Tuesday, April 22, 2008
My Secret - Aizam Aiman


Judul: My Secret
Penulis:
Aizam Aiman
Penerbit: PTS One
Genre: Remaja
Bintang: ****


Rahsia. Rahsia. Rahsia.Sakit kepala Adilah dibuatnya. Siapa sebenarnya Reen? Besar sangatkah rahsia yang disimpannya? Misi kali ini, membongkar rahsia Reen. Berjayakah Adilah?


Siri "My..." tulisan Aizam Aiman dimulakan dengan latar belakang Adilah dalam My Angel. Kisah Adilah bersekolah asrama dipaparkan pula dalam My Hero. Saya memang terpikat dengan siri "My.." ini kerana watak Adilah yang dikembangkan dengan konsisten, aksi-aksi lucunya dan dilema yang dihadapi sepanjang hidupnya dalam My Angel dan My Hero. Lalu, siri ini juga menjadi koleksi peribadi saya. Kemunculan "My Secret" siri yang ketiga semasa Pesta Buku 2008 membuatkan saya tidak sabar-sabar untuk mengetahui kisah Adilah yang selanjutnya.

Dalam My Secret - mesej utama yang disampaikan ialah tentang Adilah secara tidak sengaja dapat menghidu sesuatu yang pelik dalam hidup Reen, teman sebiliknya di asrama. Perasaan Adilah begitu membuak-buak untuk mengorek rahsia Reen setelah berlaku insiden-insiden yang mencurigakan.

Saya sukakan My Secret. Lebih matang jalan ceritanya namun Aizam Aiman masih mengekalkan sentuhannya yang membuatkan My Secret bagai menyambung kemanisan kisah Adilah dalam dua novel Aizam sebelumnya. Paling penting ialah mesej yang cuba disampaikan tentang tanggungjawab kita sebagai manusia yang harus menghormati hal peribadi teman sekeliling.

Syabas Aizam atas sebuah karya yang ringkas tetapi padat dengan pengajaran.

Posted at 07:54 am by carriekirana
Comments (7)  




Monday, April 21, 2008
Dear Yayah 4 - Farihah Iskandar

 


Judul: Dear Yayah 4
Penulis:
Farihah Iskandar
Penerbit: PTS One
Genre: Remaja
Bintang: ***


Kali ini, Jihan dah tamat sekolah. Macam mana agaknya hidup Jihan di rumah tanpa teman-teman yang menemaninya selama 5 tahun. Apa keputusan SPM Jihan dan kawan-kawannya? Berdebar-debar pula rasanya...

Yayah - Dah masuk tahun baru. Jadi guna diari baru. Comel sangat. Harap-harap tahun ni penuh dengan catatan yang menggembirakan.

Hazman – Balik kampung tapi masih berbalas surat dengan aku. Cuma posmen kami bukan Sofian lagi. Tapi dah naik taraf sikit, sekarang dah pandai guna telefon pula.

Suria – Tiap-tiap malam menelefon Suria. Maklumlah roommate kan dulu. Dah terbiasa berbual dengannya sebelum masuk tidur. (Tak dapat buang tabiat tu!)

Khairi – Dah duduk jauh nun di Chicago. Sebab tu Suria tak berapa ceria sekarang....


Semasa pesta buku yang lepas, Dear Yayah 4 laku bagai pisang goreng panas. Sebanyak 5,000 naskhah Dear Yayah 4 habis dijual. Keistimewaan Dear Yayah ini terletak pada watak utama - Jihan dan diari cum kawan baik tempat meluah rasa - Yayah.

Dalam Dear Yayah 4, keriangan dan keseronokan ketika zaman sekolah berasrama ditinggalkan. Jihan melalui zaman peralihan di mana dia diterima masuk ke kolej persediaan sebelum menyambung pelajaran ke seberang laut. Version kali ini lebih bernada serius, menyoroti perasaan Jihan berhadapan dengan pelbagai perubahan dan peristiwa yang perlu ditangani segera. Persahabatannya dengan Hazman diuji dengan jarak yang jauh, keluarga yang akan ditinggalkan, rakan-rakan di sekolah yang sudah memilih jalan masing-masing.


Dari Kaca Mata Carriekirana:

Pesta buku kali ini menyaksikan PTS melancarkan 100 judul novel remaja terbitannya dalam bentuk MBook. Bagi yang membeli Dear Yayah 4, mereka boleh memuatturunkan Mbook percuma untuk menguji keberkesanan produk terbaru ini. Teknologi berasaskan aplikasi JAVA ini membolehkan pemilik telefon bimbit memuatturunkan isi kandungan novel daripada laman web Hotlink Maxis terus ke dalam telefon bimbit. Revolusi terbaru ini bertujuan untuk menggalakkan/menanamkan minat membaca di kalangan remaja. Inisiatif ini adalah hasil kerjasama tiga pihak - Maxis sebagai penyedia platform, METODOME sebagai penyedia teknologi dan PTS sebagai pembekal isi kandungan.

Trend Mbook ini dimulakan di Jepun tidak lama dulu dan menjadi kegilaan maksimum remaja di sana yang lebih "up-todate". Namun begitu, di Jepun, trendnya berbeza. Remaja menaip cerita dalam telefon bimbit dan menghantar cerita mereka ke laman komuniti yang menyediakan ciri-ciri yang membolehkan remaja-remaja ini memindahkan cerita mereka ke laman komuniti berkenaan. Cerita yang mempunyai ramai pengikutnya diterbitkan dalam versi cetak dan selalunya novel mobile versi cetak menduduki tangga teratas dalam carta jualan kedai buku. Ini juga satu revolusi bagi dunia penerbitan untuk menggerakkan jualan buku-buku yang kian merudum. Adakah Malaysia juga akan mengikut trend di Jepun di mana jualan Mbook ini akan mencipta fenomena baru di kalangan remaja di sini ?

Wallahualam.

Posted at 08:41 am by carriekirana
Comments (10)  




Thursday, April 17, 2008
Garis-garis Dejavu-John Norafizan


Judul: Garis-garis Dejavu
Penulis:
John Norafizan
Penerbit: Jemari Seni
Genre: Spiritual-Metafizik
Bintang: ****


"Pergilah engkau di tempat di mana matahari terbenam. Apabila hati kau penuh dengan kepedihan. Dan, kau akan bertemu aku di sana...."

"Jangan mencari cinta yang telah hilang...Kerana cinta yang hilang tidak punya jalan pulang..."

"Bukankah kau selalu merintih setiap malam tentang kehidupan kau yang kosong itu? Dalam pekat malam dan dingin salji yang turun, dinding-dinding mendengar kau berbicara tentang nasib malang kau. Tentang kehidupan ini yang tidak ada makna lagi. Tentang ketenangan JIWA yang hilang. Atau adakah ENGKAU MASIH MAHU MENAFIKANNYA?"

"Hidup ini kadang-kadang tidak punya pilihan. Tidak semestinya kita akan mendapat bahagia yang kita cari. Apa yang ada itulah yang harus dihargai?
Biarkan cinta lama hilang.
Biarkan takdir  lama memandu jalan pulang.

"Semua orang, pada setiap masa, mencari sesuatu yang hilang dalam hidup mereka. Tidak kira sama ada sesuatu yang hilang itu adalah orang yang mereka sayang yang telah pergi daripada hidup mereka atau hati yang telah kosong dan dipenuhi kegelisahan.. mereka akan terus mencarinya. Mencari  supaya mereka dapat gembira semula. Dapat merasa bahagia semula."

"Takdir. Sesuatu yang aneh. Kadang-kadang menakutkan. Bagaimana tidak? Hari ini kita boleh bergurau senda dengan orang yang kita sayangi, tetapi segala-galanya mungkin tidak akan sama lagi keesokan harinya. Mungkin kita bukan lagi bersama dengan orang yang tersayang atau orang yang kita kenali.Tetapi dengan orang asing yang benar-benar memerlukan bantuan dan harapan kita. Ataupun, kita yang memerlukan bantuan dan harapan daripada orang itu."


Dari Kacamata Carriekirana

Setelah menghabiskan Garis-garis Dejavu, saya juga seakan merasai dejavu. Bagi saya, eksperimen John kali ini lebih berani - menyelongkar satu dimensi yang jarang-jarang diterokai secara mendalam oleh penulis lain kecuali Ramlee Awang Murshid dalam karyanya Bagaikan Puteri. Begitupun, Ramlee juga tidak menggarap dimensi mimpi dari satu perspektif yang kompleks. Dalam konteks Garis-garis Dejavu, penceritaan John lebih mendalam dan menggunakan sains metafizik sebagai teras ceritanya. Mengapa alam mimpi jarang digarap oleh penulis? Cabarannya ialah ianya tidak terjangkau dek akal yang logik. Mengorak langkah menggarap sebuah kisah berdasarkan atas mimpi memerlukan penulis membuat kajian yang begitu mendalam agar apa yang ditulis tidak terkeluar dari landasan yang dibenarkan.

Saya suka eksperimen John kali ini. Lebih baik dari Cinderella Cinta. Semoga terus gigih berkarya.

Siapa yang suka karya sebegini?
Penggemar novel John Norafizan. Penggemar novel-novel yang membawa isu berat yang membuatkan pembaca berfikir tentang isu yang cuba disampaikan. Penggemar novel alternatif juga pasti tertarik dengan cubaan pertama John dalam GGD ini.

Posted at 06:46 pm by carriekirana
Comments (2)  




Wednesday, April 16, 2008
Sekalung Terima Kasih

Salam semua.

Sekalung terima-kasih untuk semua yang Carrie jumpa sepanjang Pesta Buku.

Terima kasih
Sudi berkongsi rasa
Luahan kecewa
Di tengah suara pekikan
Penjual pasar malam.

Terima kasih
Atas cenderahati berharga
Tulus dan ikhlas
Moga dimurahkan rezeki
Dikurniakan Tuhan
Ilham yang bisa menyentuh jiwa.

Terima kasih
Pada rakan seperjuangan
Jua pengunjung sepi laman ini
Yang menyapa
Yang masih datang
Menyuarakan isi hati
Pengalaman mimpi.

Terima kasih
Pada yang mula mengenali
Nukilan di sini hanya satu
Mencari delima berharga
Untuk dikenang selamanya

Terima kasih jua
Kepada yang ke sini
Terharu rasa hati
Laman ini jadi panduan
Harap bisa ketemu
Apa yang dicari.

Saya tidak bisa
Puaskan hati semua
Cuma hanya mencoret kisah-kisah
Rasa saya...

Satu hari...
Saya jua akan muncul
Dengan kisah
Yang ada nama saya sendiri...

Insya Allah.

Salam kasih sayang,
Carriekirana

Posted at 06:36 pm by carriekirana
Make a comment  




Tuesday, April 15, 2008
Cebisan Kenangan Pesta Buku 2008

Pada tahun ini, Carrie  pergi ke Pesta Buku setiap hari. Misi Carrie kali ini ialah untuk melihat kecenderungan pengunjung-pengunjung yang datang ke Pesta Buku. Sayangnya, Carrie tidak ada kamera untuk merakam detik-detik manis bertemu penulis-penulis di satu tempat yang sama.

Andrea Hirata

Andrea Hirata adalah satu fenomena baru di Indonesia dengan terbitnya Laskar Pelangi, Sang Pemimpi dan Edensor. Khabarnya, naskhah Laskar Pelangi sahaja sudah terjual 500,000 unit di Jakarta. Laskar Pelangi adalah sebuah tetralogi - novel keempat Andrea akan menemui peminat-peminatnya lewat bulan Mei ini - Maryamah Karpov.

Untuk memeriahkan lagi Pesta Buku Antarabangsa KL tahun ini, PTS membawa Andrea Hirata ke Kuala Lumpur (PTS memegang lesen terjemahan karya Laskar Pelangi di Malaysia). Jadual beliau agak padat dengan penampilan di radio dan TV sebelum muncul dalam diskusi buku Laskar Pelangi pada petang Sabtu lepas.

Apabila bersemuka dengan Andrea Hirata dan mendengar dia berbicara tentang karyanya, Carrie akhirnya tahu mengapa dia terkenal.

Dia memiliki ciri-ciri seorang penglipur lara. Carrie rasa pada zaman ini, jarang-jarang kita mendengar sesi penglipur lara - di mana seorang pencerita akan menceritakan sebuah kisah, lengkap dengan nada dan intonasi suara, pause, dan daya penarik yang akan mengikat pendengar-pendengarnya untuk terus mendengar ceritanya...kisah hatinya, perasaannya dan jiwanya terhadap karya yang diceritakannya itu. Semuanya dalam bentuk "live, unplugged version" hingga memukau sang pendengar. Itulah Andrea Hirata.

Gaya Andrea Hirata bercerita, tentang kisah kehidupannya sebagai seorang anak Melayu Belitong begitu menyentuh hati. Pastinya, jika Carrie dapat menghabiskan tetraloginya, tentu Carrie dapat lebih menjiwai kisah hidupnya.

Satu lagi ciri ialah kejujurannya, ikhlas terpancar dari matanya. Carrie rasa Andrea seorang yang pemalu tetapi oleh kerana populariti Laskar Pelangi yang meledak di Indonesia dan menyebabkan dia harus muncul di khalayak ramai sebanyak 168 kali (termasuk diskusi buku PTS - pertama di Malaysia), sifat malunya tidak begitu ketara.

Apa yang Carrie dapat simpulkan dari sessi ini, kejayaan novel Laskar Pelangi ini sebetulnya tidak pernah terduga oleh Andrea. Barangkali ketika dia menulis novel berkenaan, niatnya jujur - untuk mempersembahkan sebuah memoir buat pengorbanan gurunya Ibu Muslimah dalam mendidik sekumpulan Laskar Pelangi. Lalu, kejujuran itu terserlah dalam novel itu ketika ia diterbitkan dan perasaan, hati dan jiwanya bersatu dalam sebuah karya yang begitu menyentuh pembacanya.

Wallahualam.

Penulis dan Keyakinan Diri

Keyakinan diri (self-confidence) adalah aset penting untuk mengorak langkah lebih jauh dalam apa jua bidang termasuk penulisan.

"Saya rasa saya tidak pandai menulis....."

"Saya rasa saya tidak ada bakat...."

"Saya rasa saudari lebih hebat.."

"Saya rasa cerita saya tidak bagus.."

"Saya rasa takut dengan pengharapan tinggi daripada peminat..."

"Saya tidak yakin cerita ini akan jadi sehebat yang lain..."

"Saya rasa kecewa kerana......"

"Saya takut dengan komen-komen pembaca...."

Ini adalah ayat-ayat yang selalu saya dengar dari kalangan penulis tetapi ketahuilah bahawa ayat-ayat ini sebenarnya adalah ayat pembunuh semangat. 

Kepada penulis dan bakal-bakal penulis, jangan sesekali letakkan diri anda begitu kerdil di atas muka bumi ini. Yakin dengan bakat yang ada. Kejayaan sesebuah karya hingga angka jualannya melonjak naik bukan ukuran kejayaan kariernya. Itu adalah rezekinya yang ditentukan oleh Allah atas sebab kegigihannya, ketekunannya dan pengorbanannya. Yakin bahawa setiap apa yang kita lakukan ada rezeki masing-masing yang ditentukan oleh Allah. Cuma, mungkin adakala cepat dan adakalanya lambat.  

Jika kita asyik memandang kepada orang lain yang mencipta kejayaan demi kejayaan dan ada sekelumit rasa kecewa dalam hati kita kerana kita masih tidak mengecapi apa yang kita mahukan, kita tidak seharusnya patah semangat. Jadikan yang berjaya sebagai idola dan persiapkan diri kita dengan apa yang kita rasa kurang dalam diri kita sendiri.

Kita berhak menentukan apa yang kita hendak untuk hidup kita - sebagai seorang insan jua seorang penulis. Apakah matlamat kita sebagai seorang penulis? Apakah perjuangan kita?

Penulisan adalah kerjaya yang mulia dari zaman Tuhan mengajarkan manusia menggunakan pena. Penulisan adalah jambatan ilmu - lalu perjuangan jujur sebagai seorang penulis pasti akan diberkati. Dan, kejujuran itu bukan sahaja boleh dinilai hanya pada Allah

Penganjuran Pesta Buku dan Perkhidmatan Pelanggan

Penganjuran Pesta Buku kali ini memang mengecewakan. Pengurusan trafik yang "memaksa" pengunjung yang datang untuk pergi ke TR2 di seberang sungai kemudian naik kembali ke dewan utama adalah satu langkah yang tidak logik. Kebanyakan yang datang membawa bayi dan anak-anak kecil. Saya tahu ianya berlaku kerana gerai-gerai di TR2 membuat aduan bahawa tidak ramai yang datang ke seberang sungai melihat gerai-gerai di sana. Kebanyakan pengunjung berlegar di TR3 dan TR4 kerana di situlah terkumpulnya gerai-gerai yang "happening". Penganjuran kali ini tidak mengambil kira satu aspek: keselesaan pengunjung dan pembeli.

Dalam bidang perkhidmatan pelanggan, keselesaan pelanggan mesti jadi prioriti nombor satu. Tidak ada kompromi. Di Malaysia, terus-terang saya katakan, keutamaan dan keselesaan pelanggan tidak pernah diletakkan di tangga nombor satu. Kebanyakan kita lebih akur dengan kehendak pengedar/penjual. Hak-hak asasi konsumer sering diperlekehkan. Saya juga ada pengalaman pahit sebagai seorang pembeli. Tidakkah seorang promoter/penjual/pengedar itu sedar gaji yang diperolehi setiap bulan itu datangnya dari wang poket pelanggan?

Dalam kes pengurusan trafik yang tidak efisyen, saya belas melihat mereka yang sanggup datang berasak-asak ke Pesta Buku, membawa anak-anak dalam keadaan yang pengap dan sesak kemudian dipaksa pula menuruni jambatan dan kemudian naik kembali tercungap-cungap ke TR3 dan TR4 hanya kerana untuk memenuhi permintaan gerai-gerai TR2 yang kurang pengunjungnya. Ia menjadi satu dilema - ditelan mati emak, diluah mati bapak.

Jadikan apa yang berlaku sebagai tauladan untuk pihak penganjur bersiap-sedia merangka strategi untuk Pesta Buku akan datang. Kita hanya ada satu sahaja Pesta Buku terbesar setahun - Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur ini. Di sinilah tempat di mana sejarah terbina - ilmu dinobatkan, penulis diraikan sebagai insan istimewa dan perkenalan antara penulis dan pembacanya dijadikan kenang-kenangan.  Ianya cukup sentimental bagi semua pencinta buku termasuk saya.

Wallahualam.


Posted at 05:48 pm by carriekirana
Comments (2)  




Friday, April 11, 2008
Sempena Pesta Buku (5) - Alaf21,Buku Prima, Al Ameen

Hujung minggu ini adalah kemuncak Pesta Buku. Pelbagai aktiviti dijalankan untuk memperkenalkan buku-buku baru.
Entri kali ini berkisar tentang Alaf21 dan Buku Prima:

Alaf 21

Alaf 21 adalah "market leader" dalam penerbitan novel-novel cinta popular. Nama Alaf 21 sinonim dengan novel cinta popular yang diterbitkan. Judul-judul semakin bertambah dan kemunculan novelis-novelis baru mempelbagaikan lagi produk-produk untuk Pesta Buku ini. Sasaran Alaf 21 tentunya remaja dewasa hingga awal dewasa. Tetapi, ada juga beberapa penggemar dewasa yang membesar dengan Alaf 21 dan penulis-penulis "otai" seperti Ramlee Awang Murshid, Aisya Sofea, Anis Ayuni, Norzailina Nordin dan Damya Hanna. Alaf 21 juga sinonim dengan rangka cerita yang ringan dan santai.

Koleksi Carrie pada musim Pesta Buku ini ialah:



Buku Prima

Buku Prima juga merupakan anak syarikat Karangkraf yang menerbitkan novel-novel popular. Carrie ada pengalaman kecewa sedikit membaca satu karya Buku Prima dulu lalu Carrie agak berat untuk membeli Buku Prima. Namun begitu, ada desas-desus mengatakan Buku Prima semakin mengancam dan novel-novel yang laju disambar oleh pembeli novel ialah:


Hanya Dikau - Ebriza Aminuddin
Plain Jane

P.S. Teruja juga Carrie.


Al-Ameen

Tidak banyak yang Carrie tahu mengenai Al-Ameen. Cuma kebelakangan ini, penerbit ini juga rajin menerbitkan buku bacaan umum ala-ala PTS. Bagi para penulis, bakal penulis, Carrie memang syorkan dapatkan:

Karya Kita Hak Kita - Nisah Haron - bagi panduan tentang hakcipta.
Panduan Karya Nan Indah - Faisal Tehrani - bagi panduan tulisan kreatif.


Jumpa di sana!

Posted at 11:15 am by carriekirana
Comments (94)  




Thursday, April 10, 2008
Sempena Pesta Buku (4) - PTS Publishers

Kali ini, Carrie mahu berkongsi maklumat tentang:

PTS
PTS adalah salah satu penerbit yang begitu aktif menerbitkan bahan bacaan untuk segenap lapisan masyarakat. Moto "Memandaikan Bangsa" banyak menggerakkan PTS tanpa jemu menerbitkan bahan-bahan bacaan untuk pengetahuan dan hiburan dengan harga yang berpatutan. Bagi yang sukakan novel jibunsyi(biografi orang biasa), novel-novel remaja dan sci-fi, hikayat, cerita rakyat, boleh berkunjung ke PTS.

Ada beberapa produk PTS yang menarik perhatian Carrie untuk menambah koleksi:


Sinopsis:
Salju Sakinah sebuah novel yang masih membumbukan secebis kisah cinta namun tetap mesra dan tepu dengan persoalan global dunia Islam, ekonomi, politik dan sosial yang digauli wataknya. Novel Islami ini menyorot ketabahan watak Sumayyah, siswi Malaysia di Universiti Yarmouk, Jordan yang berada di semester terakhir pengajiannya.


Tetralogi Laskar Pelangi oleh Andrea Hirata- Penulis yang semakin dikenali dari Indonesia. Setakat ini baru ada tiga. Terujanya Carrie nak baca karya penulis ini.


Pelbagai novel remaja yang menarik perhatian Carrie juga.


Corat-coret Pesta Buku:

Pada satu waktu dahulu, penulis/sasterawan adalah merupakan golongan yang penuh misteri. Biasanya, mereka mengasingkan diri, selalunya pemalu dan tidak suka mendedahkan identiti mereka kepada pengikut setia karya-karya mereka kerana mereka lebih selesa begitu. Pencinta buku membesar dengan hanya mengetahui nama penulis, sedikit biodata dan karya-karya mereka. Itu sahaja.

Tetapi, arus perubahan yang pantas bukan sahaja melanda profesion lain tetapi juga profesion penulisan. Bidang penulisan dilihat sebenarnya sebagai bidang profesional dan penulis-penulis dianggap sebagai golongan istimewa kerana walau hanya untuk menggarap sebuah novel remaja ringan sekalipun, penulis-penulis terpaksa memerah otak untuk menggabungjalin plot, jalan cerita, gaya penceritaan bagi menghasilkan sebuah karya.

Untuk hidup sebagai seorang "survivor" terutama sekali dalam bidang penulisan khasnya pada hari ini, penulis juga perlu melengkapkan dirinya dengan membuat perubahan. Tidak semua penulis berani untuk berubah.Tidak semua penulis berani menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran dan ragam pembaca yang sering kali memeningkan kepala. Kehendak pembaca hari ini lebih kompleks. Lalu, penulis  sebenarnya harus mempunyai visi dan misi yang jelas untuk perkembangan kariernya. Jawapan itu hanya ada dalam diri penulis itu sendiri.  Penulis mempunyai tanggungjawab berat untuk memperbaiki apa-apa kekurangan yang dilihat supaya lebih berhati-hati pada masa depan. Penulis juga perlu bersiap-sedia dengan telinga kualinya - mendengar komen pembaca-pembaca yang tidak bertapis kadang-kadang. Penulis perlu belajar mendidik diri sendiri supaya tidak cepat merajuk tapi cepat-cepat bangun, berkarya kembali tanpa putus asa. Menguruskan emosi sendiri bukan perkara yang mudah kerana ia melihatkan perasaan yang subjektif tetapi ia masih boleh dilakukan.

Pada pandangan peribadi Carrie, sepanjang perbualan bersama mereka yang Carrie temui di pesta buku, Carrie dapati penulis best-seller mempunyai sifat-sifat ini:
1. Peramah dan suka berinteraksi dengan orang ramai
2. Penampilan yang menarik, gaya yang sesuai dengan dirinya sendiri.
3. Berfikiran terbuka dan konstruktif, berminat untuk mengetahui respons pembaca supaya apa-apa kekurangan akan cepat diperbaiki dalam karya akan datang.
4. Tidak mudah berkecil hati sebaliknya melihat setiap yang berlaku dari sudut yang positif.
5. Tidak mudah melompat dari satu penerbit ke penerbit yang lain.
6. Tidak banyak kerenah dengan penerbit dan editor. Mudah bekerjasama dengan penerbit dan editor, berbincang secara terbuka tentang apa-apa yang perlu diperbaiki baik dari segi cerita, suntingan dan kebajikan penulis untuk memastikan produk yang ditulis dapat memenuhi kehendak pelanggan. Dalam erti kata lain, penulis harus menjadi seorang "team-player" yang hebat.
7. Memiliki senjata yang kukuh - kemahiran Bahasa Melayu yang tinggi dan bijak mengolah/memilih frasa ayat yang berkesan.
8. Mempunyai lawan web/blog sendiri yang aktif - ini penting untuk menjana permintaan terhadap buku penulis.
9. Tidak besar kepala, tidak terlalu cerewet atau "syok sendiri" - penyakit inilah yang selalunya akan membunuh karier kebanyakan penulis secara diam.

Carrie benar-benar tabik dengan penulis-penulis yang dikenali ramai kerana karya-karya mereka yang mantap dalam genre mereka tersendiri. Jadikanlah mana-mana mereka yang anda minati sebagai idola untuk membina karier anda sendiri. Mereka semua berkongsi sifat-sifat positif yang sama - sifat-sifat positif yang hanya ada pada orang-orang yang cemerlang.

Carrie berpendapat, jika penulis ingin bergerak jauh dalam kariernya, dia perlu memecahkan tembok yang tinggi di antaranya dan penggemar buku. Dalam zaman ini, ia adalah satu langkah yang tidak dapat dielakkan.  Penulis zaman sekarang juga harus berfikir di luar bidang penulisan. Dia harus mengganggap dirinya juga seperti seorang peniaga. Bukan sekadar menulis saja. Penulis tidak harus bergantung sepenuhnya kepada penerbit untuk promosi tetapi di samping itu membuat banyak inisiatif supaya diri lebih dekat dengan pencinta buku dengan mempromosikan bukunya sendiri. Penulis sekarang juga harus berfikir tentang target jualan karyanya untuk satu-satu jangkamasa.

Carrie lihat begitu banyak sekali novel-novel/buku-buku yang diterbitkan dewasa kini. Persaingan semakin sengit. Carrie sendiri berada dalam dilema untuk memilih buku mana untuk dibeli dan dibaca. Jadi, apakah strategi yang perlu dicipta oleh penulis untuk memastikan karyanya diterima/dilihat orang? Promosi! Promosi! Promosi! Sentiasa yakin dengan karya yang dihasilkan dan rapatkan jurang antara penulis dan penggemar buku. Insya Allah.

Wassalam.

Posted at 10:26 am by carriekirana
Comments (2)  




Wednesday, April 09, 2008
Sempena Pesta Buku (3) - KarnaDya

Untuk kali ini, Carrie paparkan maklumat tentang:

KarnaDya Solutions
KarnaDya ditubuhkan oleh novelis yang dikenali ramai melalui novel sulungnya Sesuci Cinta yang dilatari oleh Istana AlHambra, Sepanyol. Setelah tiga novelnya diterbitkan oleh Alaf21, Aina berubah angin dengan membuka syarikatnya sendiri yang menerbitkan karya-karyanya dan karya-karya novelis Mimie Afinie. Buat masa kini, KarnaDya cuba menerbitkan pelbagai bahan bacaan terutama sekali untuk disasarkan kepada awal remaja (9-15 tahun), remaja dewasa (15-21) dan dewasa (21 ke atas). Selain daripada itu, sempena Pesta Buku, Aina Emir juga muncul dengan novel thriller pertama beliau - Perempuan Ini Lelaki Itu dengan menggunakan nama pena Jenna Jehan (watak yang dipetik dari Kau Laksana Bulan).

Novel-novel terbaru bagi peminat-peminat Aina Emir dan Mimi Afinie:


HANYA KITA BERDUA

-Aina Emir-

Hanya Kita Berdua akan membawa anda ke sebuah pekan kecil di persisiran pantai negeri Perak. Di sana anda akan temui Najla Haifa dan keluarganya yang kaya. Anda juga akan temui Adil, remaja yang tidak setaraf dengan Najla. Malangnya, satu peristiwa telah berlaku dan memisahkan mereka berdua.

Pertemuan dengan Danni seorang lelaki romantis lagi penyayang telah mengubah hidupnya. Berjayakah Danni untuk menjadikan Najla isterinya dan apakah pula rahsia yang sekian lama terselindung dan mencemarkan nama keluarga gadis itu?

Sebuah novel berunsur kekeluargaan, sarat dengan pertelingkahan dan dendam berpanjangan, namun mempunyai plot cerita yang romantis, terselit unsur humor dan penuh dengan persoalan.



Novel thriller pertama Aina Emir yang menggunakan nama pena Jenna Jehan.


KALAU ADA JODOH

-Mimie Afinie-

Tiada sesiapa mahu sengsara. Tiada jua yang inginkan derita. Namun takdir Tuhan tiada siapa yang mampu menepis? Marini terpaksa mengharungi sebuah kehidupan yang berdepan dengan onak dan duri hinggalah dia menumpang di rumah kakaknya. Di sanalah perjalanan hidupnya mula berubah. Tiba-tiba sahaja dia bertemu dengan Pyan, lelaki yang punyai personaliti yang jauh beza daripada apa yang ada dalam kotak fikirannya. Pun begitu, Faris tidak pernah melupakannya. Kesilapan yang pernah dilakukannya mahu dipulihkan semula.

Kalau Ada Jodoh merupakan sebuah novel yang penuh dengan plot humor, ada yang menyentuh perasaan dan tentunya akan menghiburkan pembaca sekelian.


Dari Kaca Mata Carriekirana:
Teknik jualan buku-buku ensiklopedia dan kursus-kursus bahasa Inggeris seperti yang diamalkan oleh jurujual-jurujual semasa Pesta Buku adalah teknik jualan yang lapuk dimakan zaman. Berapa peratuskah jualan yang diperolehi daripada teknik jualan stereotaip ini?

Bagi Carrie, teknik seperti menghalang laluan pengunjung-pengunjung pesta, mengejar pengunjung-pengunjung yang berjalan jauh dari booth dan memaksa pengunjung-pengunjung berhenti di gerai mereka adalah teknik yang bukan akan menambahkan jualan tetapi sebaliknya akan mencetus perasaan fobia di kalangan pengunjung-pengunjung dan membuatkan mereka semakin menjauhi gerai-gerai sedemikian. Adakah ini yang dimahukan oleh penjual-penjual buku berkenaan?

Pembeli/pencinta buku adalah pelanggan yang paling sukar untuk dipenuhi kehendaknya. Rata-rata mereka terdiri daripada orang-orang yang mempunyai ilmu dan berhemah tinggi. Mengeluarkan beratus-ratus ringgit untuk membeli buku-buku yang akhirnya akan disusun di dalam almari buku tidak akan dilakukan oleh kebanyakan orang kecuali jika mereka benar-benar ulat buku/pencinta ilmu.

Buku adalah antara produk-produk kompleks untuk dijual. Kepuasan pembaca tidak boleh diukur dengan kayu pengukur. Ia adalah subjektif. Bagaimana mahu meyakinkan seorang bakal konsumer supaya membeli buku-buku yang diterbitkan oleh syarikat anda?

Pertama sekali, individu-individu yang menjaga gerai-gerai buku (promoter buku) harus mempunyai pengetahuan produk yang mendalam tentang buku-buku yang dipamerkan. Mereka harus tahu bagaimana untuk berinteraksi dengan para pengunjung tentang produk yang ditanya oleh pengunjung-pengunjung berkenaan. Namun begitu, ada yang sekadar jadi tukang jaga sahaja dan kadang-kadang menunjukkan muka "blank" apabila Carrie tanya tentang keistimewaan sesebuah karya.

Suasana yang mengecewakan ini bukan sahaja berlaku di pesta buku tapi di mana-mana sahaja kedai buku di Lembah Klang ini. Jadi, mengapa mereka bekerja di kedai buku atau dengan syarikat buku? Mungkin hanya untuk mendapatkan duit lebih?

Promoter buku yang juga pencinta buku akan terserlah kecintaannya pada ilmu dan mesej yang dibawa oleh sesebuah buku. Aura itu dengan sendirinya akan terpancar dari penampilannya. Dia juga sanggup bersusah-payah memastikan pengunjung-pengunjung yang datang mendapatkan maklumat yang diinginkan. Tidak lokek menghadiahkan senyuman di samping mempunyai sifat budi bahasa yang tinggi. Dia menjalankan peranan sebagai seorang "penasihat/konsultan" dalam membimbing pengunjung untuk mendapatkan apa yang dimahukannya dan komited untuk melakukan lebih daripada tugas asasinya.

Penerbit buku WAJIB mengadakan satu seminar "product knowledge" untuk semua promoter-promoternya semasa pesta buku supaya promoter-promoter ini tidak kelihatan terpinga-pinga apabila para pengunjung bertanyakan soalan yang selain daripada tajuk buku dan siapa penulisnya.

Salam dari,
Carriekirana

P.S. Carrie sedikit kecewa dengan layanan seorang promoter Karangkraf berbadan besar itu yang menjaga ruang majalah di ruang legar PWTC pada satu petang semasa Pesta Buku. Carrie singgah di gerai majalah untuk mendapatkan majalah Rasa. Carrie tahu dia nampak Carrie datang menjinjing beg-beg plastik yang sungguh berat dengan buku-buku yang Carrie letak di tepi kaunter sebelum Carrie meletakkan majalah di atas kaunter. Sebab, dia duduk di atas kerusi di tepi kaunter. Tetapi, dia dengan muka tanpa perasaan menyuruh Carrie beratur seperti orang lain. Lalu, Carrie terpaksa berdengih-dengih menghela semua beg plastik itu  ke hadapan kaunter pula. Memang dugaan betul untuk Carrie pada masa itu. Beginikah layanan kepada seorang pembeli? Carrie faham orang muda selalunya tidak prihatin dengan benda-benda sekecil itu. Agaknya dengan pembeli lain macam mana pula ? Alternatif - Apa salahnya Carrie letak majalah Carrie itu ikut giliran  dan apabila tiba giliran majalah Carrie, Carrie bayar dari tepi kaunter sebab siapalah nak jaga beg-beg plastik Carrie yang banyak itu? Kalaupun Carrie letak beg yang banyak itu di hadapan kaunter pula nanti mengganggu orang lain yang mahu membayar. Keesokan harinya, promoter yang sama begitu ceria mempelawa pelanggan-pelanggan masuk ke gerai Karangkraf. Hmmmm....

Pengajaran buat Carrie -
Bawa beg sandang lain kali supaya tidak perlu jinjing banyak beg plastik.
Bawa teman supaya dia boleh tolong bawakan beg-beg plastik Carrie itu sementara Carrie membayar di kaunter.

Itulah sedikit sebanyak coretan ragam manusia di Pesta Buku.

-Budi-bahasa yang tinggi tidak dapat dibeli dengan wang ringgit-

Posted at 01:24 pm by carriekirana
Comments (2)  




Tuesday, April 08, 2008
Sempena Pesta Buku (2) - Kaki Novel

Sepanjang minggu pesta buku, Carrie akan cuba paparkan maklumat tentang novel-novel terbaru yang ditawarkan oleh penerbit-penerbit novel. Untuk kali ini, Carrie paparkan sedikit maklumat tentang Kaki Novel Enterprise.

Kaki Novel Enterprise
Di sebalik tabir Kaki Novel Enterprise(KN) adalah seorang anak muda yang gigih dan bekerja keras menerbitkan novel-novel cinta . KN mula dikenali melalui novel pertamanya Bukan Cinta Biasa karya penulis baru Izzul Izzati. Buat masa kini, Bukan Cinta Biasa sudah dicetak sebanyak 9 kali untuk memenuhi kehendak penggemar novel. KN juga dibarisi oleh barisan novelis baru dan lama seperti Izza Aripin, Anita Abdullah, Puteri Andalas, Eita Ashyta, Zaharah Muhamad, Mina Mahanie dsb sebagainya. Sejak akhir-akhir ini, KN cuba mengorak langkah dengan menawarkan kisah-kisah thriller dan misteri bermula dengan novel thriller KN yang pertama- Gerhana Hati Lara karya penulis baru Hani Sofea. Bagi pesta buku kali ini, ada satu kelainan yang cuba ditonjolkan oleh Kaki Novel. Kehadiran novel thriller/suspens "Awang Vampiro" tulisan Nizam Zakaria ini membuka genre baru dalam pembacaan novel.

Antara sebab-sebab Carrie membaca novel-novel KN ialah:
1. Pelbagai genre cerita yang ditawarkan.
2. Gaya penulisan penulis yang masih dikekalkan- ini membuatkan kisah yang biasa dipaparkan menjadi unik- hasil sentuhan kreatif penulis-penulis KN.
3. Harga yang ditawarkan amat kompetitif - mampu dimiliki dan ahli kelab KN menikmati diskaun yang menarik.

Target pasaran KN:
Pembaca-pembaca matang yang inginkan kisah-kisah kehidupan yang lebih cenderung ke arah realiti kehidupan sebenar dan pembaca yang mahu menikmati kepelbagaian pembacaan alternatif

Produk-produk terbaru yang diterbitkan oleh KN untuk Pesta Buku ini ialah:





Dari Kaca Mata Carriekirana:

Jika dilihat pada tajuk Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, Carrie tidak dapat lihat apa yang ada pada perkataan "Antarabangsa" itu. Kebanyakan gerai-gerai yang kerap dikunjungi adalah gerai-gerai yang memuatkan produk-produk tempatan. Senarai aktiviti yang dijalankan juga tidak begitu banyak.  Usaha Majlis Buku Kebangsaan Malaysia dan KPM menganjurkan pesta buku ini adalah satu inisiatif terbesar untuk menggiatkan lagi industri perbukuan di Malaysia tetapi entah kenapa Carrie tidak rasa kemeriahannya. Pada pandangan peribadi Carrie, Malaysia masih lagi di tahap yang sederhana dalam menggalakkan masyarakatnya membaca. Kita masih lagi belum mencapai taraf masyarakat yang membaca dan berilmu seperti di Indonesia dan Jepun. Jalan kita masih panjang. Rata-rata, kebanyakan kita lebih arif tentang berita sensasi dan popular. Perkongsian maklumat melalui medium penulisan masih lagi terhad kerana permintaan pasaran yang tidak menentu.

Yang paling aktif ialah perkongsian maklumat melalui blog dan laman web tetapi blogger-blogger yang  mempunyai komitmen untuk menyampaikan maklumat yang positif daripada kacamata mereka boleh dikira dengan jari. Menulis dalam blog memang mudah tetapi komitmen untuk menyampaikan maklumat adalah besar kerana kebanyakan blogger sebenarnya membangunkan laman blog mereka atas minat yang mendalam terhadap isu-isu yang mereka tulis.

Trend mencetak isi kandungan blog yang mempunyai nilai-nilai komersial juga semakin dipelopori oleh penerbit tempatan. Ianya dikenali sebagai "Blook" - satu fenomena baru yang perlu diambil kira dewasa ini. Secanggih mana teknologi blog/"content" untuk memudahkan kita berkongsi karya dan idea, kita masih manusia biasa yang tidak boleh dipisahkan daripada memiliki sesebuah karya yang boleh dipegang oleh tangan kita. Karya blog yang mempunyai ramai pengikut menjadi lebih istimewa apabila diterbitkan dalam versi cetak dan ini sebenarnya menggalakkan penjualan blook berkenaan seperti popularnya Kasih Seharum Lavender-Eita Asyhta, Percayalah-Ruby Hazri, 5 Tahun 5 bulan - Hlovate, Growing Up in Terengganu-Awang Goneng, Jiwa Kacau-Geng Journal, Nyanyian Tanjung Sepi- Noorsuraya ; sekadar menyebut beberapa nama.

Posted at 02:18 pm by carriekirana
Comment (1)  




Monday, April 07, 2008
Sempena Pesta Buku (1)- Jemari Seni

Assamualaikum buat pelayar blog Carrie.

Bagi peminat novel/buku, inilah masa yang ditunggu-tunggu - Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang sudahpun bermula pada 4hb April, 2008 lepas.
Pastinya, masing-masing juga ada senarai buku/novel yang hendak dibeli. Ada juga yang mungkin ikat perut untuk dua tiga bulan ini semata-mata Pesta Buku. Di sinilah semua penggerak/penggiat/penulis/penerbit/pengedar bertemu. Meninjau produk yang baru. Produk yang lain daripada lain.

Sebelum ke Pesta Buku, jenguk-jenguk apa yang hendak dibeli. Di sini, Carrie paparkan senarai novel-novel yang Carrie hendak jadikan koleksi. Mana-mana lagi novel yang Carrie rasa menarik akan Carrie masukkkan di sini untuk rujukan penggemar novel.

Misi Carrie untuk Pesta Buku kali ini ialah di samping menambah koleksi novel daripada penulis-penulis kegemaran Carrie, Carrie juga cuba menerokai/mencari novel-novel yang memaparkan kelainan yang boleh Carrie kongsi dengan pembaca-pembaca novel. 

