|

Judul: Ungu Karmila Penulis: Ramlee Awang Murshid Penerbit: Alaf21 Genre: Thriller Psikotik Bintang: ***1/2
Sinopsis:
ATAS nama cinta... mahligai impian itu dibina. Vila Sepi menjadi mahar kasih Arif terhadap isterinya, Karmila. Namun, tragedi dahsyat memusnahkan kegembiraan yang dikecapi.
Beberapa tahun berlalu... vila yang ditinggalkan dikatakan berhantu. Jikon, seorang pemuda Orang Asli bagai digamit memasuki vila itu. Akhirnya, dia menjadi korban pertama.
Setelah itu, mistik di vila itu tiba-tiba sepi. Masyarakat Orang Asli percaya 'sesuatu' yang berada di situ sedang 'tidur'. Tiada siapa berani mengusik. Jika ia 'terbangun', maka pembunuhan pasti terjadi lagi.
Ema, seorang wanita masyarakat Orang Asli yang berpendidikan, secara diam-diam berusaha meneroka vila yang menjadi lambang cinta Arif dan Karmila itu. Secara tidak sengaja, dia telah 'membangunkan sesuatu' di dalam vila berkenaan.
Arafat, abang Arif telah menugaskan beberapa orang yang dipercayai untuk membongkar misteri pembunuhan itu. Namun, satu kuasa jahat telah memburu mereka sehingga mengancam nyawa. Tragedi silam berulang kembali!
RAMLEE AWANG MURSHID, sekali lagi meneroka alam mistik di sebalik saspens UNGU KARMILA. Mereka yang `jahat' sahaja dapat mengalami rahsia di sebalik kisah berdarah di Vila Sepi... hingga tidak sanggup lagi untuk berbuat dosa!
Tentang Ramlee Awang Murshid: Ramlee Awang Murshid membina kelompok pembacanya sendiri melalui novel-novel thriller psikotik beliau di tengah-tengah demam pembaca novel cinta. Hingga hari ini, nama Ramlee Awang Murshid sinonim dengan genre thriller novel Melayu selain Abdul Rahim Awang, seorang lagi penulis novel thriller Melayu yang banyak menerbitkan karya-karya beliau dengan Creative Enterprise.
Mengapa Carrie suka novel ini?
-
Gaya penulisan Ramlee - Di dalam Ungu Karmila, gaya penulisan Ramlee masih unggul walau kadang-kadang Carrie terasa seperti membaca selitan artikel informasi semasa mengekori perjalanan plot Ungu Karmila. Dalam konteks ini, Carrie lebih gemarkan cara Imaen yang begitu bersahaja menggabungjalinkan informasi dalam plot Labyrinth.
-
Plot - Ramlee mempunyai pendekatan tersendiri dalam membina plot-plot untuk karya-karya thrillernya. Latar belakang beliau dalam bidang psikologi sebenarnya banyak menjentik kreativiti beliau dalam menghasilkan plot-plot yang membuatkan pembaca-pembacanya teruja. Dalam Ungu Karmila, plot dibina berdasar isu kepercayaan kepada alam mistik dan bagaimana watak-wataknya menghadapi keadaan sedemikian.
-
Mesej - Seperti biasa, perang batil di antara yang gelap dan terang yang sering ditonjolkan oleh Ramlee dalam karya beliau banyak mengajak pembaca-pembacanya kembali ke jalan yang diredai Allah untuk menangkis dugaan dan cabaran dalam kehidupan.
-
Perwatakan - Keistimewaan Ramlee dalam karya-karyanya ialah membina watak-watak yang kuat sekaligus menggerakkan plot cerita Ungu Karmila. Ramlee lebih selesa membina watak-watak hero dalam Ungu Karmila sehingga Carrie tidak perasan bahawa watak Winda sebenarnya ialah seorang perempuan! Itupun, Carrie cuma mengetahui Winda adalah seorang wanita apabila dia menjadi emosional ketika dalam perjalanan ke Villa Sunyi. Ini hanyalah pengalaman peribadi Carrie membaca Ungu Karmila.
Siapa yang akan suka dengan novel sebegini ? Pengikut setia Ramlee Awang Murshid. Karya beliau kali ini lebih menjurus kepada alam mistik yang menyelubungi Villa Sunyi di Cameron Highlands.
Dari Kaca Mata Carriekirana:
Isu karya-karya Ramlee Awang Murshid ini selalu menjadi kontroversi di kalangan sesetengah pembaca yang tidak menyukai gaya penulisan Ramlee. Malah, ada yang mengutuk terang-terangan, menceritakan tentang karya Ramlee yang disifatkan tidak logik, tidak menepati seleranya dan pelbagai lagi kelemahan yang perlu diperbaiki oleh Ramlee.
Secara peribadi, saya memang menyukai karya Ramlee. Walau karya-karya beliau mungkin tidak dapat menandingi acuan novel thriller ideal yang dicari-cari oleh sesetengah pembaca novel thriller, tetapi sekurang-kurangnya beliau berani mencari kelainan dalam penulisan dengan meneroka satu alam yang jarang-jarang diterokai oleh kebanyakan penulis-penulis thriller yang lain. Mungkin ada segelintir yang cuba untuk menerokai genre ini tetapi masih takut dengan penerimaan pembaca-pembaca novel Melayu.
Saya juga pernah menyukai karya-karya Norhayati Berahim satu ketika dulu. Dia berani meneroka satu genre dengan menampilkan watak-watak heroin yang cekal dan tabah menghadapi dugaan. Walau ada sesetengah ciri penulisan Norhayati yang tidak saya gemari, saya kagum dengan kesungguhan beliau berkarya- berkongsi cerita dengan peminatnya tanpa rasa jemu. Kesungguhan dan komitmen beliau harus dijadikan contoh oleh penulis-penulis yang lain. Sekurang-kurangnya, dia juga sudah mencipta legasinya sendiri dalam penulisan novel cinta.
Bagi saya, yang juga terlibat secara tidak langsung dalam bidang penulisan, penulisan adalah satu proses pembelajaran yang panjang. Tidak ada tarikh tamat pengajian untuk seorang penulis walau sekalipun dia mempunyai deretan novel/buku yang menjadi best-seller dan pengikut yang ramai. Sebagai seorang penulis, setiap hari adalah satu proses pembelajaran yang baru. Tidak semestinya juga hasil eksperimen seorang penulis diterima baik oleh pembaca secara umumnya.
Lalu apakah sebenarnya yang dicari oleh seorang pembaca lantas menjadikan sebuah karya itu sebuah bestseller? Jawapan itu hanya boleh diketahui hanya setelah karya itu berada di pasaran. Kadang-kadang karya yang biasa-biasa sahaja menjadi igauan ramai. Kadang-kadang juga, karya yang menjadi best-seller ditulis oleh novelis yang sebenarnya tidak suka baca buku! Pelik tetapi benar. Itulah manusia. Dan, itulah ragam pembaca novel.
Wassalam.
|