Entry: Sempena Pesta Buku (3) - KarnaDya Wednesday, April 09, 2008



Untuk kali ini, Carrie paparkan maklumat tentang:

KarnaDya Solutions
KarnaDya ditubuhkan oleh novelis yang dikenali ramai melalui novel sulungnya Sesuci Cinta yang dilatari oleh Istana AlHambra, Sepanyol. Setelah tiga novelnya diterbitkan oleh Alaf21, Aina berubah angin dengan membuka syarikatnya sendiri yang menerbitkan karya-karyanya dan karya-karya novelis Mimie Afinie. Buat masa kini, KarnaDya cuba menerbitkan pelbagai bahan bacaan terutama sekali untuk disasarkan kepada awal remaja (9-15 tahun), remaja dewasa (15-21) dan dewasa (21 ke atas). Selain daripada itu, sempena Pesta Buku, Aina Emir juga muncul dengan novel thriller pertama beliau - Perempuan Ini Lelaki Itu dengan menggunakan nama pena Jenna Jehan (watak yang dipetik dari Kau Laksana Bulan).

Novel-novel terbaru bagi peminat-peminat Aina Emir dan Mimi Afinie:


HANYA KITA BERDUA

-Aina Emir-

Hanya Kita Berdua akan membawa anda ke sebuah pekan kecil di persisiran pantai negeri Perak. Di sana anda akan temui Najla Haifa dan keluarganya yang kaya. Anda juga akan temui Adil, remaja yang tidak setaraf dengan Najla. Malangnya, satu peristiwa telah berlaku dan memisahkan mereka berdua.

Pertemuan dengan Danni seorang lelaki romantis lagi penyayang telah mengubah hidupnya. Berjayakah Danni untuk menjadikan Najla isterinya dan apakah pula rahsia yang sekian lama terselindung dan mencemarkan nama keluarga gadis itu?

Sebuah novel berunsur kekeluargaan, sarat dengan pertelingkahan dan dendam berpanjangan, namun mempunyai plot cerita yang romantis, terselit unsur humor dan penuh dengan persoalan.



Novel thriller pertama Aina Emir yang menggunakan nama pena Jenna Jehan.


KALAU ADA JODOH

-Mimie Afinie-

Tiada sesiapa mahu sengsara. Tiada jua yang inginkan derita. Namun takdir Tuhan tiada siapa yang mampu menepis? Marini terpaksa mengharungi sebuah kehidupan yang berdepan dengan onak dan duri hinggalah dia menumpang di rumah kakaknya. Di sanalah perjalanan hidupnya mula berubah. Tiba-tiba sahaja dia bertemu dengan Pyan, lelaki yang punyai personaliti yang jauh beza daripada apa yang ada dalam kotak fikirannya. Pun begitu, Faris tidak pernah melupakannya. Kesilapan yang pernah dilakukannya mahu dipulihkan semula.

Kalau Ada Jodoh merupakan sebuah novel yang penuh dengan plot humor, ada yang menyentuh perasaan dan tentunya akan menghiburkan pembaca sekelian.


Dari Kaca Mata Carriekirana:
Teknik jualan buku-buku ensiklopedia dan kursus-kursus bahasa Inggeris seperti yang diamalkan oleh jurujual-jurujual semasa Pesta Buku adalah teknik jualan yang lapuk dimakan zaman. Berapa peratuskah jualan yang diperolehi daripada teknik jualan stereotaip ini?

Bagi Carrie, teknik seperti menghalang laluan pengunjung-pengunjung pesta, mengejar pengunjung-pengunjung yang berjalan jauh dari booth dan memaksa pengunjung-pengunjung berhenti di gerai mereka adalah teknik yang bukan akan menambahkan jualan tetapi sebaliknya akan mencetus perasaan fobia di kalangan pengunjung-pengunjung dan membuatkan mereka semakin menjauhi gerai-gerai sedemikian. Adakah ini yang dimahukan oleh penjual-penjual buku berkenaan?

Pembeli/pencinta buku adalah pelanggan yang paling sukar untuk dipenuhi kehendaknya. Rata-rata mereka terdiri daripada orang-orang yang mempunyai ilmu dan berhemah tinggi. Mengeluarkan beratus-ratus ringgit untuk membeli buku-buku yang akhirnya akan disusun di dalam almari buku tidak akan dilakukan oleh kebanyakan orang kecuali jika mereka benar-benar ulat buku/pencinta ilmu.

Buku adalah antara produk-produk kompleks untuk dijual. Kepuasan pembaca tidak boleh diukur dengan kayu pengukur. Ia adalah subjektif. Bagaimana mahu meyakinkan seorang bakal konsumer supaya membeli buku-buku yang diterbitkan oleh syarikat anda?

Pertama sekali, individu-individu yang menjaga gerai-gerai buku (promoter buku) harus mempunyai pengetahuan produk yang mendalam tentang buku-buku yang dipamerkan. Mereka harus tahu bagaimana untuk berinteraksi dengan para pengunjung tentang produk yang ditanya oleh pengunjung-pengunjung berkenaan. Namun begitu, ada yang sekadar jadi tukang jaga sahaja dan kadang-kadang menunjukkan muka "blank" apabila Carrie tanya tentang keistimewaan sesebuah karya.

Suasana yang mengecewakan ini bukan sahaja berlaku di pesta buku tapi di mana-mana sahaja kedai buku di Lembah Klang ini. Jadi, mengapa mereka bekerja di kedai buku atau dengan syarikat buku? Mungkin hanya untuk mendapatkan duit lebih?

Promoter buku yang juga pencinta buku akan terserlah kecintaannya pada ilmu dan mesej yang dibawa oleh sesebuah buku. Aura itu dengan sendirinya akan terpancar dari penampilannya. Dia juga sanggup bersusah-payah memastikan pengunjung-pengunjung yang datang mendapatkan maklumat yang diinginkan. Tidak lokek menghadiahkan senyuman di samping mempunyai sifat budi bahasa yang tinggi. Dia menjalankan peranan sebagai seorang "penasihat/konsultan" dalam membimbing pengunjung untuk mendapatkan apa yang dimahukannya dan komited untuk melakukan lebih daripada tugas asasinya.

Penerbit buku WAJIB mengadakan satu seminar "product knowledge" untuk semua promoter-promoternya semasa pesta buku supaya promoter-promoter ini tidak kelihatan terpinga-pinga apabila para pengunjung bertanyakan soalan yang selain daripada tajuk buku dan siapa penulisnya.

Salam dari,
Carriekirana

P.S. Carrie sedikit kecewa dengan layanan seorang promoter Karangkraf berbadan besar itu yang menjaga ruang majalah di ruang legar PWTC pada satu petang semasa Pesta Buku. Carrie singgah di gerai majalah untuk mendapatkan majalah Rasa. Carrie tahu dia nampak Carrie datang menjinjing beg-beg plastik yang sungguh berat dengan buku-buku yang Carrie letak di tepi kaunter sebelum Carrie meletakkan majalah di atas kaunter. Sebab, dia duduk di atas kerusi di tepi kaunter. Tetapi, dia dengan muka tanpa perasaan menyuruh Carrie beratur seperti orang lain. Lalu, Carrie terpaksa berdengih-dengih menghela semua beg plastik itu  ke hadapan kaunter pula. Memang dugaan betul untuk Carrie pada masa itu. Beginikah layanan kepada seorang pembeli? Carrie faham orang muda selalunya tidak prihatin dengan benda-benda sekecil itu. Agaknya dengan pembeli lain macam mana pula ? Alternatif - Apa salahnya Carrie letak majalah Carrie itu ikut giliran  dan apabila tiba giliran majalah Carrie, Carrie bayar dari tepi kaunter sebab siapalah nak jaga beg-beg plastik Carrie yang banyak itu? Kalaupun Carrie letak beg yang banyak itu di hadapan kaunter pula nanti mengganggu orang lain yang mahu membayar. Keesokan harinya, promoter yang sama begitu ceria mempelawa pelanggan-pelanggan masuk ke gerai Karangkraf. Hmmmm....

Pengajaran buat Carrie -
Bawa beg sandang lain kali supaya tidak perlu jinjing banyak beg plastik.
Bawa teman supaya dia boleh tolong bawakan beg-beg plastik Carrie itu sementara Carrie membayar di kaunter.

Itulah sedikit sebanyak coretan ragam manusia di Pesta Buku.

-Budi-bahasa yang tinggi tidak dapat dibeli dengan wang ringgit-

   2 comments

enigma
April 16, 2008   04:35 PM PDT
 
carrie, next year bawa beg roda atau bakul roda. seret aje sepanjang jalan. bleh gak dibuat sebagai pembuka jalan...hehehe
reen
April 16, 2008   06:19 AM PDT
 
owh memang promoter kat booth karangkraf kerek2 belaka..dah la pakai baju ala2 waikiki..isy bosan sungguh tgk..pastu mmg mcm ntah papa la...tp promoter kat booth creative best..i gave u all 2 thumbs up...cayalah....promoter kat booth JS pun besttt..baik2 belaka, n 1 more kat KarnaDya....pun bagus pormoter2nya.....from the bottom of my heart...:)

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments