 |
 |
 |
 |
 |
|
Monday, June 23, 2008
Dunia Ini Sederhana Kecil - Bahruddin Bekri
Judul: Dunia Ini Sederhana Kecil Penulis: Bahruddin Bekri Penerbit: PTS One Genre: Metropolitan Bintang: ***1/2
Kata perempuan berlesung pipit,"Cinta itu umpama menunggu bas. Kita perlu memilih bas yang tepat pada masa yang sesuai. Sekiranya tidak, kita tidak akan selesa meneruskan perjalanan kita. Sebab itu, saya masih menggunakan kereta."
Kata Riduan pula, " Aku cakap dengan kopi di dalam gelas aku. Orang bukan tidak sayang, cuma orang tidak nampak dan lupa."
Kata ibu, "Hidup manusia ini seperti roda. Kadang kala di atas, kadang kala di bawah. Tidak penting kamu berada di atas ataupun di bawah, yang penting, kamu sebenarnya bergolek di mana? Sama ada jalanan itu berlumpur, berduri ataupun kamu bergolek di padang - padang rumput yang indah."
Lelaki gempal kata, " Hidup manusia juga seperti tingkap. Apabila tingkap itu ditutup, maka manusia tidak dapat hidup kerana tiada ruang dan peluang."
Kata lelaki muka berminyak pula, "Pelangi, warnanya bukan hanya hitam dan putih. Begitu juga dengan hidup."
Dari Kacamata Carrie Kirana:
Novel ini disyorkan kepada saya oleh seorang peminat buku. Katanya, novel ini lain daripada yang lain. Tentunya, perasaan ingin tahu saya meluap-luap.
Membaca Bahruddin Bekri buat kali pertama membuka mata saya kepada satu dimensi penceritaan. Cerita ini bukan cerita cinta. Lain dari kebiasaan, sudah semestinya lalu ianya mendapat ruang dalam laman peribadi saya ini.
Dunia Sederhana Kecil menyingkap kisah Syamir yang mula bertapak di kota - mencari pekerjaan setelah tamat universiti. Cerita ini penuh dengan adegan-adegan humor - pendek kata penulis membukukan segala rasa dalam 'Dunia Sederhana Kecil'nya.
Karya mantap daripada seorang penulis baru ini yang ternyata amat berbakat dalam bercerita. Walau ia hanya kisah seharian. Walau ada kala itu ada adegan yang menampilkan watak-watak yang agak pendek akalnya. Tetapi, setiap adegan membawa mesej tersendiri. Penulis tahu apa yang hendak disampaikan kepada pembaca melalui cerita-cerita dalam Dunia Ini Sederhana Kecil lalu karya ini begitu terserlah dalam genrenya sendiri. Watak-wataknya begitu esentrik - satu lagi faktor tarikan karya Dunia Ini Sederhana Kecil. Pembangunan watak-wataknya begitu bersahaja tetapi masih mampu membawa pembaca dekat dan mesra dengan mereka.
Yang pasti saya terhibur! Syabas buat Bahruddin Bekri - bakat baru yang digilap oleh PTS One dalam genre yang semakin menjadi minat saya sejak kebelakangan ini - genre cerita alternatif.
Siapa yang akan gemar cerita sebegini?Mereka yang sukakan cerita-cerita santai yang digarap dari perspektif berlainan.
Posted at 09:46 am by carriekirana
Permalink
Saturday, June 21, 2008

Judul: Bohemian
Penulis: Imaen Penerbit: Jemari Seni Genre: Romantis Thriller Bintang: ***
|
Cinta membuat kita tidak memandang apa-apa yang datang daripada kita, walaupun ia sebesar mana sekalipun. Sebaliknya, kita hanya akan memandang apa-apa yang datang daripada orang yang kita cintai, walau sekecil mana pun. Cinta membuat kita membuang sifat sendiri, dan mengambil sifatnya sebagai ganti. |
|
Aku |
Dia |
pemain muzik jalanan melayari malaysiakini.com merambu-rambu cari duit pakai seluar bertampal di lutut berambut panjang cecah bahu |
seorang peguam baca Business Times gaji ribu-ribu pakai skirt nampak lutut berambut copper blonde celup
| |
|
Siapakah dia yang berani mencuri tenang dan damaiku, lalu menggantikan ia dengan resah gelisah? Siapakah dia berani merampas hening bening malam dengan huru-hara yang tidak keruan ini? Siapakah dia yang berani mengusik lenaku dengan bayangnya?
Dia, yang tidak pernah ada dalam senarai bidadari anganku! Tidak pula pernah sekalipun wujud dalam daftar mimpiku! Dia, yang dari hujung kaki hingga hujung rambut bukanlah perempuan yang aku mohon lewat doa-doaku kepada Tuhan. |
|
**~** |
|
Setelah Vendetta (Gurindam Jiwa) dan Labyrinth, IMAEN melakarkan risalah pemuzik jalanan – busker – berbicara tentang cinta antara Fadlan & Nadira, dengan bahasa mantap penuh falsafah, namun disajikan dalam nada manis cara Bohemian.
..Bukankah cinta itu ingin melihat yang dicintai itu bahagia? Tapi, aku jelaskan kepadanya bahawa bahagia kerana cinta kesampaian itu sebenarnya hanyalah kegembiraan dan bukan lagi kebahagiaan. Bahagia juga bukan kerana kita dapat hidup dengan orang yang kita suka..Tapi bahagia sebenarnya ialah apabila manusia reda dengan ketentuan yang telah ditetapkan Tuhan. Tidak peduli sama ada ditimpa kegembiraan atau kesedihan, manusia akan tetap bahagia kerana mengetahui semua itu hanya ujian daripada Tuhan...
Dari Kacamata Carriekirana:
Bohemian - garapan terbaru daripada Imaen ini boleh saya klasifikasikan sebagai lain daripada yang lain. Jika saya membuat analisis perbandingan di antara Bohemian dan Labyrinth (Nota: Karya terdahulu Imaen), saya lebih memilih Labyrinth. Tetapi, itu tidak bermakna, dari pengamatan saya, Labyrinth lebih baik dari Bohemian. Cuma, saya tidak pasti apa yang penulis ingin tonjolkan dalam Bohemian.
Membaca Bohemian membuatkan saya teringat pada satu lagi teknik penceritaan yang digelar penceritaan tanpa plot - "a plotless story". Ketika mula membaca Bohemian, saya menganggarkan ianya sebuah cerita tentang jenayah kolar putih tetapi apabila saya sampai di pertengahan cerita, Bohemian lebih diwarnai oleh monolog dalaman watak Fadlan yang jatuh hati dengan Nadira. Lalu, Bohemian ketika itu menjadi kisah hati Fadlan dan Nadira. Dalam beberapa bahagian, plot thriller muncul kembali untuk mengingatkan saya tentang permulaan cerita Bohemian itu.
Saya kira penulis mungkin mahu membuat percubaan menggandingkan dua plot seiringan bagi menggerakkan jalan cerita Bohemian - plot thriller yang melibatkan Fadlan secara tidak sedar dan plot kisah romantis yang cuba mencari titik persamaan di antara langit dan bumi - langit itu Nadira manakala bumi itu Fadlan.
Mungkin juga penulis cuba membiarkan beberapa persoalan dalam Bohemian tersimpul dengan sendirinya mengikut interpretasi pembaca masing-masing. Dalam ertikata lain, Bohemian tidak berhenti setakat di muka surat terakhir. Ini jelas bagi saya apabila kisah seorang busker di Kuala Lumpur dan rakan-rakan korporatnya masih berlegar di ruang minda saya selepas itu.
Justeru, Bohemian adalah satu sajian minda untuk yang berani meneroka alam penceritaan yang lain daripada lain. |
Posted at 09:20 am by carriekirana
Permalink
Tuesday, April 29, 2008
Dari Kaca Mata Carriekirana - Hidup Sebagai Pengulas Blog
Pengaruh blog ke atas kelakuan konsumer rupanya lebih besar kesannya pada masa ini. Internet marketing mula diterokai. Blog-blog ulasan muzik, program, buku, filem dan masakan tumbuh bagai cendawan dalam alam maya. Ia sebenarnya satu perkembangan positif. Tak mungkin seorang pengulas blog dapat membuat ulasan dalam skop yang begitu luas. Konsumer pula sangat memerlukan pelbagai pandangan pihak ketiga sebelum membuat satu pembelian. Dan, medium yang sering diguna oleh konsumer ialah blog ulasan. Sebelum kewujudan teknologi blog dan Internet, konsumer begitu sukar untuk mendapatkan maklumat.
Pengulas blog berpengaruh secara tidak langsung menjadi "opinion leader"- pemimpin pendapat yang mencorakkan pembelian satu-satu produk. Lalu, mereka menjadi tumpuan pengedar barangan untuk mempromosikan produk mereka.
Di sinilah bermulanya cabaran utama seorang pengulas blog termasuk saya. Bagi saya, misi saya memulakan blog ulasan ini ialah untuk berkongsi maklumat sebagai seorang pembaca. Tujuan saya mengulas ialah supaya pembaca sekurang-kurangnya dapat pulangan yang memuaskan daripada harga yang dilaburkan untuk satu produk. Itulah prinsip saya dan itulah prinsip Novel Cinta Melayu. Saya menulis di sini untuk pembaca. Saya bukan menulis di sini untuk penerbit. Sering kali, prinsip pengulasan saya cuba dimanipulasikan oleh sesetengah pihak.
Saya anggap itu lumrah biasa. Ia berlaku di mana-mana pun. Baik genre filem atau genre muzik. Saya tidak pernah menyangka saya juga terkena tempias politik penerbitan buku dan penulisan novel. Mungkin juga kerana saya aktif mengulas novel secara sambilan. Saya anggap semua itu pengalaman yang sangat berharga. Melalui blog ini, banyak yang saya dapat kutip daripada pelbagai karakter manusia yang saya temui - ada yang positif, ada yang negatif, ada yang mempunyai agenda tersembunyi. Melalui blog ini, saya gembira dapat bertemu penulis-penulis yang saya minati dan pencinta-pencinta buku yang lain.
Kita tidak perlu menjadi orang lain atau seperti orang lain untuk menjadi popular. Atau dikaitkan dengan orang popular. Kita hanya perlu bertanya apa niat kita sebenar dalam perjuangan hidup kita.
Impian saya untuk blog ini- memberi maklumat setelus yang mungkin mengikut acuan saya sendiri. Saya yang akan buat keputusan novel mana yang harus saya kongsi di sini mengikut ciri apa yang saya cari. Saya yang akan membuat keputusan maklumat apa yang saya akan paparkan dengan meletakkan kepuasan membaca saya dahulu sebagai prioriti utama saya. Bukan kerana saya mengenali penulis itu secara peribadi. Saya tidak perlu menjawab atau "dipaksa-paksa" mengulas sesebuah novel kerana ini adalah blog peribadi saya dan saya mengulas kerana saya mahu novel-novel yang baik dinikmati oleh pencinta buku/novel. Insya Allah, untuk tahun ini, saya akan terus paparkan novel-novel yang menepati citarasa saya selagi saya mampu.
Kejujuran rupanya adalah sebuah harga yang mahal untuk dibayar.
Wallahualam.
Salam kasih sayang, Carriekirana
Posted at 10:44 am by carriekirana
Permalink
Monday, April 28, 2008
Plain Jane - Nurul Syahida

Judul: Plain Jane Penulis: Nurul Syahida Penerbit: Buku Prima Genre: Cinta Romantis Bintang: ****
Namanya Balkis. Badannya sedikit gempal, pelajarannya pula biasa sahaja. Dia tidak seperti sahabat karibnya Lilee yang punya segalagalanya. Dia juga tidak seperti musuhnya Ana yang mahukan segalanya. Dia adalah seorang gadis biasa. Kewujudan Zaniel dalam dunia Balkis mengubah segalanya. Balkis mula merasa nikmatnya kecantikan, kemewahan sebagaimana Lilee dan Ana.
Kategori Pertama: Revolutioner Penuntut-penuntut di dalam kategori ini adalah golongan mereka yang datang ke universiti dengan hajat untuk menjadi agen perubahan....
Kategori Kedua: Lilin Terpadam Golongan penuntut di *dalam* kategori ini adalah mereka yang dahulunya merupakan golongan terkenal di zaman sekolah... seperti lilin terpadam, mereka cuba menyalakan semula kegemilangan mereka...
Kategori Ketiga: Rubah ...seperti lagenda Jepun tentang Puteri Rubah yang boleh menyamar, mereka ini adalah bekas pelajar sekolah menengah yang dahulunya tidak mempunyai apa-apa kejayaan atau rekod yang menarik....
Kategori Keempat: Tradisionalis ...mereka berasal dari negeri-negeri berlainan dan hanya berkumpul dan berkawan dengan orang senegeri mereka...anda boleh mengesan mereka dari negeri mana berdasarkan dialek mereka...
Kategori Kelima: Urban ..golongan anak-anak VIP dan tokoh korporata, juga anak-anak orang kaya yang tinggal sekitar Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.. terdiri daripada dua jenis: golongan urban yang sombong dan menganggap sesiapa yang tidak tahu apa itu Visa Wave tidak sepatutnya hidup dan golongan urban yang merendah diri, optimis dan sangat menggemari teater muzikal dan puisi-puisi era romantil
Kategori Keenam: Lebah ..terdiri daripada penuntut yang merasakan diri mereka paling bagus...terlalu dramatis atau terlalu berpura-pura atau dalam Bahasa Inggerisnya - "wannabees".
"Maksud saya, kawan-kawan Ana terdiri daripada gadis-gadis yang.. macam Ana. Tapi awak tak macam dia. Tak ada beg berjenama LV atau bersolek MAC atau berbau minyak wangi Carolina Herrera. You're like a Plain Jane berbanding mereka semua.
"Kadang-kadang kita perlukan drama dalam hidup untuk menambahkan rencah dalam cerita yang bakal kita ulang kepada anak cucu. Khir adalah "bunjut dalam sup" hidup aku ini, ia menambah rasa, namun bukan untuk ditelan!"
Kini aku faham dan aku mahu semua orang faham, kita tidak perlukan teman yang hebat untuk menjadi sempurna. Cukup dengan memiliki orang-orang yang kita sayang melayan kita seperti kita adalah kesempurnaan itu sendiri.... aku tidak lagi menghakimi seseorang dengan cara itu ... aku tidak perlukan fantasi itu.. semudah itu untuk menjadi diriku.
Dari Kacamata Carriekirana Wow! Ini saja yang saya dapat simpulkan dari novel terbitan Buku Prima ini. Satu lagi bakat besar kepunyaan penulis muda yang baru saya jumpai.
Mengapa saya teruja membaca "Plain Jane"? Ketika saya mengunjungi Pesta Buku baru-baru ini ( pecah rekod- hari-hari), saya sebenarnya cuba mencari novel-novel yang laku bak goreng pisang panas. Saya perhatikan rak-rak buku di gerai-gerai novel popular juga di gerai-gerai yang lain. Saya bertanya promoter-promoter novel mana yang bagus. Seperti biasa, promoter akan beritahu "semuanya bagus!". Itu bukan jawapan jujur yang saya mahu dan saya selalunya tidak akan terpujuk dengan kenyataan begitu. Itu tidak cukup untuk saya.
Memilih novel yang menepati selera peribadi saya bukan mudah. Ada sesetengah penggemar novel bertanya mengapa saya tidak mengulas sesetengah novel. Saya ada tiga jawapan untuk soalan itu: Pertama, saya tidak sempat membaca novel itu. Kedua, mood saya belum ada untuk membaca novel berkenaan. Ketiga, saya tidak rasa pengalaman membaca sesuatu novel yang sudah saya baca itu dapat saya kongsi di sini.
Lalu saya akan memerhatikan scenario pembeli buku setiap hari , kadang-kadang secara jauh, kadang secara dekat- adakah benar semua novel itu bagus? Bukan mudah untuk menganggak tetapi novel ini menarik perhatian saya dalam puluhan novel yang terpamer. Ia bagai terserlah dengan tersendirinya. Pertama, tajuknya. Kedua, desain covernya.
Sebagai seorang manusia biasa tambahan lagi seorang perempuan, saya memang tertarik dengan desain cover. Itu proriti nombor satu saya. Kemudian barulah saya belek sinopsisnya. Saya jarang sekali membeli novel terbitan Buku Prima walau ada juga yang memberi cadangan bahawa cerita-cerita terbitan Buku Prima tidak kurang hebatnya. Saya tidak minat dengan desain cover novel Buku Prima. Malap, desainnya tidak hidup, tidak menepati ciri AIDA - Attention, Intention, Desire, Action. Saya petik akronim ini daripada salah seorang pereka desain cover yang berpengalaman.
Sungguhpun begitu, semasa Pesta Buku baru-baru, saya dapati Buku Prima membuat satu perubahan yang ketara. Desain cover novel-novel terbaru lebih hidup - berlainan konsep daripada Alaf tetapi lebih metaforik. Saya suka. Saya sering ke booth Buku Prima dan saya perhatikan novel Plain Jane ini laris bak goreng pisang. Tempat letaknya selalu kosong dan semestinya itu membuatkan saya teruja. Lalu, setelah sekian lama tidak membelek novel Buku Prima, saya cuba mencari keistimewaan Plain Jane ini.
Tentang Plain Jane:
Plotnya berkisar tentang kisah di universiti tetapi garapan Nurul Syahida ini lain daripada yang lain. Saya gemarkan tulisannya yang selamba dan jujur. Membina watak seorang Plain Jane bernama Balkis di universiti dan mencoret insiden-insiden biasa yang dialami oleh seorang pelajar universiti. Gaya penulisannya banyak mengingatkan saya pada gaya penulisan Hlovate cuma gaya penulisan Nurul Syahida lebih bersahaja. Saya suka cara Nurul Syahida "membedah" watak-watak utama dalam hidup Balkis- lebih menyeluruh dan membuatkan saya kadang-kadang tergelak dengan Lilee, Apis Milo, Babang, Bandek, Zaniel, Ana the wannabee, Dr. Iman dan Khir.
Bagi saya, faktor X penulisan Nurul Syahida yang saya suka ialah kebolehannya membangunkan watak-watak ciptaannya dengan hidup sekali, satu kemahiran penulisan kreatif yang hanya dipunyai oleh segelintir penulis kreatif yang mempunyai bakat menulis semulajadi.
Walau kisahnya sempoi dan agak "klise" secara umum, tetapi kreativiti Nurul Syahida menarik saya untuk terus membaca hingga penghujung mukasurat. Mesej-mesej kehidupan juga banyak diselitkan dalam cara yang menarik. Saya jarang rasa terbawa masuk ke dalam kebanyakan kisah yang saya baca sejak kebelakangan ini namun Plain Jane menimbulkan mood saya untuk kembali membaca novel "a feel-good love story".
Nota untuk penulis: "All the best Nurul Syahida for your feel good story that comes straight from the heart".
Siapa yang akan suka cerita sebegini? Remaja yang sukakan kisah cinta di kolej yang penuh dengan adegan lucu. Penggemar novel-novel santai yang mahu mencari kelainan.
Posted at 09:58 am by carriekirana
Permalink
Sunday, April 27, 2008
Selagi Ada Dia - Aisya Sofea

Judul: Selagi Ada Dia Penulis: Aisya Sofea Penerbit: Alaf 21 Genre: Cinta Romantis Bintang: ***1/2
Dari Kacamata Carriekirana
Buah tangan terbaru Aisya Sofea ini pasti mengubat rindu peminat-peminat setianya. Apa yang dapat saya kongsi tentang karya terbaru Aisya Sofea ini ? Saya suka sentuhan Aisya yang kembali segar dalam Selagi Ada Dia dan ini membuatkan saya teringat novel terdahulu yang berjaya mencuri hati peminat-peminatnya dan menjulang namanya dalam genre cinta romantis - Sehangat Asmara. Selamat kembali Aisya Sofea kerana setelah lama menyepi, Aisya Sofea menggarap sebuah kisah cinta romantis dengan olahan yang menjadi trademarknya dalam genre ini. Buktinya - saya sudah lama tidak membaca novel cinta romantis kerana kebanyakannya menjadi terlalu klise dan saya tidak dapat menyelami gaya penulisan tersendiri kebanyakan novelis cinta romantis. Tetapi, hati saya begitu teruja untuk membaca Selagi Ada Dia. Gerak hati saya mengatakan ada sesuatu yang istimewa dalam novel ini lalu tanpa saya sedari, saya menghabiskan novel ini dalam masa satu hari!
Permulaan cerita Selagi Ada Dia sangat menarik. Itu juga menjadi faktor saya terus mahu tahu apa yang berlaku selanjutnya. Aisya menggunakan teknik flashback dengan berkesan sekali dengan menggunakan setting yang tidak pernah saya jumpa dalam karya-karya novel romantis yang lain ( atau saya mungkin terlepas pandang novel-novel lain yang barangkali menggunakan teknik ini ). Tetapi, teknik inilah yang menjadikan Selagi Ada Dia istimewa.
Selagi Ada Dia adalah sebuah kisah cinta biasa- seperti juga uniknya kisah-kisah cinta yang lain, ianya terletak pada olahan kreatif penulis itu tersendiri.
Cuma apabila saya membaca kesudahan Selagi Ada Dia, saya ada rasa sedikit kecewa. Ini adalah kerana plot kesudahan cerita Selagi Ada Dia bagaikan satu dejavu. Saya rasa saya pernah membaca novel terdahulu yang juga menggunakan jalan cerita yang serupa tetapi saya masih tidak ingat novel yang saya baca itu. Bagi yang banyak membaca novel genre cinta romantis ini, pasti mereka juga akan mengalami dejavu yang sama.
Pada keseluruhannya, sebenarnya Selagi Ada Dia ini adalah karya Aisya yang lebih baik daripada Adam dan Hawa. Karakter-karakter dalam kisah ini lebih dekat di hati. Jalan ceritanya tidak berbelit, disulami dugaan dan rentetan rencah kehidupan yang normal tetapi masih menghiburkan.
Siapa yang akan suka novel ini ?
Peminat-peminat setia Aisya Sofea kerana karyanya kali ini yang lebih mantap pengisiannya. Peminat novel cinta santai dan romantis yang ingin membaca sebuah kisah yang "straightforward".
Posted at 08:13 am by carriekirana
Permalink
Tuesday, April 22, 2008

Judul: My Secret Penulis: Aizam Aiman Penerbit: PTS One Genre: Remaja Bintang: ****
Rahsia. Rahsia. Rahsia.Sakit kepala Adilah dibuatnya. Siapa sebenarnya Reen? Besar sangatkah rahsia yang disimpannya? Misi kali ini, membongkar rahsia Reen. Berjayakah Adilah?
Siri "My..." tulisan Aizam Aiman dimulakan dengan latar belakang Adilah dalam My Angel. Kisah Adilah bersekolah asrama dipaparkan pula dalam My Hero. Saya memang terpikat dengan siri "My.." ini kerana watak Adilah yang dikembangkan dengan konsisten, aksi-aksi lucunya dan dilema yang dihadapi sepanjang hidupnya dalam My Angel dan My Hero. Lalu, siri ini juga menjadi koleksi peribadi saya. Kemunculan "My Secret" siri yang ketiga semasa Pesta Buku 2008 membuatkan saya tidak sabar-sabar untuk mengetahui kisah Adilah yang selanjutnya. Dalam My Secret - mesej utama yang disampaikan ialah tentang Adilah secara tidak sengaja dapat menghidu sesuatu yang pelik dalam hidup Reen, teman sebiliknya di asrama. Perasaan Adilah begitu membuak-buak untuk mengorek rahsia Reen setelah berlaku insiden-insiden yang mencurigakan. Saya sukakan My Secret. Lebih matang jalan ceritanya namun Aizam Aiman masih mengekalkan sentuhannya yang membuatkan My Secret bagai menyambung kemanisan kisah Adilah dalam dua novel Aizam sebelumnya. Paling penting ialah mesej yang cuba disampaikan tentang tanggungjawab kita sebagai manusia yang harus menghormati hal peribadi teman sekeliling. Syabas Aizam atas sebuah karya yang ringkas tetapi padat dengan pengajaran.
Posted at 07:54 am by carriekirana
Permalink
Monday, April 21, 2008
Dear Yayah 4 - Farihah Iskandar
Judul: Dear Yayah 4 Penulis: Farihah Iskandar Penerbit: PTS One Genre: Remaja Bintang: ***
Kali ini, Jihan dah tamat sekolah. Macam mana agaknya hidup Jihan di rumah tanpa teman-teman yang menemaninya selama 5 tahun. Apa keputusan SPM Jihan dan kawan-kawannya? Berdebar-debar pula rasanya...
Yayah - Dah masuk tahun baru. Jadi guna diari baru. Comel sangat. Harap-harap tahun ni penuh dengan catatan yang menggembirakan.
Hazman – Balik kampung tapi masih berbalas surat dengan aku. Cuma posmen kami bukan Sofian lagi. Tapi dah naik taraf sikit, sekarang dah pandai guna telefon pula.
Suria – Tiap-tiap malam menelefon Suria. Maklumlah roommate kan dulu. Dah terbiasa berbual dengannya sebelum masuk tidur. (Tak dapat buang tabiat tu!)
Khairi – Dah duduk jauh nun di Chicago. Sebab tu Suria tak berapa ceria sekarang....
Semasa pesta buku yang lepas, Dear Yayah 4 laku bagai pisang goreng panas. Sebanyak 5,000 naskhah Dear Yayah 4 habis dijual. Keistimewaan Dear Yayah ini terletak pada watak utama - Jihan dan diari cum kawan baik tempat meluah rasa - Yayah.
Dalam Dear Yayah 4, keriangan dan keseronokan ketika zaman sekolah berasrama ditinggalkan. Jihan melalui zaman peralihan di mana dia diterima masuk ke kolej persediaan sebelum menyambung pelajaran ke seberang laut. Version kali ini lebih bernada serius, menyoroti perasaan Jihan berhadapan dengan pelbagai perubahan dan peristiwa yang perlu ditangani segera. Persahabatannya dengan Hazman diuji dengan jarak yang jauh, keluarga yang akan ditinggalkan, rakan-rakan di sekolah yang sudah memilih jalan masing-masing.
Saya "rindukan" aksi gila-gila Jihan dan rakan-rakannya ketika mereka di maktab tetapi dalam Dear Yayah 4, Jihan dipaparkan sebagai satu watak yang semakin membesar- melangkah ke alam yang lebih mencabar, alam yang menuntut Jihan menjadi lebih komited dengan hala tuju kehidupannya.
Dari Kaca Mata Carriekirana:
Pesta buku kali ini menyaksikan PTS melancarkan 100 judul novel remaja terbitannya dalam bentuk MBook. Bagi yang membeli Dear Yayah 4, mereka boleh memuatturunkan Mbook percuma untuk menguji keberkesanan produk terbaru ini. Teknologi berasaskan aplikasi JAVA ini membolehkan pemilik telefon bimbit memuatturunkan isi kandungan novel daripada laman web Hotlink Maxis terus ke dalam telefon bimbit. Revolusi terbaru ini bertujuan untuk menggalakkan/menanamkan minat membaca di kalangan remaja. Inisiatif ini adalah hasil kerjasama tiga pihak - Maxis sebagai penyedia platform, METODOME sebagai penyedia teknologi dan PTS sebagai pembekal isi kandungan.
Trend Mbook ini dimulakan di Jepun tidak lama dulu dan menjadi kegilaan maksimum remaja di sana yang lebih "up-todate". Namun begitu, di Jepun, trendnya berbeza. Remaja menaip cerita dalam telefon bimbit dan menghantar cerita mereka ke laman komuniti yang menyediakan ciri-ciri yang membolehkan remaja-remaja ini memindahkan cerita mereka ke laman komuniti berkenaan. Cerita yang mempunyai ramai pengikutnya diterbitkan dalam versi cetak dan selalunya novel mobile versi cetak menduduki tangga teratas dalam carta jualan kedai buku. Ini juga satu revolusi bagi dunia penerbitan untuk menggerakkan jualan buku-buku yang kian merudum. Adakah Malaysia juga akan mengikut trend di Jepun di mana jualan Mbook ini akan mencipta fenomena baru di kalangan remaja di sini ?
Wallahualam.
Posted at 08:41 am by carriekirana
Permalink
Thursday, April 17, 2008
Garis-garis Dejavu-John Norafizan

Judul: Garis-garis Dejavu Penulis: John Norafizan Penerbit: Jemari Seni Genre: Spiritual-Metafizik Bintang: ****
"Pergilah engkau di tempat di mana matahari terbenam. Apabila hati kau penuh dengan kepedihan. Dan, kau akan bertemu aku di sana...."
"Jangan mencari cinta yang telah hilang...Kerana cinta yang hilang tidak punya jalan pulang..."
"Bukankah kau selalu merintih setiap malam tentang kehidupan kau yang kosong itu? Dalam pekat malam dan dingin salji yang turun, dinding-dinding mendengar kau berbicara tentang nasib malang kau. Tentang kehidupan ini yang tidak ada makna lagi. Tentang ketenangan JIWA yang hilang. Atau adakah ENGKAU MASIH MAHU MENAFIKANNYA?"
"Hidup ini kadang-kadang tidak punya pilihan. Tidak semestinya kita akan mendapat bahagia yang kita cari. Apa yang ada itulah yang harus dihargai? Biarkan cinta lama hilang. Biarkan takdir lama memandu jalan pulang.
"Semua orang, pada setiap masa, mencari sesuatu yang hilang dalam hidup mereka. Tidak kira sama ada sesuatu yang hilang itu adalah orang yang mereka sayang yang telah pergi daripada hidup mereka atau hati yang telah kosong dan dipenuhi kegelisahan.. mereka akan terus mencarinya. Mencari supaya mereka dapat gembira semula. Dapat merasa bahagia semula."
"Takdir. Sesuatu yang aneh. Kadang-kadang menakutkan. Bagaimana tidak? Hari ini kita boleh bergurau senda dengan orang yang kita sayangi, tetapi segala-galanya mungkin tidak akan sama lagi keesokan harinya. Mungkin kita bukan lagi bersama dengan orang yang tersayang atau orang yang kita kenali.Tetapi dengan orang asing yang benar-benar memerlukan bantuan dan harapan kita. Ataupun, kita yang memerlukan bantuan dan harapan daripada orang itu."
Dari Kacamata Carriekirana
Setelah menghabiskan Garis-garis Dejavu, saya juga seakan merasai dejavu. Bagi saya, eksperimen John kali ini lebih berani - menyelongkar satu dimensi yang jarang-jarang diterokai secara mendalam oleh penulis lain kecuali Ramlee Awang Murshid dalam karyanya Bagaikan Puteri. Begitupun, Ramlee juga tidak menggarap dimensi mimpi dari satu perspektif yang kompleks. Dalam konteks Garis-garis Dejavu, penceritaan John lebih mendalam dan menggunakan sains metafizik sebagai teras ceritanya. Mengapa alam mimpi jarang digarap oleh penulis? Cabarannya ialah ianya tidak terjangkau dek akal yang logik. Mengorak langkah menggarap sebuah kisah berdasarkan atas mimpi memerlukan penulis membuat kajian yang begitu mendalam agar apa yang ditulis tidak terkeluar dari landasan yang dibenarkan.