Dalam entri ini, Carrie hendak berkongsi maklumat berkenaan:

Jemari Seni

Carrie memang sentiasa tertunggu-tunggu novel-novel terbitan Jemari Seni. Salah satu sebabnya Jemari Seni prihatin dalam menjaga kualiti Bahasa Melayu yang diguna oleh penulis-penulisnya.  Sebab-sebab lain mengapa Carrie menyukai novel-novel keluaran Jemari Seni:

  1. Noorsuraya memang pandai memilih cerita-cerita yang menepati selera peribadi Carrie. Setakat ini, novel-novel Jemari Seni yang pernah Carrie baca tidak menghampakan.
  2. Kualiti Bahasa Melayu penulis-penulisnya yang tinggi - Penulis-penulis yang menulis dengan Jemari Seni semuanya memiliki kemahiran Bahasa Melayu yang kukuh dan bijak mempelbagaikan kreativiti menggunakan frasa-frasa ayat yang mampu menarik pembaca meneruskan pembacaan.
  3. Gaya penulisan - Masing-masing terserlah dengan gaya penulisan tersendiri. Ini adalah Faktor X Jemari Seni.
  4. Kisah-kisahnya yang pelbagai banyak menjurus kepada realiti kehidupan tetapi ada juga terselit kisah remaja, humor dan cinta metafizik.

Pasaran sasaran (target market) Jemari Seni:

Novel-novel terbitan Jemari Seni memenuhi selera pembaca-pembaca yang sukakan kisah-kisah kehidupan yang matang dan mencabar minda. Juga bagi pembaca-pembaca yang inginkan kelainan daripada kebanyakan novel cinta slapstik di pasaran. Di sini, Carrie paparkan sinopsis tiga novel terbaru yang diterbitkan oleh Jemari Seni sempena Pesta Buku 2008.


 

Sinopsis Novel:

Kata Rumi: 
"pasangan yang bercinta bukan bertemu di satu tempat akhirnya
mereka sudah bersama sejak dari azali lagi..."  

 

Inilah sebuah cerita cinta yang ditulis dalam nada yang berbeza.
Dua benua. Tiga negara. Empat nyawa.
Dan satu takdir yang tersimpul mati! 

Sebuah episod pengembaraan yang merentasi garis-garis deja vu
Suatu pelarian tanpa noktah
dan rentetan pertemuan-pertemuan aneh seorang Damien. 

Kenapa setelah sepuluh tahun berselang
Ashraf harus mencari Laila yang hilang
sedangkan isterinya, Nini ditinggalkannya pergi?
                                                                                                    

Dan begitu mahalkah harga cinta, sehinggakan Suraya meninggalkan-Nya demi dia? 

+ + + + + 

Sebuah lagi karya segar daripada JOHN NORAFIZAN, seorang jurutera yang mahir menyusun peristiwa-peristiwa cerita; pengarang yang sentiasa mendaulatkan bahasa ibunda pada setiap karya-karyanya.  




telah kau tunai seribu janji
satu kau mungkiri… hidup bersamaku…
 

Sinopsis Novel:

Aku dan Najah kenal di depan Stadium Old Trafford, berkahwin sembunyi-sembunyi di Tanah Ratu. Sekembali ke tanah air, aku dan Najah harus pula menjadi pelakon di depan mama yang sudah ada pilihan sendiri.  

Itulah permulaan kisah ini... yang bagaikan sudah terang lagi bersuluh.
Apakah boleh aku memilih jalan ceritaku sendiri, Najah?
Jika tidak, bagaimana pula dengan perasaan?
Berkorban perasaanlah yang paling memedihkan, kerana perasaan itu tidak pernah ada bau dan warna: lalu sukarnya untuk orang lain memahami, apatah lagi merasai... 

Tulis Najah:
apalah maknanya bulan kalau langit diselubungi mendung
apalah ertinya mentari kalau sinarnya dihalang gerhana
jadi bagaimana aku harus terus hidup
kalau mentari tak mahu berkongsi kehangatannya
dan bulan tidak mahu meminjamkan sinarnya…? 

Najah, sudah jadi fitrah alam... matahari itu tetap terbit dari arah timur, dan bulan pula tetap setia menemani malam!
+++++
Nazurah Aishah, menulis Lili Buat Najah dari kaca mata hatinya. Sebuah kisah yang mengesankan pada yang sedia berkongsi rasa.


Dari Kacamata Carriekirana:

Pesta Buku kali ini sekali lagi menjadi platform tempat pertemuan kesemua penerbit dan penggiat/penulis kreatif tanahair. Walaupun Carrie rasa suasananya agak kurang meriah berbanding dahulu, tetapi kesungguhan peserta-peserta pesta memasarkan produk tidak kurang hebatnya. Mungkin juga Pesta Buku kali ini diadakan bukan dalam cuti sekolah maka tidak begitu ramai pengunjung yang dapat datang meramaikan lagi suasana di PWTC.

Ada juga penerbit baru, penulis baru, novel-novel baru yang menarik perhatian. Bagi penulis-penulis baru, usahlah berharap sepenuhnya pada penerbit untuk mempromosikan buku-buku anda. Belajar membuang perasaan malu atau rendah diri dan cuba mencipta inisiatif sendiri  di samping berganding bahu dengan penerbit anda untuk memperkenalkan buku anda.

Jika anda cepat beramah-mesra dengan pengunjung-pengunjung yang datang, usaha anda yang cuba merapatkan jurang di antara diri anda dan bakal pembeli produk anda akan berbaloi. Jika malu untuk menegur, senyuman yang dihulur pasti dapat menyejukkan hati pengunjung booth.

Salam kasih sayang dari,
Carriekirana

Posted at 02:38 pm by carriekirana
Make a comment  




Previous Page Next Page


CARRIE KIRANA

Kuala Lumpur
10 Julai/Cancer
Tulis, baca, masak, muzik, tonton wayang, melancong
Ungu, Maroon, Hijau Pucuk Pisang
Maggi goreng, nasi ayam, tiramisu, blueberry cheesecake
Ice lemon tea, green tea
Hubungi/sembang dengan saya di:carriekirana2@yahoo.com

Saya bukan siapa-siapa, hanya seorang hamba Allah yang mencari ruang di alam maya ini untuk melakukan satu perkara yang menjadi sebahagian daripada saya - menulis.


"BACAlah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia mencipta manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu yang maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya." - Terjemahan Ayat 1-5, Surah Al Alaq.

"Books showed me there were possibilities in life, that there were actually people like me living in a world I could not only aspire to but attain. Reading gave me hope. For me, it was an open door."-Oprah Winfrey

"You know you have read a good book when you turn the last page and feel as if you have lost a friend"-Anonymous.

LATEST ADDITION TO MY TREASURE TROVE OF BOOKSTORES

Times Pavilion - This is a new bookstore in town for booklovers and of course my new favorite place to find books. Excellent promotion for members - get 3 books for 2 - on top of that 5% for each book on discount; a lounge for members to enjoy chilling out and free WiFi
Borders- If you are lucky, you can get three books for the price of two books - Worth going
Times KLCC - I like Times very much because of the 10% off if you are a member , new arrivals - you can enjoy up until 25%- worth going
Popular, Ampang Point - Even better, sometimes you can get 20% off selected titles or the new arrivals
Kinokuniya KLCC - Check out some good promotions they have - new arrivals 20% off if you purchase another book of the same value or less
Minerva, Jalan TAR - a haven for Malay novel enthusiasts, attractive 20% off the wide range of Malay novels of your choice
MPH, Midvalley Megamall- Paling kedekut - you can only get points and once in the blue moon, you will get the red carpet specials but being a member doesn't get you much discount like the rest.



Bacalah seribu buku jika anda mahu menulis sebuah buku.


aku menulis bukan kerna nama... di sini aku coretkan pengalamanku, menjadi Cinderella Cinta, mengembara ke alam-alam cinta yang dizahirkan oleh deretan novelis... adakalanya perjalananku dihiasi denganGurindam Jiwayang indah dan telus; Pada satu ketika, aku juga dilambungOmbak Rindu. Aku terasa betapa Manisnya Cinta Yang Terindah dan Hangatnya Asmara. Adakalanya, cinta itu menjadi tragis lalu ia menjadi Rahsia Si Perindu. Kadang-kadang, hatiku tercuit... terusik... mengenangkan Epilog Cinta. Bila sampai masanya, air mataku juga bisa mengalir... Sesekali, ayat-ayat cinta yang indah kusimpan, untukku menulis rasa hatiku dalam ... diari dan surat... emel ? barangkali. Sudah jauh pengembaraanku... Mencari erti Cinta di bawah Bulan Yang Berbisik... di sebalik Bayangan Rindu... kadangkala aku terasa Bagaikan sang Puteri... menelusuri Labyrinth kehidupan namun sejauh mana aku pergi...aku hanya tahu yang satu...bahawa Syurga cinta akhirnya letaknya Di hati. - Carriekirana



.



   





<< June 2017 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01 02 03
04 05 06 07 08 09 10
11 12 13 14 15 16 17
18 19 20 21 22 23 24
25 26 27 28 29 30














































Name :
Web URL :
Message :

















Counters




Layang-layang- Koleksi Sajak Carriekirana

Bookrack - Carriekirana's Reviews on English Novels

Carrie's Column

Kolum Bintang Carriekirana



****1/2
Setulus Setia Seindah Nama - Siti Hasneza Abdul Hamid
Moga Kau Mengerti - Lily Haslina Nasir
Epilog Cinta - Lily Haslina Nasir
Hatiku Di Harajuku - Ramlee Awang Murshid
Nyanyian Tanjung Sepi - Noorsuraya
Tunjukkan Aku Satu Bintang - John Norafizan
Cenderawasih - Fatinilam Sari Ahmad
Cemburu Seorang Perempuan - Siti Hasneza Abdul Hamid
Arjuna Hati - Norzailina Nordin

****
5 Tahun 5 Bulan - Hlovate
Andai Kumiliki Semalam- Syamimi Aminolah
Percayalah - Ruby Hazri
Buatmu Kekasih - Aisya Sofea
Secebis Kasihmu - Syamimi Aminolah
Hati Yang Terusik -Nia Azalea
Pergilah Lara - Nor Erny Othman
Belaian Jiwa-Nor Erny Othman
Takagi Sayang - Nor Erny Othman
Yang Terindah - Anis Ayuni
Angin Dingin Dari Utara - Siti Hasneza Abdul Hamid
Untuk Semua Lelaki Yang Pernah Aku Cintai-Nor Erny Othman
Bagaikan Puteri-Ramlee Awang Murshid
Sempadan Tanpa Seri-John Norafizan
Rahsia Perindu-Ramlee Awang Murshid
Biru Ungu Cinta-Noorsuraya
Atas Nama Kasih - Salina Ibrahim
Kesturi - Fatinilam Sari Ahmad
Mahligai-Salina Ibrahim
Rindunya Kian Membara-Noosuraya
Tiada Indah-Ras Adibah Radzi
Bisikan Kasih-Norhayati Abdul Malek
Rindu Yang Pergi-Fazie Hanna
Kasihku Abadi - Shanika Latisha
Selamat Tinggal Sayang - Ma Lee Chuswan

***1/2
Surat Ungu Untuk Nuha - Noorsuraya
Relevankah Aku Di Hatimu - Rnysa
Jangan Biarkan Aku Menangis - Norhayati Berahim
Syurga Di Hati - Salina Ibrahim
Lelaki Terakhir- Sabariah Araur
Kau Laksana Bulan- Aina Emir
Kasih Antara Kita - Aleya Aneesa
Tanpamu Di Sisi - Puteri Andalas
Getaran Rindu - Norzailina Nordin
...Dan Mimpipun Bersatu - Izza Aripin
Semalam Ku Bermimpi - Aina Emir
Sutera Biru - Nor Rafishah Md Hassan
Kau Kekasihku-Anis Ayuni
Satu Janji - Ramlee Awang Murshid
Suara Hati-Anis Ayuni
Bukan Cinta Biasa - Izzul Izzati
Megalomania - Fatinilam Sari Ahmad
Tanah Andriyana-Noorsuraya
Gemersik Kalbu - Anis Ayuni
Untukmu Hana-Salina Ibrahim
Cintamu Di Hati-Aida Adriani
Manisnya Cinta - Anis Ayuni
Sesuci Cinta-Aina Emir
Pesona Rindu-Sharifah Abu Salem
Tiga Wajah-Lamia Aimal
Kau Yang Satu-Nia Azalea
Bisikan Rindu-Mimie Afinie
Permata Hati-Ma Lee Chuswan
Suite 1908-Sri Diah
Selamat Malam Tan Sri - Sri Diah
Pergilah Sepi-Fauziah Ashari
Tak Seindah Mimpi-Sharifah Abu Salem
Air Mata Kasih-Norhayati Berahim
Ombak Rindu-Fauziah Ashari
Sehangat Asmara-Aisya Sofea
Cinta Pertama-Norhayati Berahim


***
Tiada Batasan Sayang - Norhayati Berahim
Rinduku di Angin Lalu -Norishah Abu Bakar
Lafazkan Cintamu - Aida Adriani
Janji Kasih - Sri Diah
Kembalikanlah Kasihku - Nazawati Abdul Manap
Adam & Hawa - Aisya Sofea
Demi Kasih Ini -Hasreeyati Ramli
Bahagia Itu Miliknya - Rozita Abdul Wahab
Cinta..Tiada Akhirnya - Fauziah Ashari
Emilya Zulaikha -Ariff Affandy
Dendam Yang Terindah-Fatinilam Sari Ahmad
Keranamu Ain-Noorsuraya
Harga Diri - CT Rohaya Abu
Mimpi Kita Serupa-Siti Hasneza Abdul Hamid
Dia Lebih Mengerti-Norhayati Berahim
Tak Seindah Impian-Haikal
Mencari Cinta-Leeya Meeyra
Asmara Yang Pertama-Nass Alina Noah
Pelabuhan Kasih-Lily Suriani
Nota Cinta Buatmu-Norhayati Berahim
Impian Kasih- Liza Zahira
Masih Ada Rindu-Mimie Afinie
Ria Qistina-Bikash Nur Idris
Jauh-Aisya Sofea
Setia Menanti-Fauziah Ashari

**1/2
Lagu Rindu-Ayu Emelda
Secebis Rindu- Alis Ashiqin
Rindu Berdetik Lagi - Zuraidah Othman
Nilai Cintamu-Eka Fahara
Saat Cinta Bersemi - Damya Hanna
Setulus Janji-Aina Emir
Seindah Memori - Ilani Mysara
Seharum Kasih-Aina Emir
Badai Di Hati-Fazie Hanna
Kabus Kasih - Eka Fahara
Seindah Derita-Norhayati Berahim

**
Sutera Kasih-Sirhan Ansari






Contact Me

If you want to be updated on this weblog Enter your email here:




rss feed