Entry: Sempena Pesta Buku (1)- Jemari Seni Monday, April 07, 2008
Assamualaikum buat pelayar blog Carrie.
Bagi peminat novel/buku, inilah masa yang ditunggu-tunggu - Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang sudahpun bermula pada 4hb April, 2008 lepas. Pastinya, masing-masing juga ada senarai buku/novel yang hendak dibeli. Ada juga yang mungkin ikat perut untuk dua tiga bulan ini semata-mata Pesta Buku. Di sinilah semua penggerak/penggiat/penulis/penerbit/pengedar bertemu. Meninjau produk yang baru. Produk yang lain daripada lain.
Sebelum ke Pesta Buku, jenguk-jenguk apa yang hendak dibeli. Di sini, Carrie paparkan senarai novel-novel yang Carrie hendak jadikan koleksi. Mana-mana lagi novel yang Carrie rasa menarik akan Carrie masukkkan di sini untuk rujukan penggemar novel.
Misi Carrie untuk Pesta Buku kali ini ialah di samping menambah koleksi novel daripada penulis-penulis kegemaran Carrie, Carrie juga cuba menerokai/mencari novel-novel yang memaparkan kelainan yang boleh Carrie kongsi dengan pembaca-pembaca novel.
Dalam entri ini, Carrie hendak berkongsi maklumat berkenaan:
Jemari Seni
Carrie memang sentiasa tertunggu-tunggu novel-novel terbitan Jemari Seni. Salah satu sebabnya Jemari Seni prihatin dalam menjaga kualiti Bahasa Melayu yang diguna oleh penulis-penulisnya. Sebab-sebab lain mengapa Carrie menyukai novel-novel keluaran Jemari Seni:
Noorsuraya memang pandai memilih cerita-cerita yang menepati selera peribadi Carrie. Setakat ini, novel-novel Jemari Seni yang pernah Carrie baca tidak menghampakan.
Kualiti Bahasa Melayu penulis-penulisnya yang tinggi - Penulis-penulis yang menulis dengan Jemari Seni semuanya memiliki kemahiran Bahasa Melayu yang kukuh dan bijak mempelbagaikan kreativiti menggunakan frasa-frasa ayat yang mampu menarik pembaca meneruskan pembacaan.
Gaya penulisan - Masing-masing terserlah dengan gaya penulisan tersendiri. Ini adalah Faktor X Jemari Seni.
Kisah-kisahnya yang pelbagai banyak menjurus kepada realiti kehidupan tetapi ada juga terselit kisah remaja, humor dan cinta metafizik.
Pasaran sasaran (target market) Jemari Seni:
Novel-novel terbitan Jemari Seni memenuhi selera pembaca-pembaca yang sukakan kisah-kisah kehidupan yang matang dan mencabar minda. Juga bagi pembaca-pembaca yang inginkan kelainan daripada kebanyakan novel cinta slapstik di pasaran. Di sini, Carrie paparkan sinopsis tiga novel terbaru yang diterbitkan oleh Jemari Seni sempena Pesta Buku 2008.
Sinopsis Novel:
Kata Rumi: "pasangan yang bercinta bukan bertemu di satu tempat akhirnya mereka sudah bersama sejak dari azali lagi..."
Inilah sebuah cerita cinta yang ditulis dalam nada yang berbeza. Dua benua. Tiga negara. Empat nyawa. Dan satu takdir yang tersimpul mati!
Sebuah episod pengembaraan yang merentasi garis-garis deja vu Suatu pelarian tanpa noktah dan rentetan pertemuan-pertemuan aneh seorang Damien.
Kenapa setelah sepuluh tahun berselang Ashraf harus mencari Laila yang hilang sedangkan isterinya, Nini ditinggalkannya pergi?
Dan begitu mahalkah harga cinta, sehinggakan Suraya meninggalkan-Nya demi dia?
+ + + + +
Sebuah lagi karya segar daripada JOHN NORAFIZAN, seorang jurutera yang mahir menyusun peristiwa-peristiwa cerita; pengarang yang sentiasa mendaulatkan bahasa ibunda pada setiap karya-karyanya.
telah kau tunai seribu janji satu kau mungkiri… hidup bersamaku…
Sinopsis Novel:
Aku dan Najah kenal di depan Stadium Old Trafford, berkahwin sembunyi-sembunyi di Tanah Ratu. Sekembali ke tanah air, aku dan Najah harus pula menjadi pelakon di depan mama yang sudah ada pilihan sendiri.
Itulah permulaan kisah ini... yang bagaikan sudah terang lagi bersuluh. Apakah boleh aku memilih jalan ceritaku sendiri, Najah? Jika tidak, bagaimana pula dengan perasaan? Berkorban perasaanlah yang paling memedihkan, kerana perasaan itu tidak pernah ada bau dan warna: lalu sukarnya untuk orang lain memahami, apatah lagi merasai...
Tulis Najah: apalah maknanya bulan kalau langit diselubungi mendung apalah ertinya mentari kalau sinarnya dihalang gerhana jadi bagaimana aku harus terus hidup kalau mentari tak mahu berkongsi kehangatannya dan bulan tidak mahu meminjamkan sinarnya…?
Najah, sudah jadi fitrah alam... matahari itu tetap terbit dari arah timur, dan bulan pula tetap setia menemani malam! +++++ Nazurah Aishah, menulis Lili Buat Najah dari kaca mata hatinya. Sebuah kisah yang mengesankan pada yang sedia berkongsi rasa.
Dari Kacamata Carriekirana:
Pesta Buku kali ini sekali lagi menjadi platform tempat pertemuan kesemua penerbit dan penggiat/penulis kreatif tanahair. Walaupun Carrie rasa suasananya agak kurang meriah berbanding dahulu, tetapi kesungguhan peserta-peserta pesta memasarkan produk tidak kurang hebatnya. Mungkin juga Pesta Buku kali ini diadakan bukan dalam cuti sekolah maka tidak begitu ramai pengunjung yang dapat datang meramaikan lagi suasana di PWTC.
Ada juga penerbit baru, penulis baru, novel-novel baru yang menarik perhatian. Bagi penulis-penulis baru, usahlah berharap sepenuhnya pada penerbit untuk mempromosikan buku-buku anda. Belajar membuang perasaan malu atau rendah diri dan cuba mencipta inisiatif sendiri di samping berganding bahu dengan penerbit anda untuk memperkenalkan buku anda.
Jika anda cepat beramah-mesra dengan pengunjung-pengunjung yang datang, usaha anda yang cuba merapatkan jurang di antara diri anda dan bakal pembeli produk anda akan berbaloi. Jika malu untuk menegur, senyuman yang dihulur pasti dapat menyejukkan hati pengunjung booth.