|
Kali ini, Carrie mahu berkongsi maklumat tentang:
PTS PTS adalah salah satu penerbit yang begitu aktif menerbitkan bahan bacaan untuk segenap lapisan masyarakat. Moto "Memandaikan Bangsa" banyak menggerakkan PTS tanpa jemu menerbitkan bahan-bahan bacaan untuk pengetahuan dan hiburan dengan harga yang berpatutan. Bagi yang sukakan novel jibunsyi(biografi orang biasa), novel-novel remaja dan sci-fi, hikayat, cerita rakyat, boleh berkunjung ke PTS.
Ada beberapa produk PTS yang menarik perhatian Carrie untuk menambah koleksi:

Sinopsis: Salju Sakinah sebuah novel yang masih membumbukan secebis kisah cinta namun tetap mesra dan tepu dengan persoalan global dunia Islam, ekonomi, politik dan sosial yang digauli wataknya. Novel Islami ini menyorot ketabahan watak Sumayyah, siswi Malaysia di Universiti Yarmouk, Jordan yang berada di semester terakhir pengajiannya.
Tetralogi Laskar Pelangi oleh Andrea Hirata- Penulis yang semakin dikenali dari Indonesia. Setakat ini baru ada tiga. Terujanya Carrie nak baca karya penulis ini.
  
Pelbagai novel remaja yang menarik perhatian Carrie juga.
     
Corat-coret Pesta Buku:
Pada satu waktu dahulu, penulis/sasterawan adalah merupakan golongan yang penuh misteri. Biasanya, mereka mengasingkan diri, selalunya pemalu dan tidak suka mendedahkan identiti mereka kepada pengikut setia karya-karya mereka kerana mereka lebih selesa begitu. Pencinta buku membesar dengan hanya mengetahui nama penulis, sedikit biodata dan karya-karya mereka. Itu sahaja.
Tetapi, arus perubahan yang pantas bukan sahaja melanda profesion lain tetapi juga profesion penulisan. Bidang penulisan dilihat sebenarnya sebagai bidang profesional dan penulis-penulis dianggap sebagai golongan istimewa kerana walau hanya untuk menggarap sebuah novel remaja ringan sekalipun, penulis-penulis terpaksa memerah otak untuk menggabungjalin plot, jalan cerita, gaya penceritaan bagi menghasilkan sebuah karya.
Untuk hidup sebagai seorang "survivor" terutama sekali dalam bidang penulisan khasnya pada hari ini, penulis juga perlu melengkapkan dirinya dengan membuat perubahan. Tidak semua penulis berani untuk berubah.Tidak semua penulis berani menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran dan ragam pembaca yang sering kali memeningkan kepala. Kehendak pembaca hari ini lebih kompleks. Lalu, penulis sebenarnya harus mempunyai visi dan misi yang jelas untuk perkembangan kariernya. Jawapan itu hanya ada dalam diri penulis itu sendiri. Penulis mempunyai tanggungjawab berat untuk memperbaiki apa-apa kekurangan yang dilihat supaya lebih berhati-hati pada masa depan. Penulis juga perlu bersiap-sedia dengan telinga kualinya - mendengar komen pembaca-pembaca yang tidak bertapis kadang-kadang. Penulis perlu belajar mendidik diri sendiri supaya tidak cepat merajuk tapi cepat-cepat bangun, berkarya kembali tanpa putus asa. Menguruskan emosi sendiri bukan perkara yang mudah kerana ia melihatkan perasaan yang subjektif tetapi ia masih boleh dilakukan.
Pada pandangan peribadi Carrie, sepanjang perbualan bersama mereka yang Carrie temui di pesta buku, Carrie dapati penulis best-seller mempunyai sifat-sifat ini: 1. Peramah dan suka berinteraksi dengan orang ramai 2. Penampilan yang menarik, gaya yang sesuai dengan dirinya sendiri. 3. Berfikiran terbuka dan konstruktif, berminat untuk mengetahui respons pembaca supaya apa-apa kekurangan akan cepat diperbaiki dalam karya akan datang. 4. Tidak mudah berkecil hati sebaliknya melihat setiap yang berlaku dari sudut yang positif. 5. Tidak mudah melompat dari satu penerbit ke penerbit yang lain. 6. Tidak banyak kerenah dengan penerbit dan editor. Mudah bekerjasama dengan penerbit dan editor, berbincang secara terbuka tentang apa-apa yang perlu diperbaiki baik dari segi cerita, suntingan dan kebajikan penulis untuk memastikan produk yang ditulis dapat memenuhi kehendak pelanggan. Dalam erti kata lain, penulis harus menjadi seorang "team-player" yang hebat. 7. Memiliki senjata yang kukuh - kemahiran Bahasa Melayu yang tinggi dan bijak mengolah/memilih frasa ayat yang berkesan. 8. Mempunyai lawan web/blog sendiri yang aktif - ini penting untuk menjana permintaan terhadap buku penulis. 9. Tidak besar kepala, tidak terlalu cerewet atau "syok sendiri" - penyakit inilah yang selalunya akan membunuh karier kebanyakan penulis secara diam.
Carrie benar-benar tabik dengan penulis-penulis yang dikenali ramai kerana karya-karya mereka yang mantap dalam genre mereka tersendiri. Jadikanlah mana-mana mereka yang anda minati sebagai idola untuk membina karier anda sendiri. Mereka semua berkongsi sifat-sifat positif yang sama - sifat-sifat positif yang hanya ada pada orang-orang yang cemerlang.
Carrie berpendapat, jika penulis ingin bergerak jauh dalam kariernya, dia perlu memecahkan tembok yang tinggi di antaranya dan penggemar buku. Dalam zaman ini, ia adalah satu langkah yang tidak dapat dielakkan. Penulis zaman sekarang juga harus berfikir di luar bidang penulisan. Dia harus mengganggap dirinya juga seperti seorang peniaga. Bukan sekadar menulis saja. Penulis tidak harus bergantung sepenuhnya kepada penerbit untuk promosi tetapi di samping itu membuat banyak inisiatif supaya diri lebih dekat dengan pencinta buku dengan mempromosikan bukunya sendiri. Penulis sekarang juga harus berfikir tentang target jualan karyanya untuk satu-satu jangkamasa.
Carrie lihat begitu banyak sekali novel-novel/buku-buku yang diterbitkan dewasa kini. Persaingan semakin sengit. Carrie sendiri berada dalam dilema untuk memilih buku mana untuk dibeli dan dibaca. Jadi, apakah strategi yang perlu dicipta oleh penulis untuk memastikan karyanya diterima/dilihat orang? Promosi! Promosi! Promosi! Sentiasa yakin dengan karya yang dihasilkan dan rapatkan jurang antara penulis dan penggemar buku. Insya Allah.
Wassalam.
|