu perjuangan jujur sebagai seorang penulis pasti akan diberkati. Dan, kejujuran itu bukan sahaja boleh dinilai hanya pada Allah

Penganjuran Pesta Buku dan Perkhidmatan Pelanggan

Penganjuran Pesta Buku kali ini memang mengecewakan. Pengurusan trafik yang "memaksa" pengunjung yang datang untuk pergi ke TR2 di seberang sungai kemudian naik kembali ke dewan utama adalah satu langkah yang tidak logik. Kebanyakan yang datang membawa bayi dan anak-anak kecil. Saya tahu ianya berlaku kerana gerai-gerai di TR2 membuat aduan bahawa tidak ramai yang datang ke seberang sungai melihat gerai-gerai di sana. Kebanyakan pengunjung berlegar di TR3 dan TR4 kerana di situlah terkumpulnya gerai-gerai yang "happening". Penganjuran kali ini tidak mengambil kira satu aspek: keselesaan pengunjung dan pembeli.

Dalam bidang perkhidmatan pelanggan, keselesaan pelanggan mesti jadi prioriti nombor satu. Tidak ada kompromi. Di Malaysia, terus-terang saya katakan, keutamaan dan keselesaan pelanggan tidak pernah diletakkan di tangga nombor satu. Kebanyakan kita lebih akur dengan kehendak pengedar/penjual. Hak-hak asasi konsumer sering diperlekehkan. Saya juga ada pengalaman pahit sebagai seorang pembeli. Tidakkah seorang promoter/penjual/pengedar itu sedar gaji yang diperolehi setiap bulan itu datangnya dari wang poket pelanggan?

Dalam kes pengurusan trafik yang tidak efisyen, saya belas melihat mereka yang sanggup datang berasak-asak ke Pesta Buku, membawa anak-anak dalam keadaan yang pengap dan sesak kemudian dipaksa pula menuruni jambatan dan kemudian naik kembali tercungap-cungap ke TR3 dan TR4 hanya kerana untuk memenuhi permintaan gerai-gerai TR2 yang kurang pengunjungnya. Ia menjadi satu dilema - ditelan mati emak, diluah mati bapak.

Jadikan apa yang berlaku sebagai tauladan untuk pihak penganjur bersiap-sedia merangka strategi untuk Pesta Buku akan datang. Kita hanya ada satu sahaja Pesta Buku terbesar setahun - Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur ini. Di sinilah tempat di mana sejarah terbina - ilmu dinobatkan, penulis diraikan sebagai insan istimewa dan perkenalan antara penulis dan pembacanya dijadikan kenang-kenangan.  Ianya cukup sentimental bagi semua pencinta buku termasuk saya.

Wallahualam.


   3 comments

Abinaufal
March 13, 2009   04:09 PM PDT
 
istriku ngefans berat sama karya bang ikal, semua bukunya sudah ia lalap abiz. waktu diam2 kuajak nonton filmnya di bioskop dia girang banget...

Shazwan Bakar
July 21, 2008   01:47 PM PDT
 
ya. Andrea Hirata. Nama tunjang kekaguman ku dalam karya penulisan.

Tulisan hidup yang membuat aku mampu berfikir sedari awal aku membaca ruangan lingkup kehidupannya sebagai anak melayu Belitong yang bergelumang payah mencacar mencarik erti kehidupan selesa.

Pun, aku juga merasakan tetap akan kehebatan penulis Melayu Malaysia ini sendiri - karya yang membawa aku pulang (mungkin?) menelusuri kehidupan abad 15 lampau- Ramlee Awang Murshid dan karekter Laksamana Sunan nya itu.

kedua mereka ini membuat aku terpanar memerhati - penulisan.

Mungkin ini kepuasan aku.

6000 thousang pound of respect for them.
liya71
June 19, 2008   10:23 AM PDT
 
carrie, mabbe dah tak sesuai lagi dibuat di PWTC sbb terlalu banyak kedai2 yang participate... sbnrnya ni kali ke 2 liya pergi Pesta Buku setelah hampir 7thn tak pergi!...

Cuba anjurkan dekat PICC (tapi waktu tu serentak pula dgn PC Fair) atau anjurkan di pinggir KL, contohnya di Putrajaya atau MICC(Mines). Mungkin lebih selesa kot!...

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments