Wednesday, April 22, 2009
Dunia Chick Lit dan KarnaDya

Dipetik dari website KarnaDya:

Produk Terbaharu KarnaDya, CHICK-LIT - moden, kontemporari, terkini!
Dengan kerjasama Harlequin Mills & Boon, Australia

logo rdi.jpg

 MAHKAMAH CINTA
-Brenda Janot-

mahkamah_cinta.jpg


Sinopsis:

Ikuti kisah Jack Solomon dan Brooke Miller yang merupakan sepasang kekasih yang sudah bertunang tetapi terpaksa bersaing untuk memenangi kes yang mereka terajui secara tidak sengaja (Jack tidak tahu yang tunangnya akan menjadi pihak lawannya dalam kamar mahkamah). Jack dan Brooke terperangkap dan terpaksa memilih antara kerjaya atau cinta.

SIAPA NAK KAHWIN NI?
-Melissa Senate-

siapa_nak_kahwin_ni.jpg


Sinopsis:

Eloise Manfred dan Philippa Wills begitu teruja apabila perkahwinan mereka akan ditaja. Sehinggalah sampai saat mereka sedar yang majlis itu dirancang sepenuhnya oleh pihak penaja dan mereka tidak punya hak langsung untuk merancang majlis perkahwinan mereka sendiri!

JANGAN PANDANG AKU
-Poonam Sharma-

jangan_pandang_aku.jpg


Sinopsis:

Pelbagai dugaan terpaksa ditempuhi oleh Monica dalam menjalani kehidupan di L.A. Perpisahan dengan kekasih yang dicintai, pertelingkahan dalam syarikat guaman, skandal yang akhirnya membawa kepada kehancuran hubungan cintanya dan sebagainya.

BUKAN CINTA GLAMOR
-Laura Caldwell-

bukan_cinta_glamor.jpg


Sinopsis:

Selami kisah cinta Kyra Felis dan Declan McKenna yang penuh sensasi apabila Declan mulai meniti bibir-bibir peminat industri perfileman Hollywood. Bukan cinta glamor membawa anda mengikuti rentetan hidup Kyra yang penuh dengan bunga-bunga cinta tetapi pada masa yang sama terpaksa membiarkan kisah hidupnya menjadi tatapan umum.

ALAMAK KANTOI!
-Kelly Harte-

alamak_kantoi.jpg


Sinopsis:

Kisah cinta yang bersegi-segi antara Joanna, Dan Baster, Libby dan Aisling. Joanna yang salah sangka tentang keakraban kekasihnya, Dan dan sahabatnya Aisling membawa diri dan merasakan hubungannya dengan Dan sudah tidak mampu bertahan.  Segalanya terbongkar apabila Joanna akhirnya tersilap langkah ketika menyamar sebagai Sarah Daly. Sementara Libby pula cabut lari apabila muslihatnya untuk merosakkan hubungan Joanna, Dan dan Aisling dapat dihidu. Dapatkah Joanna merebut kembali cintanya? Bagaimana pula dengan Aisling yang mengharapkan balasan cinta daripada Dan? Mampukah Dan membuat keputusan?

CUTI-CUTI CINTA
-Laura Caldwell-

cuti_cuti_cinta.jpg


Sinopsis:

Ikuti kisah Casey yang merancang percutian ke Greece dan Italy bersama Kat dan Lindsey untuk memperbaiki hubungan mereka. Sepanjang percutian Casey telah berlaku curang dengan John. Akibat perbuatannya itu hubungan dengan Kat dan Lindsey menjadi renggang. Casey kesal dengan perbuatannya. Hubungannya dengan John juga putus, meskipun John tahu cerita sebenar dan menerima Casey seadanya. Apakah yang terjadi kepada Casey seterusnya? Berjayakah Casey menemui cinta sejatinya? Bagaimana pula dengan persahabatannya dengan Kat dan Lindsey?


Dari Meja Carriekirana:

Sepanjang hari-hari saya mengunjungi Pesta Buku, tidak ada banyak kelainan yang saya lihat melainkan penjual-penjual "brutal" yang menjual buku-buku untuk kanak-kanak yang mengamalkan teknik gerak-gempur untuk mendapatkan pelanggan. Mungkin juga mereka tidak ada pilihan atas sebab mereka dibayar komisen bagi setiap set yang dijual. Tetapi, bagi saya, mereka adalah umpama mimpi ngeri yang mampu mematahkan semangat atau mood pengunjung pesta buku yang lebih suka melihat-lihat buku-buku terpamer tanpa perlu ditekan, dikejar oleh penjual-penjual buku ini.

Walau bagaimana pun, ada satu perkembangan terbaru yang menarik hati saya. Pada tahun ini, Karna Dya telah menandatangani kontrak bersama Harlequin International di bawah label Red Dress Ink untuk menterjemah dan menerbitkan kembali karya-karya Chick Lit antarabangsa di dalam Bahasa Melayu.  Chick Lit adalah genre terbaru yang melanda dunia novel. Sejarah Chick Lit bermula di Britain dengan meletupnya Bridget Jones's Diary karya Helen Fielding. Sejak itu, novel-novel Chick Lit semakin menguasai pasaran. Chick Lit adalah novel-novel yang berkisar tentang wanita urban yang mencari identiti tersendiri dalam kemelut hutan metropolitan. Ia juga berkait rapat dengan perubahan sosiologi masyarakat di mana kebanyakan daripada warga luar bandar mula membanjiri kawasan bandar dan pada masa yang sama, kawasan pinggiran bandar atau suburb mula dibangunkan dan menyebabkan kawasan urban menjadi semakin luas.

Pada sidang media pelancaran Red Dress Ink ini, wakil dari Harlequin International yakin bahawa pasaran di Malaysia dapat menjana permintaan positif terhadap produk Chick Lit yang telah diterjemahkan.  Indonesia sudah bergerak jauh dalam bidang Chick Lit ini manakala Malaysia masih lagi kekurangan penulis yang mampu menulis cerita ala Chick Lit.

Saya memandang perkembangan terbaru ini sebagai salah satu peluang untuk penulis/novelis di Malaysia untuk mula berfikir jauh melepasi sempadan di Malaysia sahaja.

Wallahualam.

Posted at 01:39 pm by carriekirana
Comment (1)  




Friday, April 17, 2009
Aku Mahu Popular di Pesta Buku Antarabangsa 2009


Judul: Aku Mahu Popular ( Buku 1 Siri "Aku Mahu")
Penulis:
Ain Maisarah
Penerbit: PTS One
Genre: Remaja
Bintang: ****(Berbaloi dijadikan koleksi anak perempuan yang sedang membesar)


Sinopsis:

Mengisahkan dua orang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Sri Bangsar yang cemerlang dalam pelajaran tetapi tidak dikenali di sekolah itu. Bermula daripada rasa tidak puas hati dengan glamor dan populariti yang dikecapi oleh tujuh gadis lain yang menggelar diri mereka The Wannababes, Farah dan Ina bertekad merancang strategi untuk menjadi popular dan diminati.

Pelbagai insiden berlaku dalam proses untuk meletakkan diri mereka dalam kelompok pelajar glamor. Satu daripadanya bermusuhan dengan The Wannababes.
Akhirnya, Farah dan Ina sedar yang glomar dan popular tidak bererti tanpa pencapaian akademik yang baik. Farah dan Ina kembali menumpukan perhatian kepada pelajaran dan berjaya mengecap popular apabila dinobatkan sebagai pelajar terbaik sekolah mereka


Dalam buku pertama siri "Aku Mahu" - Aku Mahu Popular ini, Farah dan Ina adalah gadis "wallflower" di Sekolah Menengah Sri Bangsar yang mahu mengikut trend semasa supaya mereka diminati ramai seperti ahli The Wannababes. Plot yang santai dan gaya penulisan yang mantap ini tidak hairanlah menarik ramai remaja untuk memilik siri "Aku Mahu" Ain Maisarah,

Siri "Aku Mahu" tulisan penulis "teen" novel PTS yang dikenali, Ain Maisarah sebenarnya sudah lama berada di pasaran. Setakat ini, promosi novel-novel Ain Maisarah untuk Pesta Buku Antarabangsa kali ini yang saya kira paling menarik hati saya. Dekat di hati golongan peminat setianya, Ain Maisarah mencipta ikon pop "teen" melalui watak-watak yang digarap dalam Sekolah Menengah Sri Bangsar, Kuala Lumpur ala-ala versi Sweet Valley High.

Kewujudan kelab peminat Ain Maisarah, laman web interaktif, promosi-promosi menarik adalah inisiatif-inisiatif yang diusahakan untuk menjana permintaan terhadap novel-novel "Aku Mahu" dan ini patut dicontohi oleh penulis-penulis yang mahukan angka jualan bukunya meningkat. Dibantu oleh pengurusnya iaitu suami Ain Maisarah ini, pelbagai aktiviti dan acara semasa diatur untuk menarik lebih ramai peminat Ain Maisarah mengikuti perkembangan penulis kesayangan mereka.


Dari Pena Carriekirana:

Sempena pesta buku yang berlangsung hari ini, saya mengambil peluang untuk menghidupkan kembali laman saya dan berkongsi maklumat tentang novel-novel yang saya rasa menarik untuk dibeli bagi tahun ini. Saya sedar saya sudah lama tidak mengulas - saya rindukan rumah saya ini tetapi saya ada misi yang perlu diselesaikan sebelum hujung tahun ini. Insya Allah, selepas misi saya itu selesai, saya akan kembali mengulas seperti dahulu. Saya rindu untuk mengikuti kisah-kisah yang dibukukan... Pastinya saya akan sering ke pesta buku ini seperti sebelum ini, meninjau ribuan cerita yang dipasarkan untuk peminat buku.

Jumpa di sana!

Salam kasih sayang,
Carriekirana

Posted at 03:06 pm by carriekirana
Comments (9)  




Monday, March 30, 2009
Panggil Aku Dahlia - Noor Suraya


Judul: Panggil Aku Dahlia
Penulis:
Noor Suraya
Penerbit: Jemari Seni
Genre: Cinta Romantis
Bintang: ***(Ok-ok)


"Ayah diserang strok, Dahlia! Ayah tiba-tiba jadi teringat padamu. Kamu tu cekal macam Opah Orkid!" puji ayah tiba-tiba.

Cuba-cuba bertanam mumbang,
Moga-moga tumbuh kelapa,
Cuba-cuba bertanam sayang,
Moga-moga tumbuh cinta.


Yang disayangi,
Matamu telah berbisik
dan..
tanpa perlu bersuara
kita sudah mengikat janji setia? -Yang menyayangi
 

Ada rasa yang membara
Ada cinta yang menyala
Tak perlu lagi Dahlia nyatakan
Tak perlu lagi Dahlia ucapkan
.


Padahal dulu, bukankah aku telah disuruh pergi? Bukankah selepas peristiwa menyayat hati itu, aku bagaikan sudah menjadi anak perempuan orang lain, ayah? 

Itulah asalnya kenapa Dahlia, pembantu kurator di Muzium Orang Asli Canberra pulang ke Malaysia. Dahlia sang archaeologist yang tidak tahu apa-apa tentang kebun teh, dan tidak ingin ambil tahu apa-apa tentang teh itu terpaksa berdepan dengan Teh Timor yang sudah menambun masalahnya!  

Keadaan kian kusut pabila dia bertemu semula dengan si licik Wadi. Musuh tradisinya itu sanggup buat apa sahaja untuk merampas kebun Teh Timor demi memperluas ladang Teh Sutra miliknya.    

Lalu apa pula muslihat Wadi? Tatkala tiba-tiba sahaja dia sanggup menyerahkan ladang teh miliknya sebagai mahar?  Perlukah Dahlia menerima dia, demi mendapatkan kembali tanah milik datuk ayahnya?    


Panggil Aku Dahlia, novel kelapan Noor Suraya yang menyingkap permusuhan dua keluarga sejak turun-temurun- keluarga Puteri Dahlia Megat Qais dan Wadi Hanna Dato' Ma'arof. Syarikat teh milik keluarga mereka menjadi seteru sejak zaman kolonial di Cameron Highlands untuk merebut pasaran jualan teh dan pemilikan teh di tanah tinggi itu.

Kisah cinta dan benci ini disulam dengan insiden-insiden mencuit hati. Dalam Panggil Aku Dahlia, Noor Suraya menggunakan pendekatan berbeza daripada novel-novel lain dengan kata ganti diri pertama dan ketiga yang bertukar ganti. Oleh itu, pembaca yang sudah biasa dengan stail Noor Suraya pasti dapat mengikut kisah yang dilatari dengan haruman teh dari Cameron Highlands ini.

Syarikat Teh Timor milik keluarga Dahlia diancam kewujudannya dengan langkah agresif Teh Sutra milik Wadi yang mahu membalas dendam. Permusuhan bapa mereka, Megat Qais dan Dato Maarof diturunkan kepada Dahlia dan Wadi supaya mereka tidak berkawan seperti yang lain-lain.

Dalam kemelut penjualan tanah milik Teh Timor, Wadi Hannan sudah jatuh hati dengan Dahlia, gadis nakal yang tidak habis-habis mengenakan Wadi atas dasar permusuhan keluarga mereka.

Cinta tapi benci ini menggerakkan cerita ini dan mengingatkan saya tentang kisah Tanah Andriyana yang sangat saya minati. Pun, begitu, Tanah Andriyana memiliki kekuatan plot tersendiri berbanding dengan Panggil Aku Dahlia yang lebih santai dan membuai perasaan.

Posted at 12:52 pm by carriekirana
Comment (1)  




Monday, January 05, 2009
Tunggu Teduh Dulu - Faisal Tehrani


Judul: Tunggu Teduh Dulu
Penulis:
Faisal Tehrani
Penerbit: Selama
Genre: Kehidupan
Bintang: **** (Berbaloi dijadikan koleksi peribadi)


Sinopsis Belakang Buku

Kata Salsabila Fahim, ini cerita kecil,
cerita sederhana, tentang dia lari berteduh
di bangsal di puncak bukit
bersama Kamil dan Lam Ping Hai ketika hujan mula gerimis.

Kata aku, ini perkara besar ,
hal berteduh sementara duga datang mencuba bukan hal main-main.

Kata Teh Sofia, ya,
Kerja Tuhan siapa tahu ?

Kata aku, Tuhan akan menunjukkan
kepada yang mencari. Ya, asal kau mahu
mencari, Dia menunjukkan.

Apa kata kau ?


Ini nyanyi rindu ...kerja Tuhan siapa yang tahu....

"Orang tak boleh pandang kita lemah. Kita perempuan Islam yang ada kekuatan dan maruah."

"Saya Salsabila Fahim telah banyak menderita. Tetapi jangan salah faham kerana saya tidak pernah menyalahkan. Tuhan telah memberi jalur dan warna tertentu untuk kita...Namun, biar saya mengingatkan, cerita ini bukan cerita cinta tiga segi. Ia cerita tentang pengorbanan manusia kepada Tuhan, cerita tentang takdir yang sangat manis setelah dikecap..."



Saya sudah lama ingin membaca karya Faisal Tehrani ini. Dia antara penulis dikenali yang sering mendapat anugerah sastera dalam pertandingan sastera tempatan. Dia ada pengikutnya sendiri. Dia ada cara dia tersendiri yang terkadang dianggap ekstrem oleh segelintir penulis. Ketika saya mengunjungi gerai Al-Ameen untuk mendapatkan karyanya, pengurusnya menyarankan saya membaca dulu karya ini - Tunggu Teduh Dulu.

Agak lama juga saya biarkan Tunggu Teduh Dulu terperam di atas rak buku saya. Beserta deretan novel-novel lain yang menunggu saya membaca mereka. Saya dihujani permintaan daripada sesetengah novelis yang mahukan saya mengulas novel-novel mereka. Saya terharu kerana didatangi oleh mereka yang mengharap. Jika ada kudrat dan masa yang seluas jagat raya ini, saya akan cuba sedaya-upaya memenuhi harapan. Jika tidak, saya cuba sedaya boleh saya untuk mengulas mana-mana novel yang saya rasa sesuai untuk blog ini. Saya terpaksa menjadi selektif - mengikut acuan selera saya.

Karya ini adalah satu karya yang sangat bagus - digarap oleh seorang penulis yang saya kira genius. Karyanya ada isi, ada mesej yang ingin disampaikan kepada pembaca - sesuai dengan selera saya yang inginkan pembacaan yang lebih memenuhi tuntutan minda saya. Bahasa yang digunakan mudah sahaja, semua golongan boleh membacanya. Faisal melakar satu perjalanan Salsabila yang begitu puitis - ada kisah cinta terselit tetapi tidak terlalu membuai perasaan, ada agenda tersembunyi untuk menggagalkan impian Salsabila melalui watak adiknya yang tidak habis-habis beriri hati, ada hikmah yang digaris menuntut Salsabila kembali meyakini bahawa Allah jua yang menentukan qada dan qadar setiap hamba-Nya.

Karya Tunggu Teduh Dulu adalah perjuangan tauhid seorang Salsabila, (sebatang sungai yang mengalir di syurga) , membanting tenaga dan tulang empat keratnya , mengusahakan tanah peninggalan ayahnya untuk tanaman betik. Karya ini lebih mengupas budi manusia kepada tanah dan segala halangan dan dugaan yang melanda Salsabila, mengganggu-gugat kesabarannya tetapi kesedarannya untuk kembali mengadu dengan Allah, Tuhan semesta Alam diadun dengan begitu halus tetapi menyentuh jiwa. Dakwah yang cuba disampaikan juga digabungjalin dengan baik sehingga kita tidak terasa seperti dihujah.

Dapatkan karya Faisal Tehrani ini jika anda dahagakan sebuah karya bagus untuk santapan minda. Ia tidak terlalu berat jua tidak terlalu ringan. Hanya sebuah kisah biasa tentang seorang wanita Islam tetapi tetap padat dengan pelbagai perspektif tentang indahnya Islam itu sendiri. Wallahualam.

Posted at 03:39 pm by carriekirana
Comments (3)  




Monday, September 08, 2008
Hijab Sang Pencinta - Ramlee Awang Murshid


Judul: Hijab Sang Pencinta
Penulis:
Ramlee Awang Murshid
Penerbit: Alaf21
Genre: Epik Thriller
Bintang: ***1/2 (Berbaloi dijadikan koleksi peribadi)

Sinopsis
RASA rindu terhadap keluarga menggamit hati Saifudin merentasi Tanah Sumatera untuk pulang ke Punggor, Tanah Melayu. Namun, kejahatan seolah-olah memburunya. Setiap langkahnya dibayangi halangan yang tak berkesudahan.

Berita kepulangannya di Tanah Melayu sampai ke pengetahuan Sultan Melaka. Kemarahan baginda kerana tidak dapat mengahwini Haryani menyebabkan dia mula menjadi buruan orang istana.

Saifudin lari ke gua. Di situlah bermulanya satu lagi keajaiban. Jasadnya berpindah merentasi hijab masa untuk sampai ke abad 21. Sekali lagi Saifudin bertemu dengan Haryani dan kisah cinta yang melangkaui masa mekar semula.

Namun, kejahatan yang senantiasa mengiringi setiap injak kakinya masih mengekori. Kali ini tebakan musuh durjana mengakibatkan sengketa yang tercetus di langit berlaku lagi.


Dari Kacamata Carriekirana:

Cerita yang mantap selalunya mengandungi peperangan/konflik di antara kebaikan dan kejahatan. Intipati ini sering menjadi esen kisah-kisah popular sepanjang zaman seperti meletupnya cerita Harry Porter karya J.K. Rowling. Walau kisah Harry Porter berkisar di alam ahli sihir yang satu ketika dulu pernah mencetus kontroversi di kalangan umat Islam tetapi saya lebih melihat keunikan cerita ini daripada perspektif yang lebih terbuka - kebaikan selalunya mengatasi kejahatan. Intipati ini juga diadun dengan kukuh dalam Hijab Sang Pencinta - trilogi pelengkap kepada kisah epik thriller Bagaikan Puteri.

Genre epik thriller ini berjaya dihidupkan dengan baik dalam kisah Hijab Sang Pencinta. Genre ini jarang-jarang dipelopori oleh penulis-penulis tanahair tetapi sejak akhir-akhir ini PTS juga mengorak langkah cergas menerbitkan kisah-kisah epik thriller yang ditujukan khas untuk remaja lelaki.

Gabungan elemen cinta dalam Hijab Sang Pencinta walau tidak diterokai secara mendalam tetapi masih mampu memaniskan kisah Hijab Sang Pencinta. Watak Saifudin sebagai seorang ahli sufi kelihatan begitu realistik sekali dengan kelebihan yang dikurniakan kepadanya oleh Tuhan Maha Pencipta.

Banyak ilmu-ilmu berguna yang diturunkan oleh RAM dalam kisah ini yang wajar dijadikan pedoman. Kali ini, gabungan fakta dan fiksyen lebih "lembut" jika dibandingkan dengan karya-karya RAM terdahulu lalu saya tidak merasakan saya membaca artikel dokumentari.

Hijab Sang Pencinta mempunyai auranya tersendiri dan sebenarnya trilogi Bagaikan Puteri ini sesuai untuk dizahirkan dalam medium tv.

Bagi peminat RAM, karya ini adalah karya yang harus menjadi koleksi peribadi. Selepas membaca karya ini, fikiran saya masih lagi berputar memikirkan mesej yang cuba diserap dalam trilogi Bagaikan Puteri. Memang plot ceritanya menguja saya untuk terus mengikuti kisah ini tetapi jiwa cerita ini lebih kuat sebenarnya dalam Cinta Sang Ratu.

Wallahualam.

Posted at 07:42 am by carriekirana
Comments (18)  




Tuesday, September 02, 2008
Ada Rindu Di Wajahmu... - Syamimi Aminolah

Judul: Ada Rindu Di Wajahmu...
Penulis:
Syamimi Aminolah
Penerbit: Creative Enterprise
Genre: Cinta Dewasa
Bintang: ***1/2



Syamimi Aminolah adalah salah seorang penulis yang saya minati. Satu - olahannya yang menggamit saya mengikuti paparan kisah yang ditulisnya. Dua - dia bijak mengolah plot yang lain daripada lain.

Ada Rindu Di Wajahmu membawa pembaca menerokai alam mistik. Tidak ramai penulis yang menulis tentang elemen mistik kecuali Norhayati Berahim yang kini lebih menjurus kepada kisah-kisah kehidupan yang lebih realistik. Kisah yang dilatari oleh elemen mistik ini harus ditangani dengan lebih berhati-hati supaya mesej yang ingin disampaikan kepada pembaca dapat diterima melalui jalan yang tidak menyalahi ajaran agama.

Tidak dapat dinafikan, pada zaman moden ini, masyarakat Melayu masih lagi mengamalkan amalan mistik. Ini jelas didedahkan oleh Syamimi melalui watak utamanya, Wardah. Wardah, gadis dari Kampung Gunung Tinggi yang digilai pemuda-pemuda kampung tetapi diganggu makhluk halus akibat dendam kesumat  kerana keengganan ibunya untuk menerima calon suami yang dirasakan tidak sesuai dengan Wardah. Wardah dijadikan korban perasaan dendam terhadap ibunya yang mementingkan harta dan darjat. Wardah hilang semangat sejak kematian suaminya Farid dalam tragedi malang yang mencalarkan maruah dia sekeluarga. Lalu, keluarganya disisihkan dari masyarakat Kampung Gunung Tinggi.

Biar putih mata..biar putih tulang.

Membaca Ada Rindu Di Wajahmu menyingkap realiti kehidupan masa kini terutama sekali dalam masyarakat Melayu. Selagi ada sekelumit iri hati, dendam ...selagi ada kerlingan mata yang tidak ikhlas memerhatikan orang yang lebih menyerlah daripadanya...selagi ada manusia-manusia toksik yang tidak dapat menerima qada dan qadar kehidupannya yang diuji Allah..... selagi cinta yang ditolak tidak dapat diterima dengan fikiran terbuka, selagi ada pengamal perubatan tradisional yang meminta pengeras, jarum atau tikar sembahyang untuk berubat yang tidak diketahui sama ada mengikut cara Islam atau sebaliknya... hanya untuk mencari makan daripada kalangan manusia yang penuh dengan dendam dan tertipu dengan bisikan syaitan hingga hujung nyawa..dan hingga hujung usia dunia ini...selagi itulah manusia-manusia yang tidak berdosa dijadikan sasaran fitnah dan sihir. Dan, selagi itu, kisah demi kisah penganiayaan akan terus berlaku di kalangan masyarakat kita.

Kehidupan manusia tidak pernah ada jalan yang lurus. Lalu, dalam watak Wardah, dia diuji berkali-kali apabila dia hampir menemui kebahagiaan.

Mesej yang cuba disampaikan oleh Syamimi amatlah mendalam. Kita tidak boleh menolak adanya makhluk yang hidup di alam ghaib yang diarah mengganggu hidup Bani Adam hingga ke hari kiamat lantas kita harus percaya - berlindung di bawah arash Allah akan menyelamatkan kita dari tersasar dari landasan sebenar.

Wallahualam

Rating:***1/2 ( Tidak rugi menjadikan novel ini sebagai koleksi peribadi)

Posted at 03:03 pm by carriekirana
Comments (2)  




Monday, June 23, 2008
Dunia Ini Sederhana Kecil - Bahruddin Bekri


Judul: Dunia Ini Sederhana Kecil
Penulis:
Bahruddin Bekri
Penerbit: PTS One
Genre: Metropolitan
Bintang: ***1/2



Kata perempuan berlesung pipit,"Cinta itu umpama menunggu bas. Kita perlu memilih bas yang tepat pada masa yang sesuai. Sekiranya tidak, kita tidak akan selesa meneruskan perjalanan kita. Sebab itu, saya masih menggunakan kereta."

Kata Riduan pula, " Aku cakap dengan kopi di dalam gelas aku. Orang bukan tidak sayang, cuma orang tidak nampak dan lupa."

Kata ibu, "Hidup manusia ini seperti roda. Kadang kala di atas, kadang kala di bawah. Tidak penting kamu berada di atas ataupun di bawah, yang penting, kamu sebenarnya bergolek di mana? Sama ada jalanan itu berlumpur, berduri ataupun kamu bergolek di padang - padang rumput yang indah."

Lelaki gempal kata, " Hidup manusia juga seperti tingkap. Apabila tingkap itu ditutup, maka manusia tidak dapat hidup kerana tiada ruang dan peluang."

Kata lelaki muka berminyak pula, "Pelangi, warnanya bukan hanya hitam dan putih. Begitu juga dengan hidup."


Dari Kacamata Carrie Kirana:

Novel ini disyorkan kepada saya oleh seorang peminat buku. Katanya, novel ini lain daripada yang lain. Tentunya, perasaan ingin tahu saya meluap-luap.

Membaca Bahruddin Bekri buat kali pertama membuka mata saya kepada satu dimensi penceritaan. Cerita ini bukan cerita cinta. Lain dari kebiasaan, sudah semestinya lalu ianya mendapat ruang dalam laman peribadi saya ini.

Dunia Sederhana Kecil menyingkap kisah Syamir yang mula bertapak di kota - mencari pekerjaan setelah tamat universiti. Cerita ini penuh dengan adegan-adegan humor - pendek kata penulis membukukan segala rasa dalam 'Dunia Sederhana Kecil'nya.

Karya mantap daripada seorang penulis baru ini yang ternyata amat berbakat dalam bercerita. Walau ia hanya kisah seharian. Walau ada kala itu ada adegan yang menampilkan watak-watak yang agak pendek akalnya. Tetapi, setiap adegan membawa mesej tersendiri. Penulis tahu apa yang hendak disampaikan kepada pembaca melalui cerita-cerita dalam Dunia Ini Sederhana Kecil lalu karya ini begitu terserlah dalam genrenya sendiri. Watak-wataknya begitu esentrik - satu lagi faktor tarikan karya Dunia Ini Sederhana Kecil. Pembangunan watak-wataknya begitu bersahaja tetapi masih mampu membawa pembaca dekat dan mesra dengan mereka.

Yang pasti saya terhibur! Syabas buat Bahruddin Bekri - bakat baru yang digilap oleh PTS One dalam genre yang semakin menjadi minat saya sejak kebelakangan ini - genre cerita alternatif.


Siapa yang akan gemar cerita sebegini?

Mereka yang sukakan cerita-cerita santai yang digarap dari perspektif berlainan.

Posted at 09:46 am by carriekirana
Comments (8)  




Saturday, June 21, 2008
Bohemian - Imaen


Judul: Bohemian
Penulis: Imaen
Penerbit: Jemari Seni
Genre: Romantis Thriller
Bintang: ***



Cinta membuat kita tidak memandang apa-apa yang datang daripada kita, walaupun ia sebesar mana sekalipun. Sebaliknya, kita hanya akan memandang apa-apa yang datang daripada orang yang kita cintai, walau sekecil mana pun. Cinta membuat kita membuang sifat sendiri, dan mengambil sifatnya sebagai ganti.

 

Aku

Dia

pemain muzik jalanan
melayari malaysiakini.com
merambu-rambu cari duit
pakai seluar bertampal di lutut
berambut panjang cecah bahu
seorang peguam
baca Business Times
gaji ribu-ribu
pakai skirt nampak lutut
berambut copper blonde celup

Siapakah dia yang berani mencuri tenang dan damaiku, lalu menggantikan ia dengan resah gelisah?
Siapakah dia berani merampas hening bening malam dengan huru-hara yang tidak keruan ini?
Siapakah dia yang berani mengusik lenaku dengan bayangnya?  

Dia, yang tidak pernah ada dalam senarai bidadari anganku! Tidak pula pernah sekalipun wujud dalam daftar mimpiku!
Dia, yang dari hujung kaki hingga hujung rambut bukanlah perempuan yang aku mohon lewat doa-doaku kepada Tuhan.

**~** 

Setelah Vendetta (Gurindam Jiwa) dan Labyrinth, IMAEN melakarkan risalah pemuzik jalanan busker berbicara tentang cinta antara Fadlan & Nadira, dengan bahasa mantap penuh falsafah, namun disajikan dalam nada manis cara Bohemian.


..Bukankah cinta itu ingin melihat yang dicintai itu bahagia? Tapi, aku jelaskan kepadanya bahawa bahagia kerana cinta kesampaian itu sebenarnya hanyalah kegembiraan dan bukan lagi kebahagiaan. Bahagia juga bukan kerana kita dapat hidup dengan orang yang kita suka..Tapi bahagia sebenarnya ialah apabila manusia reda dengan ketentuan yang telah ditetapkan Tuhan. Tidak peduli sama ada ditimpa kegembiraan atau kesedihan, manusia akan tetap bahagia kerana mengetahui semua itu hanya ujian daripada Tuhan...


Dari Kacamata Carriekirana:

Bohemian - garapan terbaru daripada Imaen ini boleh saya klasifikasikan sebagai lain daripada yang lain. Jika saya membuat analisis perbandingan di antara Bohemian dan Labyrinth (Nota: Karya terdahulu Imaen), saya lebih memilih Labyrinth. Tetapi, itu tidak bermakna, dari pengamatan saya, Labyrinth lebih baik dari Bohemian. Cuma, saya tidak pasti apa yang penulis ingin tonjolkan dalam Bohemian.

Membaca Bohemian membuatkan saya teringat pada satu lagi teknik penceritaan yang digelar penceritaan tanpa plot - "a plotless story". Ketika mula membaca Bohemian, saya menganggarkan ianya sebuah cerita tentang jenayah kolar putih tetapi apabila saya sampai di pertengahan cerita, Bohemian lebih diwarnai oleh monolog dalaman watak Fadlan yang jatuh hati dengan Nadira. Lalu, Bohemian ketika itu menjadi kisah hati Fadlan dan Nadira. Dalam beberapa bahagian, plot thriller muncul kembali untuk mengingatkan saya tentang permulaan cerita Bohemian itu.

Saya kira penulis mungkin mahu membuat percubaan menggandingkan dua plot seiringan bagi menggerakkan jalan cerita Bohemian - plot thriller yang melibatkan Fadlan secara tidak sedar dan plot kisah romantis yang cuba mencari titik persamaan di antara langit dan bumi - langit itu Nadira manakala bumi itu Fadlan.

Mungkin juga penulis cuba membiarkan beberapa persoalan dalam Bohemian tersimpul dengan sendirinya mengikut interpretasi pembaca masing-masing. Dalam ertikata lain, Bohemian tidak berhenti setakat di muka surat terakhir. Ini jelas bagi saya apabila kisah seorang busker di Kuala Lumpur dan rakan-rakan korporatnya masih berlegar di ruang minda saya selepas itu.

Justeru, Bohemian adalah satu sajian minda untuk yang berani meneroka alam penceritaan yang lain daripada lain.

 

Posted at 09:20 am by carriekirana
Make a comment  




Tuesday, April 29, 2008
Dari Kaca Mata Carriekirana - Hidup Sebagai Pengulas Blog

Pengaruh blog ke atas kelakuan konsumer rupanya lebih besar kesannya pada masa ini. Internet marketing mula diterokai. Blog-blog ulasan muzik, program, buku, filem dan masakan tumbuh bagai cendawan dalam alam maya. Ia sebenarnya satu perkembangan positif. Tak mungkin seorang pengulas blog dapat membuat ulasan dalam skop yang begitu luas.  Konsumer pula sangat memerlukan pelbagai pandangan pihak ketiga sebelum membuat satu pembelian. Dan, medium yang sering diguna oleh konsumer ialah blog ulasan. Sebelum kewujudan teknologi blog dan Internet, konsumer begitu sukar untuk mendapatkan maklumat.

Pengulas blog berpengaruh secara tidak langsung menjadi "opinion leader"- pemimpin pendapat yang mencorakkan pembelian satu-satu produk. Lalu, mereka menjadi tumpuan pengedar barangan untuk mempromosikan produk mereka.

Di sinilah bermulanya cabaran utama seorang pengulas blog termasuk saya. Bagi saya, misi saya memulakan blog ulasan ini ialah untuk berkongsi maklumat sebagai seorang pembaca. Tujuan saya mengulas ialah supaya pembaca sekurang-kurangnya dapat pulangan yang memuaskan daripada harga yang dilaburkan untuk satu produk. Itulah prinsip saya dan itulah prinsip Novel Cinta Melayu. Saya menulis di sini untuk pembaca. Saya bukan menulis di sini untuk penerbit. Sering kali, prinsip pengulasan saya cuba dimanipulasikan oleh sesetengah pihak.

Saya anggap itu lumrah biasa. Ia berlaku di mana-mana pun. Baik genre filem atau genre muzik. Saya tidak pernah menyangka saya juga terkena tempias politik penerbitan buku dan penulisan novel. Mungkin juga kerana saya aktif mengulas novel secara sambilan. Saya anggap semua itu pengalaman yang sangat berharga. Melalui blog ini, banyak yang saya dapat kutip daripada pelbagai karakter manusia yang saya temui - ada yang positif, ada yang negatif, ada yang mempunyai agenda tersembunyi. Melalui blog ini, saya gembira dapat bertemu penulis-penulis yang saya minati dan pencinta-pencinta buku yang lain.

Kita tidak perlu menjadi orang lain atau seperti orang lain untuk menjadi popular. Atau dikaitkan dengan orang popular. Kita hanya perlu bertanya apa niat kita sebenar dalam perjuangan hidup kita.

Impian saya untuk blog ini- memberi maklumat setelus yang mungkin mengikut acuan saya sendiri. Saya yang akan buat keputusan novel mana yang harus saya kongsi di sini mengikut ciri apa yang saya cari. Saya yang akan membuat keputusan maklumat apa yang saya akan paparkan dengan meletakkan kepuasan membaca saya dahulu sebagai prioriti utama saya. Bukan kerana saya mengenali penulis itu secara peribadi. Saya tidak perlu menjawab atau "dipaksa-paksa" mengulas sesebuah novel kerana ini adalah blog peribadi saya dan saya mengulas kerana saya mahu novel-novel yang baik dinikmati oleh pencinta buku/novel. Insya Allah, untuk tahun ini, saya akan terus paparkan novel-novel yang menepati citarasa saya selagi saya mampu.

Kejujuran rupanya adalah sebuah harga yang mahal untuk dibayar.

Wallahualam.

Salam kasih sayang,
Carriekirana

Posted at 10:44 am by carriekirana
Comments (5)  




Monday, April 28, 2008
Plain Jane - Nurul Syahida


Judul: Plain Jane
Penulis:
Nurul Syahida
Penerbit: Buku Prima
Genre: Cinta Romantis
Bintang: ****



Namanya Balkis. Badannya sedikit gempal, pelajarannya pula biasa sahaja. Dia tidak seperti sahabat karibnya Lilee yang punya segalagalanya. Dia juga tidak seperti musuhnya Ana yang mahukan segalanya. Dia adalah seorang gadis biasa. Kewujudan Zaniel dalam dunia Balkis mengubah segalanya. Balkis mula merasa nikmatnya kecantikan, kemewahan sebagaimana Lilee dan Ana.


Kategori Pertama: Revolutioner
Penuntut-penuntut di dalam kategori ini adalah golongan mereka yang datang ke universiti dengan hajat untuk menjadi agen perubahan....

Kategori Kedua: Lilin Terpadam
Golongan penuntut di *dalam* kategori ini adalah mereka yang dahulunya merupakan golongan terkenal di zaman sekolah... seperti lilin terpadam, mereka cuba menyalakan semula kegemilangan mereka...

Kategori Ketiga: Rubah
...seperti lagenda Jepun tentang Puteri Rubah yang boleh menyamar, mereka ini adalah bekas pelajar sekolah menengah yang dahulunya tidak mempunyai apa-apa kejayaan atau rekod yang menarik....

Kategori Keempat: Tradisionalis
...mereka berasal dari negeri-negeri berlainan dan hanya berkumpul dan berkawan dengan orang senegeri mereka...anda boleh mengesan mereka dari negeri mana berdasarkan dialek mereka...

Kategori Kelima: Urban
..golongan anak-anak VIP dan tokoh korporata, juga anak-anak orang kaya yang tinggal sekitar Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.. terdiri daripada dua jenis: golongan urban yang sombong dan menganggap sesiapa yang tidak tahu apa itu Visa Wave tidak sepatutnya hidup dan golongan urban yang merendah diri, optimis dan sangat menggemari teater muzikal dan puisi-puisi era romantil

Kategori Keenam: Lebah
..terdiri daripada penuntut yang merasakan diri mereka paling bagus...terlalu dramatis atau terlalu berpura-pura atau dalam Bahasa Inggerisnya - "wannabees".

"Maksud saya, kawan-kawan Ana terdiri daripada gadis-gadis yang.. macam Ana. Tapi awak tak macam dia. Tak ada beg berjenama LV atau bersolek MAC atau berbau minyak wangi Carolina Herrera. You're like a Plain Jane berbanding mereka semua.

"Kadang-kadang kita perlukan drama dalam hidup untuk menambahkan rencah dalam cerita yang bakal kita ulang kepada anak cucu. Khir adalah "bunjut dalam sup" hidup aku ini, ia menambah rasa, namun bukan untuk ditelan!"

Kini aku faham dan aku mahu semua orang faham, kita tidak perlukan teman yang hebat untuk menjadi sempurna. Cukup dengan memiliki orang-orang yang kita sayang melayan kita seperti kita adalah kesempurnaan itu sendiri.... aku tidak lagi menghakimi seseorang dengan cara itu ... aku tidak perlukan fantasi itu.. semudah itu untuk menjadi diriku.


Dari Kacamata Carriekirana
Wow! Ini saja yang saya dapat simpulkan dari novel terbitan Buku Prima ini. Satu lagi bakat besar kepunyaan penulis muda yang baru saya jumpai.

Mengapa saya teruja membaca "Plain Jane"? Ketika saya mengunjungi Pesta Buku baru-baru ini ( pecah rekod- hari-hari), saya sebenarnya cuba mencari novel-novel yang laku bak goreng pisang panas. Saya perhatikan rak-rak buku di gerai-gerai novel popular juga di gerai-gerai yang lain. Saya bertanya promoter-promoter novel mana yang bagus. Seperti biasa, promoter akan beritahu "semuanya bagus!". Itu bukan  jawapan jujur yang saya mahu dan saya selalunya tidak akan terpujuk dengan kenyataan begitu. Itu tidak cukup untuk saya.

Memilih novel yang menepati selera peribadi saya bukan mudah. Ada sesetengah penggemar novel bertanya mengapa saya tidak mengulas sesetengah novel. Saya ada tiga jawapan untuk soalan itu: Pertama, saya tidak sempat membaca novel itu. Kedua, mood saya belum ada untuk membaca novel berkenaan. Ketiga, saya tidak rasa pengalaman membaca sesuatu novel yang sudah saya baca itu dapat saya kongsi di sini.

Lalu saya akan memerhatikan scenario pembeli buku setiap hari , kadang-kadang secara jauh, kadang secara dekat- adakah benar semua novel itu bagus? Bukan mudah untuk menganggak tetapi novel ini menarik perhatian saya dalam puluhan novel yang terpamer. Ia bagai terserlah dengan tersendirinya. Pertama, tajuknya. Kedua, desain covernya. 

Sebagai seorang manusia biasa tambahan lagi seorang perempuan, saya memang tertarik dengan desain cover. Itu proriti nombor satu saya. Kemudian barulah saya belek sinopsisnya. Saya jarang sekali membeli novel terbitan Buku Prima walau ada juga yang memberi cadangan bahawa cerita-cerita terbitan Buku Prima tidak kurang hebatnya. Saya tidak minat dengan desain cover novel Buku Prima. Malap, desainnya tidak hidup, tidak menepati ciri AIDA - Attention, Intention, Desire, Action. Saya petik akronim ini daripada salah seorang pereka desain cover yang berpengalaman.

Sungguhpun begitu, semasa Pesta Buku baru-baru, saya dapati Buku Prima membuat satu perubahan yang ketara. Desain cover novel-novel terbaru lebih hidup - berlainan konsep daripada Alaf tetapi lebih metaforik. Saya suka. Saya sering ke booth Buku Prima dan saya perhatikan novel Plain Jane ini laris bak goreng pisang. Tempat letaknya selalu kosong dan semestinya itu membuatkan saya teruja. Lalu, setelah sekian lama tidak membelek novel Buku Prima, saya cuba mencari keistimewaan Plain Jane ini.


Tentang Plain Jane:

Plotnya berkisar tentang kisah di universiti tetapi garapan Nurul Syahida ini lain daripada yang lain. Saya gemarkan tulisannya yang selamba dan jujur. Membina watak seorang Plain Jane bernama Balkis di universiti dan mencoret insiden-insiden biasa yang dialami oleh seorang pelajar universiti. Gaya penulisannya banyak mengingatkan saya pada gaya penulisan Hlovate cuma gaya penulisan Nurul Syahida lebih bersahaja.  Saya suka cara Nurul Syahida "membedah" watak-watak utama dalam hidup Balkis- lebih menyeluruh dan membuatkan saya kadang-kadang tergelak dengan Lilee, Apis Milo, Babang, Bandek, Zaniel, Ana the wannabee, Dr. Iman dan Khir.

Bagi saya, faktor X penulisan Nurul Syahida yang saya suka ialah kebolehannya membangunkan watak-watak ciptaannya dengan hidup sekali, satu kemahiran penulisan kreatif yang hanya dipunyai oleh segelintir penulis kreatif yang mempunyai bakat menulis semulajadi.

Walau kisahnya sempoi dan agak "klise" secara umum, tetapi kreativiti Nurul Syahida menarik saya untuk terus membaca hingga penghujung mukasurat. Mesej-mesej kehidupan juga banyak diselitkan dalam cara yang menarik. Saya jarang rasa terbawa masuk ke dalam kebanyakan kisah yang saya baca sejak kebelakangan ini namun Plain Jane menimbulkan mood saya untuk kembali membaca novel "a feel-good love story".

Nota untuk penulis: "All the best Nurul Syahida for your feel good story that comes straight from the heart".


Siapa yang akan suka cerita sebegini?
Remaja yang sukakan kisah cinta di kolej yang penuh dengan adegan lucu. Penggemar novel-novel santai yang mahu mencari kelainan.

Posted at 09:58 am by carriekirana
Comments (9)  




Next Page


CARRIE KIRANA

Kuala Lumpur
10 Julai/Cancer
Tulis, baca, masak, muzik, tonton wayang, melancong
Ungu, Maroon, Hijau Pucuk Pisang
Maggi goreng, nasi ayam, tiramisu, blueberry cheesecake
Ice lemon tea, green tea
Hubungi/sembang dengan saya di:carriekirana2@yahoo.com

Saya bukan siapa-siapa, hanya seorang hamba Allah yang mencari ruang di alam maya ini untuk melakukan satu perkara yang menjadi sebahagian daripada saya - menulis.


"BACAlah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia mencipta manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu yang maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya." - Terjemahan Ayat 1-5, Surah Al Alaq.

"Books showed me there were possibilities in life, that there were actually people like me living in a world I could not only aspire to but attain. Reading gave me hope. For me, it was an open door."-Oprah Winfrey

"You know you have read a good book when you turn the last page and feel as if you have lost a friend"-Anonymous.

LATEST ADDITION TO MY TREASURE TROVE OF BOOKSTORES

Times Pavilion - This is a new bookstore in town for booklovers and of course my new favorite place to find books. Excellent promotion for members - get 3 books for 2 - on top of that 5% for each book on discount; a lounge for members to enjoy chilling out and free WiFi
Borders- If you are lucky, you can get three books for the price of two books - Worth going
Times KLCC - I like Times very much because of the 10% off if you are a member , new arrivals - you can enjoy up until 25%- worth going
Popular, Ampang Point - Even better, sometimes you can get 20% off selected titles or the new arrivals
Kinokuniya KLCC - Check out some good promotions they have - new arrivals 20% off if you purchase another book of the same value or less
Minerva, Jalan TAR - a haven for Malay novel enthusiasts, attractive 20% off the wide range of Malay novels of your choice
MPH, Midvalley Megamall- Paling kedekut - you can only get points and once in the blue moon, you will get the red carpet specials but being a member doesn't get you much discount like the rest.



