|

"Kebangsaan Melayu bukan dibina kerana semata-mata seseorang itu bangsa Melayu atau bapanya Melayu atau datuknya Melayu atau keturunannya Melayu. Kebangsaan Melayu adalah diasaskan dan dibina mengikut tabiat semulajadi kedudukan bumi, keturunan pusaka, kebudayaan baka dan penduduk hak mutlak anak pertiwi!"
"Kebangsaan Melayu ialah kebangsaan dari segi penyatuan hasrat dan azam! Bersatu dalam ideologi yang mana tumpah setianya tidak ada negeri lain baginya!"
"Perjuangan kebangsaan kita ialah memelihara dan menghidupkan hak yang bertaraf duduk sama rendah, berdiri sama gagah dengan bangsa lain di muka bumi ALLAH ini!"
"Cermin itu cermin pengukuran diri sendiri!" kata Nekcai lagi.
"Orang Melayu di seluruh Semenanjung Tanah Melayu ini telah mendirikan persekutuan, persatuan, kesatuan, parti dan pergerakan. Kesemuanya dengan satu tujuan iaitu hendak menyatukan dan memperbaiki keadaan hidup bangsanya!"
"Dengan bersatu sajalah, bangsa Melayu dapat menghadapi masa depan dengan jayanya!"
Judul: Tukcai Penulis: Azizi Abdullah Penerbit: Alaf21 Genre: Kemanusiaan Bintang: ****
Sinopsis:
Betapa pilunya hati bila orang yang tersayang pergi buat selama-lamanya. Itulah yang dirasai oleh Tukcai. Kasih sayangnya terhadap Nekcai, kekal abadi walau tiada di depan mata. Biarpun kematian itu ketentuan ILAHI, kasih sayang itu tetap subur. Tapi perjuangan mesti diteruskan. Siapakah penggantinya jika nilai-nilai kemesraan membalut kamar rindu, mewangi katil tidur dan menyiram pohon kasih, tiba-tiba menjadi halimunan?
Sayang... cinta yang panjang tak tercapai. Kasih tak lerai tapi tak tergapai. Rindu tak terubat, wangi tak terhidu. Bukan jauh tapi tiada. Segar dalam ingatan tapi jasad tak tersentuh. Kasih sayang bergelora, amuk badai kesetiaan tak berhujung. Tapi Nekcai tetap pergi meninggalkan segala-galanya secara fana.
Tukcai pasrah... pemergian Nekcai bukan untuk diratapi selama-lamanya. Namun, siapakah yang dapat mengubati gelodak jiwa dan sengsara di hati? Anak-anak? Atau siapa?
Tentang Azizi Abdullah :
Azizi Hj Abdullah adalah seorang sasterawan yang gigih menghasilkan karya-karya untuk membentuk jati diri bangsa Melayu. Salah satu novelnya yang diingati dan dihargai oleh pencinta sastera tanahair ialah Seorang Tua di Kaki Gunung yang pernah menjadi teks sastera wajib bagi pelajar sekolah menengah satu ketika dulu. Tidak pernah jemu berkarya, baru-baru ini Azizi Abdullah memenangi hadiah kedua dalam Sayembara Jubli Emas Dewan Bahasa dengan novelnya Harga Sebuah Maruah.
Mengapa Carrie suka novel ini?
-
Gaya penulisan Azizi - Gaya penulisan Azizi yang bersahaja ini rasanya tidak perlu Carrie ulas. Sebagai orang lama dalam bidang penulisan, gaya penulisan Azizi memang terserlah walau hanya menggunakan ayat-ayat yang ringkas.
-
Plot - Plotnya sudah jelas dan kukuh di mana ia lebih tertumpu kepada bagaimana Tukcai menghadapi perubahan dalam kehidupan sehariannya selepas kematian Nekcai.
-
Mesej - Sungguh pun Tukcai hanyalah sebuah novel yang nipis tetapi mesej yang cuba diserapkan oleh Azizi sebenarnya menyentuh tentang semangat perjuangan bangsa Melayu melalui kaca mata Tukcai.
- Perwatakan - Kekuatan Tukcai adalah berdasarkan kekuatan watak Tukcai yang dibangunkan dengan mantap. Azizi memang mempunyai bakat membawa pembacanya hidup bersama Tukcai mengenangkan detik-detik perjuangan Tukcai dan Nekcai ketika mereka masih muda, menuntut kemerdekaan. Pembangunan watak yang menyeluruh dan kukuh ini harus dijadikan rujukan oleh penulis-penulis muda yang mahu memperbaiki kemahiran membangunkan watak-watak hero/heroin dalam karya mereka.
Siapa yang akan suka dengan novel sebegini ?
Pembaca-pembaca yang mahu mencari novel-novel yang menggalakkan mereka berfikir tentang mesej yang cuba disampaikan oleh penulis. Novel ini tidak terlalu berat tetapi membawa pengertian yang begitu mendalam.
Dari Kaca Mata Carriekirana:
Pada saat-saat demam pilihanraya yang bakal menjelang, Carrie memilih novel Azizi Abdullah untuk dikongsi bersama pembaca semua - mengenang kembali erti perjuangan datuk-nenek kita. Penulisan Azizi membangkitkan semangat dan mengingatkan pembaca tentang perjuangan asal bangsa Melayu mengekalkan hak-hak bangsa Melayu melalui rentetan peristiwa yang cuba dibiaskan daripada ingatan seorang insan tua bernama Tukcai. Novel ini sebenarnya lebih berupa novel motivasi pembangkit semangat bangsa Melayu mengenal erti kemerdekaan. Sebuah karya yang tidak ternilai harganya- menyentuh isu-isu yang kadang-kala hampir dilupai oleh bangsa Melayu moden yang begitu selesa dengan gaya hidup terkini. Kita bukan lagi bangsa Melayu yang terdesak ditindas penjajah yang meragut kemewahan negara kita lalu semangat perjuangan generasi muda sekarang tidaklah setekal perjuangan generasi yang menyaksikan negara ini menikmati kemerdekaan.
Penjajah zaman moden tidak lagi cuba menjajah menggunakan kuasa tentera seperti dulu tetapi beralih kepada senjata baru - senjata ekonomi kapitalisme yang masih juga menggunakan prinsip serupa - menindas kaum yang lemah.
Wassalam.
|