Pendapat mereka saling bertentangan, pergaduhan tiada garis sempadan, terjilid dalam pelbagai episod:
* Kereta Perdana vs Kereta Kancil
* Kucing si bujang mengemis makan di rumah si dara
* Sepatu biru gadis pencetus idea nakal si teruna
* Muzik si pemuda bukan selera si pemudi
Namun tiba-tiba ribut berhenti, hujan reda, pelangi sujud kaki langit... ada rasa yang mengocak perasaan. Ada cinta yang bertunas, ada kasih yang tumbuh dan ada sayang yang menjalar.
Kenapa? Siapa? Dan bagaimana?
Semuanya tersusun kemas dalam Kopi Susu Sepatu Biru. Selepas novel Percayalah... inilah buah tangan terbaru RUBY HAZRI dalam nada yang berbeza.
Tentang Ruby Hazri :
Ruby Hazri mula melakar imaginasinya dalam blog dan tanpa disedarinya, e-novel pertamanya Percayalah mempunyai pengikut yang tersendiri lantas apabila Jemari Seni mencungkil bakat Ruby, lahirlah novel pertama Ruby dalam versi cetak tentang cinta pertembungan dua budaya. Ruby Hazri juga adalah penulis pertama menulis dengan Jemari Seni Publishing.
Mengapa Carrie SANGAT suka novel ini?
-
Gaya penulisan Ruby - Kekuatan Kopi Susu Sepatu Biru banyak bergantung pada gaya penulisan Ruby yang tersendiri. Carrie suka olahan gaya penulisan Ruby sejak Carrie mula membaca Percayalah.
-
Plot - Plot mudah dan santai di mana jalan cerita KSSB ini boleh dijangkakan tentang kehidupan sehari-hari warga kota yang bekerja di Kuala Lumpur.
-
Mesej - Tentunya tentang cinta yang terselit di antara kebencian melampau antara hero dan heroinnya.
-
Perwatakan - Ini juga merupakan kekuatan Ruby yang Carrie suka, membina watak-watak yang dekat dengan pembaca dan lebih realistik tetapi mampu mencuit hati.
Siapa yang akan suka dengan novel sebegini ?
-
Pengikut setia tulisan Ruby sejak Percayalah. Karya terbarunya juga tidak mengecewakan.
-
Pembaca-pembaca yang mahu mencari kisah cinta "feel-good' story tapi kisahnya bukan semuanya indah.
Dari Kaca Mata Carriekirana:
Carrie memang suka dengan Kopi Susu Sepatu Biru. Kisah cinta santai dalam acuan tersendiri Ruby. Terserlah kreativiti Ruby dalam menggarap adegan-adegan komedi. Tidak kering gusi Carrie apabila membaca tentang Perang Sabil di antara rumah no 9 dan rumah no 11. Kisah jiran sebelah ini juga mengingatkan Carrie tentang kisah lucu P.Ramlee dalam Masam-masam Manis. Syabas Ruby atas karya romantis-komedi yang banyak membuatkan Carrie ketawa sendirian. Awas - kalau boleh biarlah baca KSSB di rumah, bukan di khalayak ramai - nanti apabila terlalu asyik membaca KSSB, boleh pecah perut dibuatnya secara tiba-tiba. Pastinya, pembaca juga dapat mengimbau pengalaman lalu tentang seorang Mat dalam hidup masing-masing.
Wassalam. Jangan lupa sediakan secawan kopi susu! Untuk kejutkan 'raja' yang sudah lama benar 'tidur' tanpa menyedari rakyatnya sudah semakin kecewa......