Bacalah seribu buku jika anda mahu menulis sebuah buku.


aku menulis bukan kerna nama... di sini aku coretkan pengalamanku, menjadi Cinderella Cinta, mengembara ke alam-alam cinta yang dizahirkan oleh deretan novelis... adakalanya perjalananku dihiasi denganGurindam Jiwayang indah dan telus; Pada satu ketika, aku juga dilambungOmbak Rindu. Aku terasa betapa Manisnya Cinta Yang Terindah dan Hangatnya Asmara. Adakalanya, cinta itu menjadi tragis lalu ia menjadi Rahsia Si Perindu. Kadang-kadang, hatiku tercuit... terusik... mengenangkan Epilog Cinta. Bila sampai masanya, air mataku juga bisa mengalir... Sesekali, ayat-ayat cinta yang indah kusimpan, untukku menulis rasa hatiku dalam ... diari dan surat... emel ? barangkali. Sudah jauh pengembaraanku... Mencari erti Cinta di bawah Bulan Yang Berbisik... di sebalik Bayangan Rindu... kadangkala aku terasa Bagaikan sang Puteri... menelusuri Labyrinth kehidupan namun sejauh mana aku pergi...aku hanya tahu yang satu...bahawa Syurga cinta akhirnya letaknya Di hati. - Carriekirana



.



   





<< April 2009 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01 02 03 04
05 06 07 08 09 10 11
12 13 14 15 16 17 18
19 20 21 22 23 24 25
26 27 28 29 30














































Name :
Web URL :
Message :

















Counters




Layang-layang- Koleksi Sajak Carriekirana

Bookrack - Carriekirana's Reviews on English Novels

Carrie's Column

Kolum Bintang Carriekirana



****1/2
Setulus Setia Seindah Nama - Siti Hasneza Abdul Hamid
Moga Kau Mengerti - Lily Haslina Nasir
Epilog Cinta - Lily Haslina Nasir
Hatiku Di Harajuku - Ramlee Awang Murshid
Nyanyian Tanjung Sepi - Noorsuraya
Tunjukkan Aku Satu Bintang - John Norafizan
Cenderawasih - Fatinilam Sari Ahmad
Cemburu Seorang Perempuan - Siti Hasneza Abdul Hamid
Arjuna Hati - Norzailina Nordin

****
5 Tahun 5 Bulan - Hlovate
Andai Kumiliki Semalam- Syamimi Aminolah
Percayalah - Ruby Hazri
Buatmu Kekasih - Aisya Sofea
Secebis Kasihmu - Syamimi Aminolah
Hati Yang Terusik -Nia Azalea
Pergilah Lara - Nor Erny Othman
Belaian Jiwa-Nor Erny Othman
Takagi Sayang - Nor Erny Othman
Yang Terindah - Anis Ayuni
Angin Dingin Dari Utara - Siti Hasneza Abdul Hamid
Untuk Semua Lelaki Yang Pernah Aku Cintai-Nor Erny Othman
Bagaikan Puteri-Ramlee Awang Murshid
Sempadan Tanpa Seri-John Norafizan
Rahsia Perindu-Ramlee Awang Murshid
Biru Ungu Cinta-Noorsuraya
Atas Nama Kasih - Salina Ibrahim
Kesturi - Fatinilam Sari Ahmad
Mahligai-Salina Ibrahim
Rindunya Kian Membara-Noosuraya
Tiada Indah-Ras Adibah Radzi
Bisikan Kasih-Norhayati Abdul Malek
Rindu Yang Pergi-Fazie Hanna
Kasihku Abadi - Shanika Latisha
Selamat Tinggal Sayang - Ma Lee Chuswan

***1/2
Surat Ungu Untuk Nuha - Noorsuraya
Relevankah Aku Di Hatimu - Rnysa
Jangan Biarkan Aku Menangis - Norhayati Berahim
Syurga Di Hati - Salina Ibrahim
Lelaki Terakhir- Sabariah Araur
Kau Laksana Bulan- Aina Emir
Kasih Antara Kita - Aleya Aneesa
Tanpamu Di Sisi - Puteri Andalas
Getaran Rindu - Norzailina Nordin
...Dan Mimpipun Bersatu - Izza Aripin
Semalam Ku Bermimpi - Aina Emir
Sutera Biru - Nor Rafishah Md Hassan
Kau Kekasihku-Anis Ayuni
Satu Janji - Ramlee Awang Murshid
Suara Hati-Anis Ayuni
Bukan Cinta Biasa - Izzul Izzati
Megalomania - Fatinilam Sari Ahmad
Tanah Andriyana-Noorsuraya
Gemersik Kalbu - Anis Ayuni
Untukmu Hana-Salina Ibrahim
Cintamu Di Hati-Aida Adriani
Manisnya Cinta - Anis Ayuni
Sesuci Cinta-Aina Emir
Pesona Rindu-Sharifah Abu Salem
Tiga Wajah-Lamia Aimal
Kau Yang Satu-Nia Azalea
Bisikan Rindu-Mimie Afinie
Permata Hati-Ma Lee Chuswan
Suite 1908-Sri Diah
Selamat Malam Tan Sri - Sri Diah
Pergilah Sepi-Fauziah Ashari
Tak Seindah Mimpi-Sharifah Abu Salem
Air Mata Kasih-Norhayati Berahim
Ombak Rindu-Fauziah Ashari
Sehangat Asmara-Aisya Sofea
Cinta Pertama-Norhayati Berahim


***
Tiada Batasan Sayang - Norhayati Berahim
Rinduku di Angin Lalu -Norishah Abu Bakar
Lafazkan Cintamu - Aida Adriani
Janji Kasih - Sri Diah
Kembalikanlah Kasihku - Nazawati Abdul Manap
Adam & Hawa - Aisya Sofea
Demi Kasih Ini -Hasreeyati Ramli
Bahagia Itu Miliknya - Rozita Abdul Wahab
Cinta..Tiada Akhirnya - Fauziah Ashari
Emilya Zulaikha -Ariff Affandy
Dendam Yang Terindah-Fatinilam Sari Ahmad
Keranamu Ain-Noorsuraya
Harga Diri - CT Rohaya Abu
Mimpi Kita Serupa-Siti Hasneza Abdul Hamid
Dia Lebih Mengerti-Norhayati Berahim
Tak Seindah Impian-Haikal
Mencari Cinta-Leeya Meeyra
Asmara Yang Pertama-Nass Alina Noah
Pelabuhan Kasih-Lily Suriani
Nota Cinta Buatmu-Norhayati Berahim
Impian Kasih- Liza Zahira
Masih Ada Rindu-Mimie Afinie
Ria Qistina-Bikash Nur Idris
Jauh-Aisya Sofea
Setia Menanti-Fauziah Ashari

**1/2
Lagu Rindu-Ayu Emelda
Secebis Rindu- Alis Ashiqin
Rindu Berdetik Lagi - Zuraidah Othman
Nilai Cintamu-Eka Fahara
Saat Cinta Bersemi - Damya Hanna
Setulus Janji-Aina Emir
Seindah Memori - Ilani Mysara
Seharum Kasih-Aina Emir
Badai Di Hati-Fazie Hanna
Kabus Kasih - Eka Fahara
Seindah Derita-Norhayati Berahim

**
Sutera Kasih-Sirhan Ansari






Contact Me

If you want to be updated on this weblog Enter your email here:




rss feed