Saya suka eksperimen John kali ini. Lebih baik dari Cinderella Cinta. Semoga terus gigih berkarya.
Siapa yang suka karya sebegini? Penggemar novel John Norafizan. Penggemar novel-novel yang membawa isu berat yang membuatkan pembaca berfikir tentang isu yang cuba disampaikan. Penggemar novel alternatif juga pasti tertarik dengan cubaan pertama John dalam GGD ini.
Posted at 06:46 pm by carriekirana
Permalink
Wednesday, April 16, 2008
Salam semua.
Sekalung terima-kasih untuk semua yang Carrie jumpa sepanjang Pesta Buku.
Terima kasih Sudi berkongsi rasa Luahan kecewa Di tengah suara pekikan Penjual pasar malam.
Terima kasih Atas cenderahati berharga Tulus dan ikhlas Moga dimurahkan rezeki Dikurniakan Tuhan Ilham yang bisa menyentuh jiwa.
Terima kasih Pada rakan seperjuangan Jua pengunjung sepi laman ini Yang menyapa Yang masih datang Menyuarakan isi hati Pengalaman mimpi.
Terima kasih Pada yang mula mengenali Nukilan di sini hanya satu Mencari delima berharga Untuk dikenang selamanya
Terima kasih jua Kepada yang ke sini Terharu rasa hati Laman ini jadi panduan Harap bisa ketemu Apa yang dicari.
Saya tidak bisa Puaskan hati semua Cuma hanya mencoret kisah-kisah Rasa saya...
Satu hari... Saya jua akan muncul Dengan kisah Yang ada nama saya sendiri...
Insya Allah.
Salam kasih sayang, Carriekirana
Posted at 06:36 pm by carriekirana
Permalink
Tuesday, April 15, 2008
Cebisan Kenangan Pesta Buku 2008
Pada tahun ini, Carrie pergi ke Pesta Buku setiap hari. Misi Carrie kali ini ialah untuk melihat kecenderungan pengunjung-pengunjung yang datang ke Pesta Buku. Sayangnya, Carrie tidak ada kamera untuk merakam detik-detik manis bertemu penulis-penulis di satu tempat yang sama.
Andrea Hirata

Andrea Hirata adalah satu fenomena baru di Indonesia dengan terbitnya Laskar Pelangi, Sang Pemimpi dan Edensor. Khabarnya, naskhah Laskar Pelangi sahaja sudah terjual 500,000 unit di Jakarta. Laskar Pelangi adalah sebuah tetralogi - novel keempat Andrea akan menemui peminat-peminatnya lewat bulan Mei ini - Maryamah Karpov.
Untuk memeriahkan lagi Pesta Buku Antarabangsa KL tahun ini, PTS membawa Andrea Hirata ke Kuala Lumpur (PTS memegang lesen terjemahan karya Laskar Pelangi di Malaysia). Jadual beliau agak padat dengan penampilan di radio dan TV sebelum muncul dalam diskusi buku Laskar Pelangi pada petang Sabtu lepas.
Apabila bersemuka dengan Andrea Hirata dan mendengar dia berbicara tentang karyanya, Carrie akhirnya tahu mengapa dia terkenal.
Dia memiliki ciri-ciri seorang penglipur lara. Carrie rasa pada zaman ini, jarang-jarang kita mendengar sesi penglipur lara - di mana seorang pencerita akan menceritakan sebuah kisah, lengkap dengan nada dan intonasi suara, pause, dan daya penarik yang akan mengikat pendengar-pendengarnya untuk terus mendengar ceritanya...kisah hatinya, perasaannya dan jiwanya terhadap karya yang diceritakannya itu. Semuanya dalam bentuk "live, unplugged version" hingga memukau sang pendengar. Itulah Andrea Hirata.
Gaya Andrea Hirata bercerita, tentang kisah kehidupannya sebagai seorang anak Melayu Belitong begitu menyentuh hati. Pastinya, jika Carrie dapat menghabiskan tetraloginya, tentu Carrie dapat lebih menjiwai kisah hidupnya.
Satu lagi ciri ialah kejujurannya, ikhlas terpancar dari matanya. Carrie rasa Andrea seorang yang pemalu tetapi oleh kerana populariti Laskar Pelangi yang meledak di Indonesia dan menyebabkan dia harus muncul di khalayak ramai sebanyak 168 kali (termasuk diskusi buku PTS - pertama di Malaysia), sifat malunya tidak begitu ketara.
Apa yang Carrie dapat simpulkan dari sessi ini, kejayaan novel Laskar Pelangi ini sebetulnya tidak pernah terduga oleh Andrea. Barangkali ketika dia menulis novel berkenaan, niatnya jujur - untuk mempersembahkan sebuah memoir buat pengorbanan gurunya Ibu Muslimah dalam mendidik sekumpulan Laskar Pelangi. Lalu, kejujuran itu terserlah dalam novel itu ketika ia diterbitkan dan perasaan, hati dan jiwanya bersatu dalam sebuah karya yang begitu menyentuh pembacanya.
Wallahualam.
Penulis dan Keyakinan Diri
Keyakinan diri (self-confidence) adalah aset penting untuk mengorak langkah lebih jauh dalam apa jua bidang termasuk penulisan.
"Saya rasa saya tidak pandai menulis....."
"Saya rasa saya tidak ada bakat...."
"Saya rasa saudari lebih hebat.."
"Saya rasa cerita saya tidak bagus.."
"Saya rasa takut dengan pengharapan tinggi daripada peminat..."
"Saya tidak yakin cerita ini akan jadi sehebat yang lain..."
"Saya rasa kecewa kerana......"
"Saya takut dengan komen-komen pembaca...."
Ini adalah ayat-ayat yang selalu saya dengar dari kalangan penulis tetapi ketahuilah bahawa ayat-ayat ini sebenarnya adalah ayat pembunuh semangat.
Kepada penulis dan bakal-bakal penulis, jangan sesekali letakkan diri anda begitu kerdil di atas muka bumi ini. Yakin dengan bakat yang ada. Kejayaan sesebuah karya hingga angka jualannya melonjak naik bukan ukuran kejayaan kariernya. Itu adalah rezekinya yang ditentukan oleh Allah atas sebab kegigihannya, ketekunannya dan pengorbanannya. Yakin bahawa setiap apa yang kita lakukan ada rezeki masing-masing yang ditentukan oleh Allah. Cuma, mungkin adakala cepat dan adakalanya lambat.
Jika kita asyik memandang kepada orang lain yang mencipta kejayaan demi kejayaan dan ada sekelumit rasa kecewa dalam hati kita kerana kita masih tidak mengecapi apa yang kita mahukan, kita tidak seharusnya patah semangat. Jadikan yang berjaya sebagai idola dan persiapkan diri kita dengan apa yang kita rasa kurang dalam diri kita sendiri.
Kita berhak menentukan apa yang kita hendak untuk hidup kita - sebagai seorang insan jua seorang penulis. Apakah matlamat kita sebagai seorang penulis? Apakah perjuangan kita?
Penulisan adalah kerjaya yang mulia dari zaman Tuhan mengajarkan manusia menggunakan pena. Penulisan adalah jambatan ilmu - lalu perjuangan jujur sebagai seorang penulis pasti akan diberkati. Dan, kejujuran itu bukan sahaja boleh dinilai hanya pada Allah
Penganjuran Pesta Buku dan Perkhidmatan Pelanggan
Penganjuran Pesta Buku kali ini memang mengecewakan. Pengurusan trafik yang "memaksa" pengunjung yang datang untuk pergi ke TR2 di seberang sungai kemudian naik kembali ke dewan utama adalah satu langkah yang tidak logik. Kebanyakan yang datang membawa bayi dan anak-anak kecil. Saya tahu ianya berlaku kerana gerai-gerai di TR2 membuat aduan bahawa tidak ramai yang datang ke seberang sungai melihat gerai-gerai di sana. Kebanyakan pengunjung berlegar di TR3 dan TR4 kerana di situlah terkumpulnya gerai-gerai yang "happening". Penganjuran kali ini tidak mengambil kira satu aspek: keselesaan pengunjung dan pembeli.
Dalam bidang perkhidmatan pelanggan, keselesaan pelanggan mesti jadi prioriti nombor satu. Tidak ada kompromi. Di Malaysia, terus-terang saya katakan, keutamaan dan keselesaan pelanggan tidak pernah diletakkan di tangga nombor satu. Kebanyakan kita lebih akur dengan kehendak pengedar/penjual. Hak-hak asasi konsumer sering diperlekehkan. Saya juga ada pengalaman pahit sebagai seorang pembeli. Tidakkah seorang promoter/penjual/pengedar itu sedar gaji yang diperolehi setiap bulan itu datangnya dari wang poket pelanggan?
Dalam kes pengurusan trafik yang tidak efisyen, saya belas melihat mereka yang sanggup datang berasak-asak ke Pesta Buku, membawa anak-anak dalam keadaan yang pengap dan sesak kemudian dipaksa pula menuruni jambatan dan kemudian naik kembali tercungap-cungap ke TR3 dan TR4 hanya kerana untuk memenuhi permintaan gerai-gerai TR2 yang kurang pengunjungnya. Ia menjadi satu dilema - ditelan mati emak, diluah mati bapak.
Jadikan apa yang berlaku sebagai tauladan untuk pihak penganjur bersiap-sedia merangka strategi untuk Pesta Buku akan datang. Kita hanya ada satu sahaja Pesta Buku terbesar setahun - Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur ini. Di sinilah tempat di mana sejarah terbina - ilmu dinobatkan, penulis diraikan sebagai insan istimewa dan perkenalan antara penulis dan pembacanya dijadikan kenang-kenangan. Ianya cukup sentimental bagi semua pencinta buku termasuk saya.
Wallahualam.
Posted at 05:48 pm by carriekirana
Permalink
|
|
 |
 |
 |
 |
 |
 |
 |
 |
|
 |
 |
 |
 |
 |
CARRIE KIRANAKuala Lumpur 10 Julai/Cancer Tulis, baca, masak, muzik, tonton wayang, melancong Ungu, Maroon, Hijau Pucuk Pisang Maggi goreng, nasi ayam, tiramisu, blueberry cheesecake Ice lemon tea, green tea Hubungi/sembang dengan saya di:carriekirana2@yahoo.com
Saya bukan siapa-siapa, hanya seorang hamba Allah yang mencari ruang di alam maya ini untuk melakukan satu perkara yang menjadi sebahagian daripada saya - menulis.
"BACAlah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia mencipta manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu yang maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya." - Terjemahan Ayat 1-5, Surah Al Alaq.
"Books showed me there were possibilities in life, that there were actually people like me living in a world I could not only aspire to but attain. Reading gave me hope. For me, it was an open door."-Oprah Winfrey "You know you have read a good book when you turn the last page and feel as if you have lost a friend"-Anonymous. LATEST ADDITION TO MY TREASURE TROVE OF BOOKSTORES Times Pavilion - This is a new bookstore in town for booklovers and of course my new favorite place to find books. Excellent promotion for members - get 3 books for 2 - on top of that 5% for each book on discount; a lounge for members to enjoy chilling out and free WiFi Borders- If you are lucky, you can get three books for the price of two books - Worth going Times KLCC - I like Times very much because of the 10% off if you are a member , new arrivals - you can enjoy up until 25%- worth going Popular, Ampang Point - Even better, sometimes you can get 20% off selected titles or the new arrivals Kinokuniya KLCC - Check out some good promotions they have - new arrivals 20% off if you purchase another book of the same value or less Minerva, Jalan TAR - a haven for Malay novel enthusiasts, attractive 20% off the wide range of Malay novels of your choice MPH, Midvalley Megamall- Paling kedekut - you can only get points and once in the blue moon, you will get the red carpet specials but being a member doesn't get you much discount like the rest.
Bacalah seribu buku jika anda mahu menulis sebuah buku.
aku menulis bukan kerna nama... di sini aku coretkan pengalamanku, menjadi Cinderella Cinta, mengembara ke alam-alam cinta yang dizahirkan oleh deretan novelis... adakalanya perjalananku dihiasi dengan Gurindam Jiwayang indah dan telus; Pada satu ketika, aku juga dilambung Ombak Rindu. Aku terasa betapa Manisnya Cinta Yang Terindah dan Hangatnya Asmara. Adakalanya, cinta itu menjadi tragis lalu ia menjadi Rahsia Si Perindu. Kadang-kadang, hatiku tercuit... terusik... mengenangkan Epilog Cinta. Bila sampai masanya, air mataku juga bisa mengalir... Sesekali, ayat-ayat cinta yang indah kusimpan, untukku menulis rasa hatiku dalam ... diari dan surat... emel ? barangkali. Sudah jauh pengembaraanku... Mencari erti Cinta di bawah Bulan Yang Berbisik... di sebalik Bayangan Rindu... kadangkala aku terasa Bagaikan sang Puteri... menelusuri Labyrinth kehidupan namun sejauh mana aku pergi...aku hanya tahu yang satu...bahawa Syurga cinta akhirnya letaknya Di hati. - Carriekirana .
|
 |
 |
 |
 |
 |
 |
 |
 |
 |
 |
 |
 |
Layang-layang- Koleksi Sajak CarriekiranaBookrack - Carriekirana's Reviews on English NovelsCarrie's Column Kolum Bintang Carriekirana
****1/2 Setulus Setia Seindah Nama - Siti Hasneza Abdul Hamid Moga Kau Mengerti - Lily Haslina Nasir Epilog Cinta - Lily Haslina Nasir Hatiku Di Harajuku - Ramlee Awang Murshid Nyanyian Tanjung Sepi - Noorsuraya Tunjukkan Aku Satu Bintang - John Norafizan Cenderawasih - Fatinilam Sari Ahmad Cemburu Seorang Perempuan - Siti Hasneza Abdul Hamid Arjuna Hati - Norzailina Nordin
**** 5 Tahun 5 Bulan - Hlovate Andai Kumiliki Semalam- Syamimi Aminolah Percayalah - Ruby Hazri Buatmu Kekasih - Aisya Sofea Secebis Kasihmu - Syamimi Aminolah Hati Yang Terusik -Nia Azalea Pergilah Lara - Nor Erny Othman Belaian Jiwa-Nor Erny Othman Takagi Sayang - Nor Erny Othman Yang Terindah - Anis Ayuni Angin Dingin Dari Utara - Siti Hasneza Abdul Hamid Untuk Semua Lelaki Yang Pernah Aku Cintai-Nor Erny Othman Bagaikan Puteri-Ramlee Awang Murshid Sempadan Tanpa Seri-John Norafizan Rahsia Perindu-Ramlee Awang Murshid Biru Ungu Cinta-Noorsuraya Atas Nama Kasih - Salina Ibrahim Kesturi - Fatinilam Sari Ahmad Mahligai-Salina Ibrahim Rindunya Kian Membara-Noosuraya Tiada Indah-Ras Adibah Radzi Bisikan Kasih-Norhayati Abdul Malek Rindu Yang Pergi-Fazie Hanna Kasihku Abadi - Shanika Latisha Selamat Tinggal Sayang - Ma Lee Chuswan
***1/2 Surat Ungu Untuk Nuha - Noorsuraya Relevankah Aku Di Hatimu - Rnysa Jangan Biarkan Aku Menangis - Norhayati Berahim Syurga Di Hati - Salina Ibrahim Lelaki Terakhir- Sabariah Araur Kau Laksana Bulan- Aina Emir Kasih Antara Kita - Aleya Aneesa Tanpamu Di Sisi - Puteri Andalas Getaran Rindu - Norzailina Nordin ...Dan Mimpipun Bersatu - Izza Aripin Semalam Ku Bermimpi - Aina Emir Sutera Biru - Nor Rafishah Md Hassan Kau Kekasihku-Anis Ayuni Satu Janji - Ramlee Awang Murshid Suara Hati-Anis Ayuni Bukan Cinta Biasa - Izzul Izzati Megalomania - Fatinilam Sari Ahmad Tanah Andriyana-Noorsuraya Gemersik Kalbu - Anis Ayuni Untukmu Hana-Salina Ibrahim Cintamu Di Hati-Aida Adriani Manisnya Cinta - Anis Ayuni Sesuci Cinta-Aina Emir Pesona Rindu-Sharifah Abu Salem Tiga Wajah-Lamia Aimal Kau Yang Satu-Nia Azalea Bisikan Rindu-Mimie Afinie Permata Hati-Ma Lee Chuswan Suite 1908-Sri Diah Selamat Malam Tan Sri - Sri Diah Pergilah Sepi-Fauziah Ashari Tak Seindah Mimpi-Sharifah Abu Salem Air Mata Kasih-Norhayati Berahim Ombak Rindu-Fauziah Ashari Sehangat Asmara-Aisya Sofea Cinta Pertama-Norhayati Berahim
*** Tiada Batasan Sayang - Norhayati Berahim Rinduku di Angin Lalu -Norishah Abu Bakar Lafazkan Cintamu - Aida Adriani Janji Kasih - Sri Diah Kembalikanlah Kasihku - Nazawati Abdul Manap Adam & Hawa - Aisya Sofea Demi Kasih Ini -Hasreeyati Ramli Bahagia Itu Miliknya - Rozita Abdul Wahab Cinta..Tiada Akhirnya - Fauziah Ashari Emilya Zulaikha -Ariff Affandy Dendam Yang Terindah-Fatinilam Sari Ahmad Keranamu Ain-Noorsuraya Harga Diri - CT Rohaya Abu Mimpi Kita Serupa-Siti Hasneza Abdul Hamid Dia Lebih Mengerti-Norhayati Berahim Tak Seindah Impian-Haikal Mencari Cinta-Leeya Meeyra Asmara Yang Pertama-Nass Alina Noah Pelabuhan Kasih-Lily Suriani Nota Cinta Buatmu-Norhayati Berahim Impian Kasih- Liza Zahira Masih Ada Rindu-Mimie Afinie Ria Qistina-Bikash Nur Idris Jauh-Aisya Sofea Setia Menanti-Fauziah Ashari
**1/2 Lagu Rindu-Ayu Emelda Secebis Rindu- Alis Ashiqin Rindu Berdetik Lagi - Zuraidah Othman Nilai Cintamu-Eka Fahara Saat Cinta Bersemi - Damya Hanna Setulus Janji-Aina Emir Seindah Memori - Ilani Mysara Seharum Kasih-Aina Emir Badai Di Hati-Fazie Hanna Kabus Kasih - Eka Fahara Seindah Derita-Norhayati Berahim
** Sutera Kasih-Sirhan Ansari
|
 |
 |
 |
 |
 |
 |
 |
 |
|
|
 |