|
Sepanjang minggu pesta buku, Carrie akan cuba paparkan maklumat tentang novel-novel terbaru yang ditawarkan oleh penerbit-penerbit novel. Untuk kali ini, Carrie paparkan sedikit maklumat tentang Kaki Novel Enterprise.
Kaki Novel Enterprise Di sebalik tabir Kaki Novel Enterprise(KN) adalah seorang anak muda yang gigih dan bekerja keras menerbitkan novel-novel cinta . KN mula dikenali melalui novel pertamanya Bukan Cinta Biasa karya penulis baru Izzul Izzati. Buat masa kini, Bukan Cinta Biasa sudah dicetak sebanyak 9 kali untuk memenuhi kehendak penggemar novel. KN juga dibarisi oleh barisan novelis baru dan lama seperti Izza Aripin, Anita Abdullah, Puteri Andalas, Eita Ashyta, Zaharah Muhamad, Mina Mahanie dsb sebagainya. Sejak akhir-akhir ini, KN cuba mengorak langkah dengan menawarkan kisah-kisah thriller dan misteri bermula dengan novel thriller KN yang pertama- Gerhana Hati Lara karya penulis baru Hani Sofea. Bagi pesta buku kali ini, ada satu kelainan yang cuba ditonjolkan oleh Kaki Novel. Kehadiran novel thriller/suspens "Awang Vampiro" tulisan Nizam Zakaria ini membuka genre baru dalam pembacaan novel.
Antara sebab-sebab Carrie membaca novel-novel KN ialah: 1. Pelbagai genre cerita yang ditawarkan. 2. Gaya penulisan penulis yang masih dikekalkan- ini membuatkan kisah yang biasa dipaparkan menjadi unik- hasil sentuhan kreatif penulis-penulis KN. 3. Harga yang ditawarkan amat kompetitif - mampu dimiliki dan ahli kelab KN menikmati diskaun yang menarik.
Target pasaran KN: Pembaca-pembaca matang yang inginkan kisah-kisah kehidupan yang lebih cenderung ke arah realiti kehidupan sebenar dan pembaca yang mahu menikmati kepelbagaian pembacaan alternatif
Produk-produk terbaru yang diterbitkan oleh KN untuk Pesta Buku ini ialah:



Dari Kaca Mata Carriekirana:
Jika dilihat pada tajuk Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, Carrie tidak dapat lihat apa yang ada pada perkataan "Antarabangsa" itu. Kebanyakan gerai-gerai yang kerap dikunjungi adalah gerai-gerai yang memuatkan produk-produk tempatan. Senarai aktiviti yang dijalankan juga tidak begitu banyak. Usaha Majlis Buku Kebangsaan Malaysia dan KPM menganjurkan pesta buku ini adalah satu inisiatif terbesar untuk menggiatkan lagi industri perbukuan di Malaysia tetapi entah kenapa Carrie tidak rasa kemeriahannya. Pada pandangan peribadi Carrie, Malaysia masih lagi di tahap yang sederhana dalam menggalakkan masyarakatnya membaca. Kita masih lagi belum mencapai taraf masyarakat yang membaca dan berilmu seperti di Indonesia dan Jepun. Jalan kita masih panjang. Rata-rata, kebanyakan kita lebih arif tentang berita sensasi dan popular. Perkongsian maklumat melalui medium penulisan masih lagi terhad kerana permintaan pasaran yang tidak menentu.
Yang paling aktif ialah perkongsian maklumat melalui blog dan laman web tetapi blogger-blogger yang mempunyai komitmen untuk menyampaikan maklumat yang positif daripada kacamata mereka boleh dikira dengan jari. Menulis dalam blog memang mudah tetapi komitmen untuk menyampaikan maklumat adalah besar kerana kebanyakan blogger sebenarnya membangunkan laman blog mereka atas minat yang mendalam terhadap isu-isu yang mereka tulis.
Trend mencetak isi kandungan blog yang mempunyai nilai-nilai komersial juga semakin dipelopori oleh penerbit tempatan. Ianya dikenali sebagai "Blook" - satu fenomena baru yang perlu diambil kira dewasa ini. Secanggih mana teknologi blog/"content" untuk memudahkan kita berkongsi karya dan idea, kita masih manusia biasa yang tidak boleh dipisahkan daripada memiliki sesebuah karya yang boleh dipegang oleh tangan kita. Karya blog yang mempunyai ramai pengikut menjadi lebih istimewa apabila diterbitkan dalam versi cetak dan ini sebenarnya menggalakkan penjualan blook berkenaan seperti popularnya Kasih Seharum Lavender-Eita Asyhta, Percayalah-Ruby Hazri, 5 Tahun 5 bulan - Hlovate, Growing Up in Terengganu-Awang Goneng, Jiwa Kacau-Geng Journal, Nyanyian Tanjung Sepi- Noorsuraya ; sekadar menyebut beberapa nama.
|